(SEMASA) SUZUKI MALAYSIA PERKENAL MODEL TERBAHARU GSX-8T DAN GSX-8TT DI LITAR ANTARABANGSA SEPANG

Spread the love

Sepang, 6 Oktober 2025 (Ahad) — Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan dua model motosikal terbaharu, Suzuki GSX-8T dan Suzuki GSX-8TT, bertempat di Booth D02, Litar Antarabangsa Sepang, bersempena hujung minggu perlumbaan MotoGP Malaysia 2025.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Encik Leong Kam Yew, Pengurus Jenama Suzuki Malaysia, bersama-sama Encik Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Kumpulan AFY Mobility Industries Sdn. Bhd., dan Dato’ Jeffrey Lim, Pengarah Urusan Kumpulan. Pelancaran ini turut disaksikan oleh Encik Ichiro Kondo daripada Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Suzuki Malaysia memperkukuhkan rangkaian motosikal berkuasa tinggi serta kerjasama rapat dengan pengeluar utama dari Jepun.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin 776cc Parallel-Twin DOHC yang dibangunkan di bawah platform generasi baharu Suzuki bagi menawarkan prestasi cekap, kawalan mudah dan keselesaan tunggangan harian. GSX-8T dan GSX-8TT direka berteraskan falsafah “Retro Spirit, Next Generation Performance”, yang menggabungkan gaya klasik dengan teknologi moden.

Model GSX-8T diinspirasikan daripada Suzuki T500 Titan, motosikal naked berprestasi tinggi era 1960-an. Reka bentuknya diserlahkan dengan tangki bahan api yang kontras bersama bahagian belakang berwarna hitam matte, serta logo timbul 3D pada fairing sisi yang diinspirasikan daripada simbol “eight ball”. Hasilnya ialah rekaan yang mengekalkan semangat retro tetapi tampil moden dan kemas. Ia turut dilengkapi dengan sistem Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), Ride-by-Wire throttle, Bidirectional Quick Shifter, dan Dual ABS bagi memastikan tunggangan lebih responsif dan selamat.

Sementara itu, GSX-8TT pula dibangunkan berasaskan model 8T dengan sentuhan rekaan motosikal perlumbaan jalanan Suzuki dari era 1970-an dan 1980-an seperti GS750 dan GS1000. Ia menampilkan cowl lampu hadapan dan bahagian bawah (Under Cowl) yang menyerupai model klasik Suzuki, manakala fork hadapan hitam, rel tempat duduk kelabu, serta hiasan jalur berwarna kontras sekaligus memberi imej premium dan sporty. Huruf “TT” membawa maksud “Timeless”, menggambarkan kebangkitan semula gaya klasik dalam bentuk moden. GSX-8TT juga turut dilengkapi dengan pilihan mod tunggangan sistem SDMS dengan kawalan cengkaman (traction control), serta tangki bahan api 16.5 liter bagi memenuhi keperluan tunggangan jarak jauh mahupun jalanraya luar bandar.

Suzuki Malaysia terus komited dalam menawarkan motosikal yang menyeimbangkan gaya, prestasi, dan kebolehpercayaan kepada penunggang di Malaysia. Pelancaran model GSX-8T dan GSX-8TT ini membuktikan usaha berterusan Suzuki dalam memenuhi permintaan pasaran motosikal kelas pertengahan yang semakin berkembang, di samping memperkukuh kerjasama jangka panjang bersama Suzuki Motor Corporation Jepun dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk pelanggan tempatan di Malaysia.

Kedua-dua model Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT kini boleh didapati di semua Suzuki Big Bike World di seluruh negara. Orang ramai juga boleh melayari www.suzuki.com.my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *