(SEMASA) WMOTO Nexy+180: SKUTER PREMIUM BERTEKNOLOGI TINGGI UNTUK PENUNGGANG MODEN

Spread the love

JOHOR BAHRU, 19 OKTOBER 2025 – Sempena Majlis Pembukaan Mforce Best Shop Johor Bahru by Meng Soon Auto Sdn. Bhd., WMOTO dengan bangganya memperkenalkan WMOTO Nexy+180, sebuah skuter premium berteknologi tinggi yang menggabungkan prestasi mantap, reka bentuk elegan serta ciri keselamatan terkini bagi penunggang moden.

Ditawarkan pada harga RM8,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dengan empat pilihan warna menarik iaitu Magic Blue, Mildnight Black, Nardo Grey dan Xtreme White.

Dikuasakan oleh enjin 174 cc, satu silinder, empat lejang, empat injap dengan sistem penyejukan cecair, WMOTO Nexy+180 menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW pada 8,500 rpm dan tork puncak 17.2 Nm pada 6,500 rpm. Dengan nisbah mampatan 11.5:1 serta piston (61 mm) dan lejang (59.6 mm), skuter ini menawarkan prestasi yang lancar dan responsif untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jauh.

Sistem penghantaran CVT (Continuously Variable Transmission) dipadankan dengan klac automatik, manakala sistem pendikit jenis mekanikal memastikan kawalan kuasa lebih tepat. Kapasiti tangki bahan api lapan liter memberi jarak tunggangan yang praktikal untuk harian.

Dari segi suspensi, bahagian hadapan dilengkapi teleskopik dengan jarak gerak 103 mm, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak berkembar menegak dengan jarak perjalanan 130 mm, memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan.

Sistem membrek dilengkapi dengan cakera tunggal bersaiz 260 mm di hadapan dengan 4-piston kaliper, serta cakera 220 mm di belakang dengan 1-piston kaliper jenis apungan bebas, disokong oleh ABS untuk kedua-dua roda bagi keselamatan maksimum.

Dari aspek dimensi, WMOTO Nexy+180 berukuran 1,970 mm panjang, 770 mm lebar dan 1,150 mm tinggi, dengan jarak roda 1,315 mm dan ketinggian tempat duduk 765 mm. Berat keseluruhan pula adalah 142 kg menjadikannya mudah dikawal dan sesuai untuk semua peringkat penunggang.

Antara kelebihan utama model ini termasuk paparan TFT 6 inci, port pengecasan USB Jenis A dan Jenis C serta sistem kunci keyless dan kunci mekanikal. Ia turut dilengkapi sistem pencahayaan LED sepenuhnya merangkumi lampu utama projektor, lampu belakang, lampu isyarat, lampu hazard, dan lampu siang (DRL), disertakan dengan pelindung angin bagi memberikan perlindungan serta keselesaan tambahan.

Ciri keselamatan tambahan termasuk Traction Control System (TCS), suis keselamatan tapak sisi dan kamera pemanduan di hadapan. Bagi kemudahan harian, terdapat poket simpanan depan dengan penutup magnetik, ruang pembawa belakang (rear carrier) serta penyambungan aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride dan Roadcam yang membolehkan penunggang menyemak data perjalanan dan rakaman video dengan mudah.

Lebih menarik, WMOTO Nexy+180 turut menyokong sambungan Bluetooth yang memaparkan notifikasi panggilan masuk, menjadikannya praktikal untuk penunggang yang sentiasa bergerak.

Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO Nexy+180, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *