Ampang Jaya, Kuala lumpur, 2 Jun 2024 – Rumah Transit atau penempatan sementara bagi saudara baru Muslim wanita telah dirasmikan oleh YB Hajah Rodziah binti Ismail (Ahli Parlimen Ampang) dan bersama YB Tuan Syed Ahmad bin Abdul Rahman Alhadad (Ahli Dewan Undangan Lembah Jaya) yang dikenali sebagai Altimet. PERKIM Datuk Keramat dengan kerjasama PERKIM Cawangan Ampang, telah membuka sebuah asrama transit kedua bagi saudara baru untuk menempatkan Asnaf Mualaf wanita yang dinamakan Asrama Darul Huda di Ampang Jaya, Selangor.
Asrama ini yang telah beroperasi sejak 2022 dengan menempatkan seramai 10 orang penghuni khusus untuk wanita dan merupakan tempat perlindungan bagi Asnaf Mualaf yang memerlukan tempat teduhan.
PERKIM Cawangan Datuk Keramat yang ditubuhkan pada tahun 2011, telah menubuhkan sebuah institusi dakwah pada tahun 2021 sebagai pusat transit untuk saudara baru lelaki iaitu di sebuah rumah kedai yang dinamakan sebagai Asrama Darul Fitrah dan kini telah dipindahkan operasinya di Datuk Keramat.
Selain itu, PERKIM Cawangan Datuk Keramat berperanan aktif dalam menjalankan usaha dakwah dan sehingga kini telah mengislamkan lebih daripada 200 orang saudara baru sekitar Lembah Klang termasuk negara luar.
Menurut wakil PERKIM, Encik Abdul Rahman bin Hamzah menjelasakan bahawa “penubuhan asrama bagi saudara baru wanita yang diberikan nama Asrama Darul Huda ini bertujuan untuk membantu saudara baru di kalangan wanita yang tidak mempunyai tempat tinggal, di sini seramai 10 orang penghuni termasuk seorang bayi yang baru lahir berusia 2 bulan berteduh di bawah satu bumbung”.
Beliau menambah “Masih ramai lagi yang tidak sedar akan ujian yang menimpa saudara baru kita dan ramai dari kalangan mereka tiada tempat perlindungan kerana dibuang keluarga sendiri, hidup sebatang kara, tidak dapat bekerja kerana sakit dan tiada tempat bergantung untuk teruskan kehidupan”. “Di sini ini, pihak kami menyediakan beberapa kemudahan asas seperti makan minum, penginapan, kelas pengajian fardu Ain, kelas bimbingan al Quran, kemudahan kesihatan pengangkutan disediakan”
Asrama ini adalah hasil inisiatif dari PERKIM Cawangan Datuk Keramat bekerjasama dengan PERKIM Cawangan Ampang. Rumah yang dipilih untuk dijadikan Asrama Darul Huda disewa khusus sebagai rumah perlindungan bagi saudara-saudara baru yang memerlukan tempat teduhan. Di sini, mereka akan mendapat keperluan dan perkhidmatan secara percuma, termasuk tempat tinggal, makanan, dan aktiviti keagamaan seperti pengajian ilmu dan pengajian Al-Quran.
Di majlis ini juga, YB Hajah Rodziah Binti Ismail telah mengumumkan bantuan secara “one off” sebanyak RM15,000.00 bagi meringankan beban PERKIM serta berjanji akan membantu memudahkan urusan untuk menaiktaraf keselamatan rumah serta pematuhan kod etika undang-undang membabitkan pengurusan tumah kebajikan tersebut bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT).