Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2015 (ARRC), Kejuaraan motosikal terulung di rantau Asia bakal membuka tirai untuk musim 2015 apabila seluruh kontinjen pelumba akan beraksi di Litar Antarabangsa Sepang, pada 17 hingga 19 April ini.
Dibuka secara percuma kepada semua peminat dan penyokong, Pengarah Promosi Promoter Kejuaraan Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg berharap agar penyokonng tempatan dapat menggunakan kesempatan ini untuk hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada barisan pelumba Malaysia yang akan beraksi menentang barisan pelumba handalan dari seluruh Asia.
Beraksi di sebahagian litar dengan jarak sepanjang 2.807 kilometer, musim ini menyaksikan pembaharuan di mana dua kategori baru diperkenalkan, beberapa perubahan teknikal di samping kehadiran beberapa pelumba handalan terutama dalam kelas SuperSports 600cc seperti bekas pelumba Moto2, Yuki Takahashi, Noriyuki Haga dan pelumba Australia, Mark Aitchison.
Dua kategori baru yang diperkenalkan pada musim ini dijangka bakal merancakkan lagi saingan ARRC iaitu perlumbaan kelas terbuka Asia Production 250cc (AP250) dan Cabaran Suzuki Asia (SAC) di samping dua kategori sedia ada, perlumbaan tradisi Underbone 130cc dan satu lagi kelas pengeluar, Asia Dream Cup (ADC).
Kelas AP250 merupakan perlumbaan kelas terbuka melibatkan pengeluar-pengeluar jentera 250cc Honda, Kawasaki dan Yamaha dimana beberapa peraturan teknikal digubal bagi membolehkan ketiga-tiga jentera ini berada di grid sama di samping penggunaan tayar tunggal Dunlop yang telah bekerjasama dengan kejuaraan selama ini.
Sementara itu kelas SAC bakal menyaksikan barisan pelumba beraksi menggunakan jentera Suzuki FU150 yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan pelumba-pelumba Suzuki di rantau Asia.
Selepas Sepang, seluruh kontinjen akan beraksi di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 4-7 Jun diikuti pusingan ketiga di Litar Suzuka (1 – 5 Julai).
Litar Buriram akan menjadi hos bagi pusingan keempat pada 27 hingga 30 Ogos diikuti pusingan kelima di Litar Losail, Doha, Qatar pada 30 September – 3 Oktober) sebelum kembali semula ke Litar Buriram untuk pusingan terakhir pada 2 hingga 6 Disember.