KUALA LUMPUR (2 Jun 2017): Lima puluh pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) berkesempatan untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemain Liga Super Pulau Pinang, Faiz Subri di One World Hotel, Petaling Jaya, hari ini.
Majlis berbuka puasa ini memberikan ruang dan peluang kepada pemain muda negara untuk memperoleh inspirasi, terutamanya 25 pemain PPBN yang terpilih ke Clairefontaine, Perancis bagi menghadapi perlawanan persahabatan.
Pasukan akan berlepas ke Perancis pada 5 Jun untuk menentang pasukan B-15 Clairefontaine dan pasukan B-15 Paris Saint-Germain (PSG). Selepas itu, mereka akan terbang pula ke Amsterdam pada 11 Jun untuk perlawanan persahabatan dengan Feyenoord (13 Jun), SBV Vitesse (20Jun) dan akan mengambil bahagian dalam kejohanan B-15 yang disertai pasukan Liga Belanda seperti AZ Alkmaar, FC Copenhagen, PSV Eindhoven dan SBV Vitesse.
adidas selaku penaja rasmi pakaian PPBN juga menyerahkan but Dust Storm Pack (Ace, Nemeziz & X) kepada 25 pemain B-15 pasukan elit itu. Ia adalah satu cara bagaimana adidas menunjukkan sokongan terhadap sukan bola sepak dengan memastikan pemain muda harapan negara dilengkapi dengan kasut terbaik.
Dust Storm Pack mengandungi Nemeziz, but terkini dari adidas sebagai salah satu item utama di samping Ace dan X. Nemeziz stadium, jalanan dan “cage” memperkenalkan beberapa reka bentuk baru seperti AGILITYKNIT 2.0 dan teknologi TORSIONTAPES untuk fit terbaik dan rasa ringan bagi ketangkasan pemain dalam perlawanan. But – dilancarkan dengan warna bold black dan putih – sudah berada di outlet runcit adidas seluruh negara.
“Saya rasa majlis ini adalah sangat bermanfaat untuk pasukan kami terutamanya kepada pemain muda dan kami berterima kasih kepada adidas atas peluang ini yang hadir tepat pada masanya sebelum pasukan berlepas ke Perancis. Ini adalah satu rangsangan besar dan pemain pastinya teruja untuk menerima but terbaru adidas, Dust Storm Pack, “kata Safirul Azli Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPBN.
Beliau berkata, majlis itu turut memberi satu pengalaman menarik kepada pemain kerana mereka dapat bertemu dengan pemain senior seperti Faiz Subri yang juga pemenang Anugerah Puskas 2016.
Sesi soal-jawab antara pemain PPBN dan pemain bola sepak profesional itu turut diadakan untuk membolehkan pemain berpengalaman tersebut berkongsi suka duka dalam perjalanan kariernya..
Faiz juga mengakui seronok dapat berkomunikasi dengan pemain PPBN kerana mereka berinteraksi dengan baik.
“Sesi bertemu dan beramah mesra ini adalah satu idea yang baik kerana kita dapat bersosial dan memberi motivasi kepada pemain-pemain muda. Dari situ, saya percaya mereka mendapat dorongan untuk melakukan yang terbaik semasa di Perancis, “kata Faiz.
Pemain berusia 29 tahun itu juga yakin barisan pemain PPBN yang kerap menyertai perlawanan di seluruh dunia mampu merealisasikan impian untuk memartabatkan bola sepak negara melalui ilmu serta pengalaman yang diperoleh.
“Ia sangat bagus untuk melihat semua anak-anak muda ini mempunyai semangat untuk bermain bola sepak dan sentiasa memperbaiki diri mereka untuk lebih maju. Melihat mereka sekarang, saya boleh mengatakan bahawa mereka pasti akan mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak dan pastinya dapat mewakili negara yang tercinta ini satu hari nanti, “ujar Faiz.