SELANGOR, 2 NOVEMBER 2024 — Tourism Selangor telah mengadakan Selangor Travel Fair buat julung kalinya, yang telah berlangsung dari 1 hingga 3 November 2024, di Sunway Pyramid. Acara ini diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025, yang dibawakan khas bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya, pengalaman pelancongan dan tarikan terbaharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Dengan Journify oleh Malaysia Aviation Group sebagai rakan kerjasama utama, acara ini akan menampilkan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif berjumlah lebih RM 200,000. Kerjasama ini menyediakan platform untuk pelbagai tawaran pelancongan di Negeri Selangor serta peluang kerjasama bersama pemain industri dan orang awam. Dengan sokongan penuh oleh Tourism Malaysia dan MATTA, acara ini akan memberi impak yang besar kepada landskap pelancongan.
Sempena dengan Selangor Travel Fair, majlis pra pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025 juga telah diadakan, dengan pelancaran logo dan lagu tema kempen Tahun Melawat Selangor 2025, serta persembahan daripada penyanyi dan penulis lagu Aizat Amdan bagi persembahan lagu tema Tahun Melawat Selangor 2025. Acara yang telah diadakan selama tiga hari ini telah menarik seramai 20,000 pengunjung, terdiri daripada pemain industri pelancongan, pelancong serta orang awam.
Yang Berhormat Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan dalam satu kenyataan berkata, Tahun Melawat Selangor 2025 bakal dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara dan program menarik, dengan lebih 100 acara akan diadakan di setiap daerah Negeri Selangor.
“Dengan sokongan penuh daripada pelbagai agensi kerajaan serta swasta, Negeri Selangor mampu mencorakkan industri pelancongan di Malaysia dan seterusnya mencapai sasaran kemasukan pelancong sehingga 8 juta pelancong pada tahun hadapan dan mencapai resit perbelanjaan pelancongan mencecah RM 11.7 billion”, tambah beliau lagi.
Tourism Selangor telah membawa lebih 20 produk pelancongan pada acara tersebut, dengan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif, diskaun dan pelbagai pakej produk pelancongan di Negeri Selangor, sesuai untuk semua pelancong. Pengunjung Selangor Travel Fair juga dipersembahkan dengan aktiviti interaktif seperti cabutan bertuah, bengkel dan persembahan tradisional. Produk pelancongan yang telah menyertai Selangor Travel Fair 2024 adalah seperti SplashMania Waterpark, Skyline Luge, Jumpstreet Asia Malaysia, Farm in the City, Eastin Hotel dan banyak lagi.