(SEMASA) VOGE SR3: GAYA MODEN, KUASA TEGUH DAN TEKNOLOGI PREMIUM DALAM SATU JENTERA.

Spread the love

JOHOR BAHRU, 19 OKTOBER 2025 – VOGE Malaysia kini telah memasuki pasaran skuter di Malaysia dengan memperkenalkan VOGE SR3 bersempena Majlis Pembukaan Mforce Best Shop Johor Bahru by Meng Soon Auto Sdn. Bhd. Dengan rekaan moden dan teknologi pintar, model ini tampil sebagai pilihan utama buat penunggang yang menginginkan prestasi berkuasa, keselesaan serta ciri keselamatan terkini dalam satu pakej eksklusif.

Ditawarkan pada harga RM15,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), VOGE SR3 boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dalam masa terdekat. Model ini hadir dalam tiga pilihan warna menawan iaitu White, Silver dan Grey, melambangkan gaya premium dan kematangan dalam setiap sudut reka bentuknya.

Dikuasakan oleh enjin satu silinder, 4-injap, SOHC bersesaran 244.3 cc, VOGE SR3 mampu menghasilkan kuasa maksimum 19.4 kW pada 8,250 rpm dan tork maksimum 23 Nm pada 6,500 rpm, memberikan pecutan lancar dan prestasi mantap di jalan raya.

Enjin ini menampilkan nisbah mampatan 11.5:1 serta ukuran piston dan lejang 72 mm × 61 mm, digandingkan dengan sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api EFI bagi memastikan pembakaran bahan api yang efisien.

Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT dengan sistem pacuan akhir jenis V-Belt, dipadankan dengan klac automatik yang memberikan pengalaman tunggangan lebih mudah dan selesa, sesuai untuk penggunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.

Dari segi dimensi, VOGE SR3 berukuran 2,100 mm panjang, 795 mm lebar dan     1,392 mm tinggi, dengan jarak roda 1,525 mm, ketinggian tempat duduk 780 mm, serta kelegaan tanah 140 mm. Berat kering motosikal ini adalah 156 kg, menjadikannya stabil dan seimbang ketika dikendalikan. Kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter pula membolehkan perjalanan yang lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.

Sistem suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala belakang dilengkapi penyerap hentak berkembar, masing-masing dengan jarak pergerakan 103 mm di hadapan dan 130 mm di belakang bagi memberikan tunggangan yang selesa di pelbagai permukaan jalan.

Untuk sistem membrek, VOGE SR3 dilengkapi cakera hadapan dan belakang, masing-masing disokong oleh sistem ABS dua saluran pada kedua-dua roda bagi memastikan kawalan penuh dalam situasi kecemasan. Selain itu, fungsi brek parkir turut ditambah bagi meningkatkan cengkaman brek semasa motosikal diparkir, terutamanya di kawasan yang bercondong. Tayar jenis tanpa tiub bersaiz 120/70-14 di hadapan dan 140/60-13 di belakang pula menjamin cengkaman kukuh serta kestabilan maksimum.

Ciri-ciri moden turut menjadi kekuatan utama model ini, antaranya paparan meter TFT 7 inci, port pengecasan USB Jenis A, serta sistem kunci pintar dengan pilihan kunci mekanikal sebagai sandaran. Ciri pencahayaan penuh menggunakan LED pada bahagian lampu utama, lampu belakang, isyarat membelok, lampu hazard dan Daytime Running Light (DRL).

Dari aspek keselesaan, VOGE SR3 hadir dengan tempat duduk ergonomik dwi-lapisan, cermin penghadang angin boleh laras serta pemanas pemegang dengan tiga tahap larasan, menjadikan tunggangan jarak jauh lebih selesa.

Ciri keselamatan tambahan termasuk Traction Control System (TCS) boleh ditukar (switchable), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta kamera pemuka hadapan untuk merakam perjalanan secara langsung. Ruang penyimpanan juga luas dan praktikal, dua ruang simpanan hadapan dengan penutup magnetik dan ruang bawah tempat duduk yang mampu memuatkan sebuah topi keledar ‘open-face’ serta barangan harian.

Bagi penunggang moden, fungsi sambungan Bluetooth membolehkan notifikasi panggilan masuk dan kawalan suara terus di skrin utama, menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih pintar dan berhubung.

VOGE SR3 turut dilengkapi dengan suis keselamatan tapak sisi dan sistem pelinciran jenis tekanan dan percikan bagi memastikan operasi enjin yang lancar dan tahan lama.

Bagi setiap pembelian VOGE SR3, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh VOGE Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *