KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 – Lima bintang meningkat naik dari Asia Tenggara berjaya mencuri tumpuan di salah satu pentas terbesar sukan, apabila meraih slot berprestij ke Kejohanan Maybank 2025 melalui Pusingan Kelayakan ASEAN di Padang West, Kuala Lumpur Golf & Country Club yang terkenal.
Selepas dua hari dan 36 lubang aksi golf bertaraf tinggi, bintang amatur Thailand yang sedang menyerlah, Kritchanya Kaopattanaskul, mempamerkan ketepatan dan ketenangan luar biasa untuk muncul juara dengan jumlah 7-di bawah par 137, selepas mencatatkan 70 pada pusingan kedua bagi melengkapkan skor pembukaan 67 yang turut diserikan dengan pukulan ‘hole-in-one’.
“Saya sangat gembira kerana layak bermain di Kejohanan Maybank dalam Jelajah LPGA. Ia sangat bermakna buat saya. Ini akan menjadi kejohanan profesional pertama saya di luar Thailand. Saya harap dapat bermain sebaik dua hari lepas di hadapan rakan-rakan Malaysia saya pada bulan Oktober nanti,” kata pemain berusia 17 tahun itu, mengimbau detik yang membawanya ke pentas LPGA.
Tempat kedua diraih oleh rakan senegara, Achiraya Sriwong (amatur), diikuti Namo Luangnitikul (amatur), Cholcheva Wongras dan Kan Bunnabodee – menjadikan keseluruhan lima slot kelayakan dikuasai pemain Thailand selepas saingan sengit membabitkan 69 peserta dari rantau ASEAN.
Sriwong, 16, yang merupakan pemain amatur ber-ranking tertinggi di kejohanan ini (No. 41 Dunia), mencatat skor terbaik hari itu dengan 67 untuk berada dua pukulan di belakang Kritchanya. Luangnitikul menduduki tempat ketiga dengan jumlah 144 selepas catatan 71, manakala Wongras dan Bunnabodee berkongsi tempat keempat dengan masing-masing mencatatkan 71 dan 72, melengkapkan senarai lima peserta yang layak ke Kejohanan Maybank bernilai AS$3 juta yang akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November di Padang West.
Dua wakil Malaysia, Ng Jing Xuen (70) dan Genevieve Ling (74) berkongsi tempat keenam selepas pertarungan sengit, hanya satu pukulan di luar kelompok lima teratas.
Pusingan Kelayakan ASEAN membuktikan visi Maybank untuk mengangkat bakat serantau ke pentas global, merapatkan jurang antara aspirasi akar umbi dan peluang bertaraf dunia. Edisi tahun ini mencatatkan peningkatan penyertaan yang ketara – hampir dua kali ganda daripada 35 pemain pada tahun lalu kepada 69 – menjadikan persaingan untuk lima slot berprestij ini lebih sengit.
Membuka Peluang di Luar Kejohanan
Dalam langkah bersejarah, Maybank mengumumkan bahawa peserta ASEAN berprestasi tertinggi di Kejohanan Maybank nanti akan menerima jemputan ke salah satu acara 2026 di Epson Tour – siri pembangunan rasmi LPGA – sekali gus memberikan peluang unik untuk bersaing bersama generasi bintang golf wanita masa depan.
Kejohanan yang Tiada Tandingannya
Kini memasuki tahun ketiga, Kejohanan Maybank telah memantapkan reputasinya sebagai kejohanan golf utama Asia. Dengan jumlah hadiah AS$3 juta – yang tertinggi di benua ini – ia telah menarik nama-nama besar golf dunia termasuk bekas dan pemain No. 1 Dunia Nelly Korda dan Jeeno Thitikul, serta juara major Grace Kim dan Ayaka Furue. Dua juara terdahulu, Celine Boutier dari Perancis dan Ruoning Yin dari China, masing-masing mengangkat Trofi Harimau dengan persembahan memukau.
Selain wang kemenangan dan ranking, kejohanan ini membawa misi yang lebih besar – menyatukan ASEAN melalui sukan, memperkukuh rasa bangga serantau, dan memberi inspirasi kepada generasi atlet akan datang. Pusingan Kelayakan ASEAN adalah bukti nyata misi ini.
Daripada kawasan latihan hingga ke podium juara, platform Maybank mentakrifkan semula maksud pelaburan sukan untuk impak serantau, lonjakan ekonomi, dan aspirasi bersama. Dengan langkah berani seperti Pusingan Kelayakan ASEAN, kejohanan ini terus berkembang daripada sekadar acara jelajah kepada pemangkin perubahan dalam golf wanita dunia.
Menjelang Kejohanan Maybank 2025 (30 Oktober – 2 November), pentas sudah tersedia. Bakat-bakat baharu rantau ini bersedia bersaing dengan yang terbaik dunia, dan Asia Tenggara pasti akan menyaksikannya.
Kejohanan Maybank menjemput semua untuk merasai debaran saingan secara dekat:
- Kemasukan percuma untuk Pemegang Kad Maybank dan pengguna Aplikasi MAE
- Kanak-kanak bawah 12 tahun: kemasukan percuma
- Pas Hari Biasa (Khamis & Jumaat) – RM38
- Pas Hujung Minggu (Sabtu & Ahad) – RM68
- Pas Musim (Semua Hari: Khamis hingga Ahad) – RM88
Maklumat tiket dan kemas kini boleh diperoleh di: Maybank Championship 2025 Ticketing
Petikan Pemain
Kritchanya Kaopattanaskul (THA)
“Ini kali pertama saya bermain di padang ini. Terima kasih kepada Maybank kerana menyediakan peluang kepada pemain ASEAN untuk menyertai kejohanan besar. Ia sangat menyeronokkan, terutama bermain di sini. Saya juga membuat ‘hole-in-one’ semalam – yang pertama dalam hidup saya.”
Achiraya Sriwong (THA)
“Saya sangat teruja untuk bermain di Kejohanan Maybank. Berpeluang bermain dengan pemain hebat adalah satu pengalaman yang berharga.”
Kan Bunnabodee (THA)
“Bagi saya, peluang bermain bersama bintang Thailand seperti Jeeno (Thitikul) sangat istimewa. Dia bekas rakan sepasukan saya dalam pasukan kebangsaan, jadi ini seperti pertemuan semula. Saya rasa program golf junior yang kompetitif di Thailand membolehkan kami menonjolkan potensi walaupun belum berada di LPGA. Jika diberi peluang, kami mahu beraksi sebaik mungkin menentang pemain terbaik dunia.”
Namo Luangnitikul (THA)
“Pemain-pemain hebat Thailand adalah idola kami. Akan seronok dapat bersama mereka pada bulan Oktober dan saya akan cuba menikmati suasana ini. Kesan pertama saya ialah padang ini sangat mencabar, terutama kawasan ‘green’. Saya bimbang jika permainan saya tidak menjadi, tetapi ternyata ia berjalan lancar.”
Cholcheva Wongras (THA)
“Saya rasa kami semua sangat teruja dengan peluang ini dan akan cuba memberikan aksi terbaik dalam kejohanan.”
Ng Jing Xuen (MAS)
“Saya bersyukur diberi peluang bermain dalam suasana kejohanan LPGA. Cuma sedikit kecewa kerana tidak bermain baik di sembilan lubang terakhir semalam. Selain itu, permainan saya semakin baik berbanding tahun lepas – itu satu kemajuan yang saya banggakan. Mungkin terlalu banyak tekanan, menyebabkan saya tidak bermain seperti yang diinginkan. Saya perlu belajar daripada pengalaman ini.”
Genevieve Ling (MAS)
“Saya cuba fokus dan berjuang hingga lubang terakhir. Malangnya, beberapa pukulan ‘birdie’ dan ‘chip’ hanya melintas tepi lubang. Itulah golf. Di lubang pertama, bola saya terbenam di bunker tetapi saya berjaya selamatkan ‘bogey’. Kemudian, saya membuat pukulan buruk di lubang kedua dan terpaksa catat ‘double bogey’.”
