Kuala Lumpur: Tiada sebarang bayaran pencen diberi kepada pemanah Paralimpik negara, Hasihin Sanawi yang meraih pingat perak dalam saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.
Perkembangan itu jelas berlawanan dengan apa diraih atlit normal seperti pemain badminton perseorangan negara, Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang masing-masing menang perak dan gangsa di Sukan Olimpik London. Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri tidak menyediakan bayaran pencen dan situasi itu bukan bermaksud menafikan hak golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkenaan. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata Hasihin tidak akan menerima pencen seperti Chong Wei serta Pandelela, tetapi dia akan menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Pencen setakat ini memang tidak ada. Kita masih kekal dengan apa yang ada sekarang, tetapi selepas dibawa ke Kabinet, ada lagi benda lain akan diberikan kepadanya, katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementeriannya, Stadium Juara, semalam.
Tidak lupa jasa
Beliau berkata, keputusan ini bukan mahu melupakan jasa diberikan tetapi tahap kompetitif pertandingan Paralimpik tidak boleh disamakan dengan Olimpik.
Tidak boleh samakan Paralimpik dengan Olimpik kerana kita lihat dari segi tahap kompetitif dua pertandingan ini berbeza. Misalnya acara 100m untuk Paralimpik ada 21 kategori.
Jangan anggap ia sama kerana terlalu banyak berbanding 100m Usain Bolt dan begitu juga bagi acara lain.
Namun nilai yang kita beri ini sudah tinggi. Bukan saja tiga kali ganda dari Singapura tetapi saya rasa berpuluh kali (ganda) negara lain malah Australia tidak beri apa-apa kepada atlit Paralimpik mereka, katanya yang enggan memberi butiran lanjut mengenai ganjaran untuk Hasihin.
sumber artikel : Berita Harian
sumber gambar : google