(SEMASA) ZEEHO, JENAMA BARU MEMASUKI MALAYSIA BERSAMA MODEL MOTOSIKAL

Spread the love

SHAH ALAM, 22 SEPTEMBER 2024 – Bersempena dengan pembukaan CFMOTO Flagship Store ICity Motoworld yang telah dihadiri oleh En. Ernest Ng Yee Meng (Pengarah Urusan ICity Motoworld Sdn. Bhd.), En. Ryan Tan (Pengarah CFMOTO Malaysia), Ts. Nizmar Mohd Nazar (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii) dan En. Max Zhang (Pengarah Pemasaran Antarabangsa ZEEHO), jenama ZEEHO telah diperkenalkan dalam industri automotif tempatan. 

Jenama ini telah mula memasuki pasaran Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian kenderaan elektrik (EV) dalam negara. Sebagai jenama di bawah CFMOTO, ZEEHO berfokuskan pengeluaran skuter dan motosikal elektrik futuristik serta berprestasi tinggi.

Pasaran Malaysia yang semakin menerima teknologi hijau menjadikan negara ini lokasi strategik untuk jenama seperti ZEEHO dan ia turut selari dengan inisiatif kerajaan yang menetapkan Skim Galakan Penggunaan    Motosikal Elektrik (MARiiCas) menerusi Belanjawan 2024 bagi menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik yang lebih efisien dan mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

ZEEHO Malaysia kini dalam proses untuk memperoleh kelulusan mendaftarkan model AE4 di dalam program MARiiCas.

Pelancaran ZEEHO dalam pasaran tempatan ini disempurnakan oleh Ts. Nizmar Mohd Nazar dan En. Ryan Tan, yang kemudiannya diteruskan dengan pelbagai sesi yang menarik seperti persembahan tarian singa dan cabutan bertuah. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk skuter ZEEHO AE4 iaitu Helios Orange, Nebula White dan Velocity Gray.

Bermula dengan penawaran harga RM6,999.00 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, pengguna akan memiliki ZEEHO AE4 yang mempunyai saiz ruang simpanan sebesar 31L.

ZEEHO juga mempunyai aplikasi tersendiri dengan fungsi mengawasi motosikal iaitu ZEEHO Ride. Ciri-ciri khas ini membolehkan pengguna untuk meningkatkan taraf keselamatan ZEEHO AE4. Hal ini kerana pengguna boleh menjejakinya menerusi aplikasi dan boleh mengunci motosikal walaupun pada jarak yang jauh. Aplikasi ini juga bakal dilancarkan dalam pasaran tempatan pada hujung bulan ini.

Terdapat pelbagai lagi spesifikasi pintar yang ada pada AE4 ini seperti menawarkan fungsi perisian Over-The-Air (OTA). Percirian yang unik ini membolehkan kemas kini perisian dilakukan secara automatik tanpa perlu ke pusat servis dan hanya melalui sambungan internet.

Keadaan ini amat memudahkan pemilik ZEEHO AE4 tidak seperti motosikal tanpa OTA yang perlu menyambungkan keseluruhan sistem OBD (On-Board Diagnostics) kenderaan jika ingin menaiktaraf ECU (Electronic Control Unit) yang berkaitan di pusat servis berhampiran.

AE4 juga dilengkapi dengan sistem pintar EasyRide yang memberikan pengalaman penunggangan lebih mudah dan selesa. Ia menawarkan mod pemanduan yang pelbagai, sesuai dengan situasi dan gaya menunggang, sama ada untuk perjalanan harian yang santai atau pemanduan yang lebih bertenaga.

EasyRide juga merujuk kepada ciri khas AE4 seperti cruise control, yang membolehkan motosikal mengekalkan kelajuan seterusnya memberikan keselesaan terutamanya untuk perjalanan jauh.

Terdapat juga lima cara untuk   menghidupkan motosikal iaitu menerusi NFC (Near Field Communication),  kunci, capaian Bluetooth, kata laluan dan capaian internet 4G.

Model AE4 ini juga mempunyai soket pengecasan USB serta ruang simpanan kecil yang sesuai untuk menyimpan barang bersaiz sederhana seperti telefon pintar.

Motosikal elektrik ini mempunyai panjang keseluruhan 1910mm, lebar 743mm dan tinggi 1154mm. Beratnya pula adalah 96kg berserta 770mm bagi ketinggian tempat duduk.

Jarak roda adalah 1340mm serta jarak skuter dari permukaan tanah adalah 140mm. Saiznya yang sederhana akan memberikan keselesaan kepada penunggangnya sebagai kenderaan harian.

Dengan bateri lithium, skuter elektrik ini mempunyai kuasa nilai 1.6kW dan 3kW kuasa maksimum dengan kapasiti bateri 74V27 Ah.

ZEEHO AE4 turut dilengkapi dengan tayar hadapan 80/90-12 dan belakang 100/80-12, memberikan cengkaman yang kukuh serta kestabilan yang tinggi ketika menunggang, sesuai untuk pelbagai permukaan jalan di kawasan bandar.

Sistem suspensinya terdiri daripada penyerap hentakan hidraulik di hadapan dan dwi-spring boleh laras di belakang, memastikan perjalanan yang selesa dan lancar,  walaupun dalam keadaan jalan yang beralun. Bagi sistem brek, AE4 menggunakan brek cakera di hadapan dan belakang, memberikan kuasa pemberhentian yang responsif dan selamat, terutama ketika memerlukan pemberhentian kecemasan.

Rangka tiub keluli yang kukuh menjadikan AE4 lebih stabil dan tahan   lama, manakala paparan LCD pada papan pemuka memastikan maklumat penting seperti kelajuan dan status motosikal dapat dipantau dengan mudah dan jelas oleh penunggang.

ZEEHO AE4 juga mampu mendaki laluan yang curam dengan kecerunan sehingga 15°, menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian di kawasan berbukit di bandar.

Peminat motosikal elektrik boleh memiliki ZEEHO AE4 ini bermula Disember 2024. Dengan setiap pembelian ZEEHO AE4, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat. Para pembeli juga boleh menikmati pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.

TENTANG ZEEHO

ZEEHO adalah sub-jenama di bawah CFMOTO, yang dilancarkan pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meneroka pasaran kenderaan elektrik, terutamanya dalam segmen skuter elektrik. Ia diwujudkan dengan fokus pada mobiliti masa depan, gaya hidup bandar, dan kelestarian alam sekitar. Dengan misi untuk menggabungkan teknologi hijau, reka bentuk futuristik dan prestasi tinggi, ZEEHO membawa inovasi kepada pengangkutan moden.

Jenama ini memanfaatkan pengalaman CFMOTO dalam industri automotif untuk menghasilkan skuter elektrik yang canggih, direka untuk generasi muda dan pengguna yang mengutamakan kelestarian dan inovasi teknologi. Sejak dilancarkan, ZEEHO terus berkembang dan menghasilkan produk dengan teknologi canggih seperti bateri berkuasa tinggi, paparan digital dan ciri keselamatan pintar seterusnya menjadikan jenama ini peneraju dalam industri skuter elektrik di peringkat global.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *