Seawal Julai 2025, Samsung memperkenalkan barisan Galaxy Watch 8 yang merangkumi model standard dan Classic pada acara Galaxy Unpacked, selari dengan kemunculan Galaxy Z Fold 7 dan Z Flip 7. Jam tangan pintar ini menampilkan rekaan “cushion” baharu ala Galaxy Watch Ultra dan mengoperasikan Wear OS 6 dengan antaramuka One UI 8 Watch.
REKA BENTUK & KESERASIAN
Galaxy Watch 8 hadir dengan rekaan ergonomik lebih nipis, hanya sekitar 8.6 mm, 11% lebih nipis daripada Galaxy Watch 7 yang menjadikannya lebih selesa dipakai harian dan semasa. Model Classic pula menawarkan tubuh lebih tegap dengan rotating bezel klasik dan butang Quick Button baharu, sesuai untuk mereka yang menggemari sentuhan fizikal dalam navigasi.
PAPARAN
Paparan Super AMOLED dengan kaca Sapphire menjanjikan keterbacaan luar biasa, dengan kecerahan puncak sehingga 3000 nits menyaingi Galaxy Watch Ultra.
SPESIFIKASI DALAMAN
Peranti ini dipacu oleh cipset Exynos W1000 berteknologi 3nm dengan lima teras pemprosesan, dipadankan bersama 2GB RAM. Untuk kapasiti storan model standard menyediakan ruang dalaman 32GB, manakala varian Classic menawarkan storan lebih besar iaitu 64GB.
KECANGGIHAN SUKAN & KESIHATAN
Ciri kesihatan Galaxy Watch 8 sangat maju dengan:
• Sensor BioActive (gabungan optikal, ECG, BIA)
• Indeks Antioksidan: baca tahap karotenoid kulit — pertama seumpamanya di dunia.
• Energy Score harian, Vascular Load, Running Coach, laporan tidur mendalam (termasuk apnea), dan panduan waktu tidur optimum.
SISTEM & AI
Dikuasakan dengan Wear OS 6 + One UI 8 Watch, serta Google Gemini terbina pada jam yang memberikan bantuan pintar melalui suara tanpa memerlukan telefon. Wear OS 6 ialah versi sistem operasi Google yang terbaru untuk jam tangan pintar (smartwatch), dan Galaxy Watch8 adalah antara jam pertama yang dilancarkan dengan Wear OS 6 + One UI Watch 8
KETAHANAN
Galaxy Watch 8 telah diperakui dengan penarafan dan lulus standard 5ATM, IP68 serta MIL-STD-810H sesuai untuk aktiviti lasak. Dari segi sambungan, ia hadir lengkap dengan sokongan LTE (pilihan), Bluetooth 5.3, Wi-Fi dual-band, NFC, dan GPS L1+L5 dual-frequency untuk ketepatan lokasi yang lebih tinggi.
JANGKA HAYAT BATERI & PENGECASAN
Dari segi ketahanan bateri, Galaxy Watch 8 mempunyai kapasiti bateri sedikit lebih besar berbanding generasi terdahulu iaitu 435 mAh untuk varian 44mm, 325 mAh bagi 40mm, manakala model Classic dilengkapi 445 mAh. Dalam penggunaan harian, model standard mampu bertahan sehingga 30 jam dengan fungsi Always-On Display diaktifkan, sementara Galaxy Watch 8 Classic menawarkan sehingga 40 jam dengan tetapan Always-Off. Bagi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas berasaskan piawaian magnetik WPC, memberikan masa pengecasan yang lebih efisien serta memuaskan untuk kegunaan seharian.
RUMUSAN
Samsung Galaxy Watch 8 menandakan evolusi penting dalam ekosistem Wear OS, hadir dengan rekaan lebih nipis dan ergonomik, paparan ultra-terang, serta integrasi ciri kesihatan berasaskan AI termasuk Antioxidant Index dan Energy Score. Ia turut menjadi model pertama yang membawakan sokongan Gemini AI secara terbina, menawarkan pengalaman bantuan pintar lebih menyeluruh. Bagi mereka yang mengutamakan ketahanan bateri bersama sentuhan rekaan tradisional, model Galaxy Watch8 Classic tampil sebagai pilihan unggul. Namun begitu, pengguna sedia ada Galaxy Watch 6 atau Watch 7 mungkin hanya merasai peningkatan sederhana kecuali jika ciri kesihatan terkini dan keupayaan AI menjadi faktor utama dalam penaiktarafan.



