SELANGOR, 17 OGOS 2025 – Bersempena Majlis Perasmian Mforce SmartShop W H S Motor Sdn. Bhd. di Banting, yang merupakan Mforce SmartShop ke-18 di Malaysia dan ke-5 di negeri Selangor, YADEA Malaysia dengan bangganya memperkenalkan YADEA RS20, sebuah skuter elektrik serba moden yang menggabungkan gaya, prestasi dan kemudahan untuk kegunaan harian.
Ditawarkan pada harga RM4,998.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia. Motosikal ini juga akan layak menerima rebat daripada inisiatif MARiiCas dalam masa terdekat.
YADEA RS20 hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey, menampilkan reka bentuk kompak dan sporty yang sesuai untuk pengguna bandar. Skuter ini dikuasakan oleh motor berkuasa maksimum 2,450W, dengan kelajuan maksimum 51km/j dan tork maksimum 107Nm.
Ia menggunakan bateri Graphene 72V22Ah yang mampu dicas dari 0% hingga 80% dalam masa 6 jam, manakala pengecasan penuh 0% hingga 100% mengambil masa 8 jam. Dengan pengecasan penuh, YADEA RS20 mampu mencapai jarak tunggangan sehingga 105km (anggaran), menjadikannya pilihan praktikal untuk perjalanan harian.
Dari segi dimensi, model ini berukuran 1,820mm panjang, 666mm lebar dan 1,130– 1,290mm tinggi, dengan jarak roda 1,298mm, kelegaan tanah 180mm, serta ketinggian tempat duduk 765mm. Berat keseluruhan adalah 114kg dengan bateri dan 72kg tanpa bateri, manakala sudut mendaki maksimum ialah 13˚.
Bagi keselesaan dan keselamatan, YADEA RS20 dilengkapi tayar hadapan 90/80-12 dan tayar belakang 90/80-12, kedua-duanya jenis tanpa tiub. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik, manakala belakang menggunakan penyerap hentak berkembar. Sistem membrek terdiri daripada brek cakera + CBS di hadapan dan brek dram + CBS di belakang untuk daya hentian yang selamat dan stabil.
Selain itu, YADEA RS20 boleh dipadankan dengan motosikal elektrik YADEA anda dengan mengimbas kod QR unik melalui aplikasi YADEA App (tersedia untuk iOS dan Android). Setelah dipadankan, anda boleh membuka kunci motosikal terus melalui telefon pintar. Ia juga menyokong tiga kaedah membuka kunci (kunci mekanikal, kawalan jauh dan aplikasi YADEA), memberikan anda pelbagai alternatif dan kemudahan untuk menghidupkan motorsikal.
Ciri-ciri tambahan termasuk lampu utama LED, lampu belakang LED, lampu isyarat LED, paparan meter digital, port pengecasan USB Type-A, fungsi gear undur, dua mod tunggangan iaitu ‘S’ (Sport) dan ‘E’ (Eco), ruang simpanan depan, ruang simpanan bawah tempat duduk, rak belakang, suis keselamatan side stand, mechanical key entry system, serta sambungan aplikasi Yadea untuk kemudahan pintar.
Dengan setiap pembelian YADEA RS20, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat. Para pembeli juga boleh menikmati pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
TENTANG YADEA
YADEA ialah jenama global terkemuka dalam industri kenderaan elektrik dua roda, yang diasaskan pada tahun 2001 di China. Sejak penubuhannya, YADEA telah berkembang pesat dan kini mempunyai kehadiran di lebih 100 negara, menjadikannya antara pengeluar skuter dan basikal elektrik terbesar di dunia. Misi YADEA adalah untuk menyediakan penyelesaian mobiliti pintar dan mesra alam yang menggabungkan reka bentuk moden, teknologi pintar dan prestasi berkualiti tinggi.
Sebagai peneraju dalam teknologi EV dua roda, YADEA memberi tumpuan kepada inovasi berterusan dengan membangunkan bateri pintar, motor berkuasa tinggi dan sistem rangkaian pintar (IoT) yang menyokong gaya hidup bandar yang dinamik. Jenama ini juga menitikberatkan kelestarian, dengan komitmen terhadap pengurangan pelepasan karbon dan pengeluaran produk mesra alam.
Di Malaysia, YADEA mula menembusi pasaran sebagai sebahagian daripada gelombang baharu mobiliti hijau, menyasarkan pengguna muda, profesional bandar dan mereka yang mencari alternatif pengangkutan yang lebih lestari. Melalui kerjasama dengan pengedar tempatan, YADEA menawarkan model-model skuter elektrik yang sesuai untuk kegunaan harian, dengan reka bentuk bergaya serta teknologi pintar yang selaras dengan keperluan pasaran tempatan.
Dengan reputasi global dan komitmen terhadap kualiti, YADEA bersedia untuk menjadi antara jenama utama dalam revolusi pengangkutan elektrik di Malaysia.
