(SUKAN) CIMB bekerjasama dengan ASCARO untuk menawarkan keistimewaan eksklusif dan mengumumkan kejohanan CIMB Padel Open

Spread the love

Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (secara kolektif “CIMB” atau “Bank”) mengumumkan kerjasama strategik dengan ASCARO bagi penganjuran CIMB Padel Open, menandakan penyertaan CIMB dalam sukan padel—antara sukan raket yang paling pesat berkembang di Malaysia. Walaupun kejohanan padel ini dijadualkan berlangsung pada Jun 2026, pelanggan CIMB sudah pun boleh menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif di gelanggang padel ASCARO di pusat beli-belah 1 Utama, serta gelanggang tambahan yang bakal dibuka di TREC Kuala Lumpur—lokasi yang pasti menarik minat peminat padel dan gaya hidup.

Kerjasama ini menegaskan komitmen Bank untuk memperkasa dan menyatukan komuniti melalui inisiatif yang meraikan minat bersama dan semangat berpasukan, selaras dengan Kita Bagi Jadi, sebuah gerakan CIMB yang memupuk semangat ketahanan, optimisme dan sikap positif dalam kalangan rakyat Malaysia. Semangat juang dalam sukan padel menyamai seruan Kita Bagi Jadi, iaitu bertindak dengan tujuan, berdepan cabaran dan meraikan kejayaan.

Menerusi kerjasama ini bersama kelab padel premium tersebut, pemegang kad kredit dan debit CIMB menikmati diskaun 15% bagi langganan keahlian Gold & Black di ASCARO Padel & Social Club apabila pembayaran dibuat menggunakan kad CIMB. Selain itu, klien CIMB Preferred turut menerima pelbagai keistimewaan eksklusif termasuk akses gelanggang percuma, barangan istimewa dan jemputan ke acara terpilih. Keistimewaan ini mencerminkan dedikasi CIMB dalam menyediakan pengalaman gaya hidup yang melangkaui perbankan tradisional, memperkayakan kehidupan pelanggan berstatus tinggi melalui pengalaman premium.

Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad; Toni Darusman, Ketua Pegawai Jenama & Pemasaran Kumpulan CIMB; serta Daniel Liljekvist, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi ASCARO turut hadir pada pengumuman kerjasama tersebut.

Gurdip berkata, “CIMB berbangga memainkan peranan dalam memajukan landskap sukan dan gaya hidup di Malaysia melalui kerjasama bermakna. Daripada menyokong ikon nasional sehinggalah menganjurkan pengalaman premium seperti CIMB Preferred Golf Series dan kini berkembang ke sukan padel, kami terus mencari cara untuk memperkasa komuniti dan mempromosi gaya hidup aktif.

Kerjasama kami dengan ASCARO membawa semangat yang sama kepada segmen baharu. Padel bukan sekadar sukan — ia mengenai hubungan, ketangkasan dan keterangkuman, nilai yang sejajar dengan matlamat CIMB. Sebagai bank pertama di Malaysia yang menerajui sukan padel, kami meluaskan akses kepada sukan yang kini sedang berkembang pesat sambil memperkayakan kehidupan pelanggan dengan pengalaman yang menggalakkan keseimbangan, kesejahteraan dan kebersamaan.”

Daniel berkata, “Padel yang berasal dari Mexico dan dipopularkan di Sepanyol telah berkembang pesat di Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ASCARO kini mentakrifkan semula landskap rekreasi dan rangkaian sosial di bandar. Kami mencipta gabungan unik antara aktiviti sukan dan gaya hidup premium, dan kerjasama dengan CIMB merupakan satu langkah penting dalam perjalanan ini. Pendekatan progresif CIMB terhadap aspirasi pelanggan mereka membolehkan kami mengetengahkan padel sebagai sukan yang sejajar dengan gaya hidup kontemporari.”

Bagi menggalakkan penyertaan dalam CIMB Padel Open, Bank menawarkan pelbagai keistimewaan eksklusif kepada pemegang kad CIMB, termasuk diskaun yuran penyertaan kejohanan. Klien CIMB Preferred juga akan menikmati slot percuma, akses ke lounge CIMB Preferred dan dek tontonan, serta barangan eksklusif acara. Terbuka kepada orang ramai, kejohanan selama tiga hari ini akan menghimpunkan lebih 200 pemain dari kategori amatur dan profesional, menjadikannya antara kejohanan sukan raket paling dinanti di bandar.

Selain itu, klien CIMB Preferred menikmati pelbagai kelebihan lain seperti akses eksklusif ke kejohanan golf, perkhidmatan nasihat peribadi, serta pandangan pasaran daripada Chief Investment Office — menawarkan pendekatan menyeluruh terhadap pengurusan kekayaan dan gaya hidup.

Untuk maklumat lanjut mengenai CIMB Preferred dan kerjasama CIMB–ASCARO, sila layari laman web www.cimbpreferred.com.my/padel.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *