(SUKAN) ADIDAS MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN PPBN

Spread the love

IMG_1small.

KUALA LUMPUR (18 Mei 2016): Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) akan mengorak langkah yang lebih kukuh dan meluaskan platform melalui perjanjian kerjasama 3 tahun bersama adidas Malaysia.

Kerjasama yang bernilai RM1.2 juta secara keseluruhan akan memperlihatkan skuad elit PPBN dan skuad-skuad Akademi Bola Sepak Negara yang kini ditempatkan di Sekolah Sukan Malaysia, mengenakan kit terbaru adidas dan segala kelengkapan untuk 3 tahun bermula dari 2016 hingga 2018.

Melalui bimbingan Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim, pasukan PPBN berjaya mengharumkan nama negara apabila Skuad Bawah-13 Kebangsaan itu berjaya menjuarai IBER Cup yang berlangsung di Costa Del Sol, Sepanyol pada 2015. Tambahan lagi, pasukan ini juga menunjukkan mutu permainan yang memberangsangkan ketika menentang beberapa akedemi terkemuka Eropah.

Progam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) secara rasminya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2014 di Gambang, Pahang. Program ini adalah hasil usahasama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, semasa menyampaikan ucapan dalam majlis menandatangani perjanjian bersama adidas di Kuala Lumpur hari ini berkata: “Melalui perjanjian kerjasama ini, kita lebih yakin PPBN akan mempunyai peralatan terbaik untuk menghadapi pelbagai program besar yang bakal dihadapi”.

 “Kami mengalu-alukan komitmen adidas untuk bersama-sama mengasah bakat-bakat muda ini,” tambah Khairy. “Saya begitu yakin dengan penglibatan adidas dan ini membolehkan kami untuk lebih fokus dalam membangunkan bakat muda berusia 7-17 tahun dengan objektif utama untuk membina 300 pusat latihan di seluruh negara.”

adidas Malaysia sentiasa menunjukkan minat terhadap pembangunan bakat muda bola sepak negara dan turut menaja pemain muda dari Pulau Pinang FA iaitu Muhammad Jafri Chew dan Muhammed Syamer Kutty serta pemain muda dari Selangor FA, Adam Nor Azlin. Selain itu, jenama terkemuka dunia itu turut menaja pasukan Liga Super, Johor Darul Takzim FC.

Pengurus Besar adidas Malaysia, Max An, berkata: “ Hari ini adalah hari yang istimewa buat adidas kerana kita begitu teruja untuk menjalin kerjasama dalam menjadi penaja pakaian rasmi PPBN dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.2 juta dari 2016 hingga 2018.”

 “Dengan kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan mutu bola sepak Malaysia dan memberi nilai tambah kepada kualiti yang dimiliki pemain muda kita. adidas Malaysia sememangnya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan PPBN dan jenama kami bakal di kenakan oleh pemain muda kita di atas padang”.

Untuk meningkatkan pencapaian dalam pembangunan di peringkat akar umbi, adidas Malaysia turut menaja kit dan peralatan untuk Institusi Victoria dan juga Sekolah Sukan Kuala Lumpur.

Pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) akan menghadapi jelajah di Eropah bulan depan seterusnya di Jepun, Korea Selatan dan sekitar Asia Tenggara nanti.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *