(SEMASA) TOP SECRET’S VR32 STEALTH NISSAN GT-R BAKAL TAMPIL DI TOKYO AUTO SALON KUALA LUMPUR 2025

Spread the love

Penala legenda dari Jepun, TOP SECRET, tidak pernah mengecewakan peminat di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dan tahun ini kembali dengan salah satu binaan paling ikonik mereka – VR32 Stealth Nissan GT-R yang unik di dunia.

Kereta berkuasa 1072 kuasa kuda ini akan dipamerkan sepenuhnya di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 dari 8 hingga 10 Ogos bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Turut hadir ialah pembinanya sendiri – Smokey Nagata, yang akan membuat kunjungan ketiga berturut-turut ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur.

VR32 Stealth Nissan GT-R digambarkan sebagai GT-R paling unggul, menggabungkan enjin 3.8 liter dari R35 ke dalam casis BNR32. Ia adalah satu-satunya di dunia yang dibina oleh Nagata. Tanpa mendedahkan terlalu banyak rahsia perniagaan, enjin ini turut dilengkapi dengan TOP SECRET BB800 Turbine, batang penyambung JUN H section, dan pada asasnya dibina semula dari awal – memerlukan fabrikasi menyeluruh termasuk penyambungan semula keseluruhan casis (stitch weld) bagi menerima sistem pemacu dan kuasa dari R35 GT-R. Ia juga dilengkapi dengan roll cage serta tambahan kerangka peneguh (tube bracing) di bawah fender depan untuk meningkatkan kekuatan casis.

Dengan balutan warna Stealth Gray, jentera ini turut dipasang dengan kit aero penuh TOP SECRET, suspensi NEKO TOP SECRET Ver.SPL Ride Pitch Adjustment, spring dari SWIFT dan sistem brek daripada R35 GT-R. Penampilan agresifnya disempurnakan dengan rim OZ Racing Challenge HLT bersaiz 18 inci (depan 10J ET25 / belakang 11J ET60) dan tayar Bridgestone POTENZA RE71-RS bersaiz 275/35-18 di keempat-empat sudut. Kuasa membrek pula hadir daripada brek Brembo enam piston di hadapan dan empat piston di belakang dengan cakera bersaiz 380mm.

Penukaran kepada komponen R35 bukan sekadar pada enjin, tetapi turut melibatkan bahagian dalaman. TOP SECRET memasang papan pemuka, kluster instrumen, konsol tengah dan panel pintu dari R35 GT-R, lengkap dengan stereng TOP SECRET R35 GT-R dan meter TRUST Sirius Boost Meter.

Peminat juga boleh mengunjungi booth barangan rasmi TOP SECRET dan berpeluang bertemu dengan Smokey Nagata sendiri.

Harga tiket Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 adalah seperti berikut:

  • RM48 untuk pas satu hari dewasa
  • RM30 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun (pas satu hari)
  • RM120 untuk Family Combo (dua dewasa dan dua kanak-kanak – pas satu hari)
  • RM120 untuk pas tiga hari dewasa
  • Diskaun 50% untuk pemegang kad OKU dan seorang penjaga
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah

Untuk pembelian tiket, maklumat lanjut dan pertanyaan, sila layari www.tokyoautosalonkl.com atau ikuti Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram dan TikTok.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *