JOHOR BAHRU, 19 OKTOBER 2025 – Sempena Majlis Perasmian Mforce Best Shop Johor Bahru by Meng Soon Auto Sdn. Bhd., WMOTO dengan bangganya memperkenalkan model terbaharu dalam segmen cruiser, iaitu WMOTO Bobbie 450s. Motosikal ini menyerlahkan gabungan sempurna antara rekaan klasik dan teknologi moden, menawarkan pengalaman tunggangan yang premium, berkuasa serta penuh gaya.
Model ini ditawarkan pada harga RM19,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan akan berada di pasaran menerusi pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia. WMOTO Bobbie 450s hadir dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Ground Sand Ash, Gulf Custom dan Matte Black yang menonjolkan karakter tersendiri buat penunggang yang menghargai elemen retro namun moden.
Dari segi kuasa, motosikal ini dikuasakan oleh enjin dua silinder selari, 4-lejang, DOHC bersesaran 449 cc, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 37 kW pada 9,500 rpm dan tork maksimum 39 Nm pada 7,600 rpm. Enjin ini mempunyai nisbah mampatan 11.5:1 serta ukuran piston dan lejang 72 mm x 52.2 mm, menjadikannya responsif dan bertenaga di pelbagai julat kelajuan. Ia turut dilengkapi dengan sistem EFI, sistem penyejukan cecair dan sistem pelinciran jenis tekanan dan percikan bagi memastikan prestasi yang lancar serta tahan lama.
Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan sistem pacuan akhir jenis rantai, dipadankan dengan klac jenis basah berbilang plat serta sistem pendikit mekanikal bagi memberikan kawalan yang lebih baik kepada penunggang.
Sistem suspensinya menggunakan fork teleskopik (29 darjah) di hadapan dan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang, memberikan jarak gerak suspensi masing-masing 130 mm di hadapan dan 100 mm di belakang. Gabungan ini memastikan tunggangan yang stabil dan selesa dalam pelbagai keadaan jalan.
Untuk keselamatan, WMOTO Bobbie 450s dilengkapi dengan sistem brek cakera apung bersaiz 320 mm di hadapan dan cakera 256 mm di belakang, masing-masing disokong oleh sistem ABS pada kedua-dua roda.
Reka bentuk WMOTO Bobbie 450s menonjol dengan rim jenis jejari yang mengekalkan elemen retro. Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 2,240 mm panjang, 820 mm lebar dan 1,065 mm tinggi, dengan jarak roda 1,510 mm, ketinggian tempat duduk 650 mm serta kelegaan tanah 200 mm. WMOTO Bobbie 450s mempunyai berat kering 190.5 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jauh mahupun tunggangan harian.
Ciri-ciri tambahan yang disertakan meliputi lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu hazard jenis LED, lampu siang (DRL) serta paparan meter LED digital penuh yang memaparkan pelbagai maklumat penting kepada penunggang. Ia turut dilengkapi port pengecasan USB Jenis A, sistem kunci mekanikal, suis keselamatan tapak sisi, pemegang boleh laras serta tuas brek boleh laras di kiri dan kanan.
Tempat duduk dwi direka untuk keselesaan jangka panjang, manakala muffler berkembar memberikan bunyi enjin yang mantap dan berkarakter. Turut disertakan ialah brek parkir untuk keselamatan tambahan semasa parkir dan peredam stereng bagi meningkatkan kestabilan ketika tunggangan berkelajuan tinggi. Sumber kuasa WMOTO Bobbie 450s menggunakan bateri 12V9Ah.
Dengan setiap pembelian WMOTO Bobbie 450s, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

