KUALA LUMPUR (17 Julai, 2017): Selepas tiga edisi bermula dengan Singapura, Pulau Pinang dan Johor berjaya diatasi peserta, mereka diuji sekali lagi di lokasi berbeza. Kali ini siri Viper Challenge menguji kekentalan peserta di Genting Highlands pada hari Sabtu lalu.
Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting telah mencabar lebih 10,000 peserta untuk tahun ketiga dengan cabaran larian mendaki bukit, jalan yang bengkang bengkok, dan banyak lagi cabaran baru yang menarik. Cuaca sejuk awal pagi di The Ranch In Awana, Genting Highlands antara satu kelainan baru yang perlu ditempuhi peserta ketika acara berlangsung.
Selain itu, hujan renyai-renyai semasa Viper Challenge berlangsung memberikan satu lagi cabaran kepada kumpulan peserta. Mereka dilepaskan setiap 30 minit sejak pukul 7 pagi lagi sehinggalah kumpulan terakhir yang dilepaskan adalah pada pukul 1.40pm.
Siri Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd, YBhg Dato’ Koh Yaw Hui yang melepaskan kumpulan peserta termasuklah lebih 300 kakitangan Great Eastern yang turut merasai cabaran pada hari itu.
Para peserta perlu melepasi jarak 10km serta 15 halangan yang disediakan dan mereka yang berjaya “menawan” semua halangan dihadiahkan medal serta t-shirt di garisan penamat. Apa yang menarik, gerai LIVE GREAT oleh Great Eastern turut menawarkan khidmat percetakan foto kenangan secara percuma dan juga peserta juga berpeluang memenangi kad hadiah Starbucks di “LIVE GREAT Fitness Challenge”.
Memandangkan kos perjalanan yang agak tinggi, pakej Viper Jet juga dipelawa kepada peserta untuk terbang ke Kuala Lumpur dari Singapura dengan kadar menarik sebelum bergerak ke Genting Highlands. Pakej untuk dua orang adalah termasuk tiket penerbangan pergi balik, tiket masuk ke Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting serta dua malam penginapan di First World Hotel, Genting.
“Ini adalah kali ketiga kami di Genting dan tarikan terhadap Viper Challenge juga meningkat setiap tahun berikutan cabarannya yang sangat menarik. Ia adalah satu acara menarik bagi mereka yang menggemarkan gaya hidup pantas serta memberikan pengalaman unik kepada semua peserta,” ujar Simran Latif, Ketua Operasi Viper Challenge.
Viper Challenge mendapat sambutan lebih 120,000 peserta tempatan dan antarabangsa sejak ianya dianjurkan adalah disokong oleh Malaysia Major Events, satu bahagian dalam Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Salah seorang peserta dari Kelantan, Mohammad Hanif atau lebih dikenali Nik nyata sangat teruja dapat mengatasi keseluruhan halangan yang disediakan.
“Saya berbangga dengan diri saya sendiri kerana dapat menghabiskan larian berhalangan ini. Lagipun ini merupakan kali pertama saya menyertai Viper Challenge. Saya hampir-hampir gagal menamatkan larian ini tetapi mujurlah kerjasama daripada rakan-rakan berjaya membawa kami sampai ke garisan penamat dalam masa lebih kurang 90 minit,” katanya selepas tiba di garisan penamat.
Sementara seorang pelajar, Alyssa Francis yang menyertai Viper Challenge mengakui halangan yang disediakan agak sukar tetapi dia seronok berjaya sampai ke garisan penamat.
Dia berkata, “Halangan yang disediakan benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal saya di tahap maksimum. Tadi saya mengalami kekejangan otot semasa sedang cuba melepasi halangan tapi saya seronok kerana saya sampai juga ke garisan akhir,” kata pelajar universiti swasta berusia 21 tahun itu.
Viper Challenge 2017 mempunyai pelbagai format kepada orang ramai dan juga kepada peserta elit. Peserta dikehendaki untuk melengkapkan mana-mana tiga daripada lima siri – peringkat kelayakan (Singapura, Pulau Pinang dan Johor) atau acara peringkat pertengahan (Genting Highlands, Shah Alam) sebelum membuat perjalanan ke peringkat akhir, Great Eastern Viper Challenge.
Selepas ini, Great Eastern Viper Challenge akan diadakan di Stadium Shah Alam pada bulan September dengan para peserta pastinya mahu melengkapkan pungutan pingat siri finisher mereka dan pada Disember, peringkat terakhir untuk Viper Challenge diadakan di Cyberjaya. Layari laman web www.viperchallenge.com untuk maklumat mengenai tiket.
Lupakan rasa takut, jadikan ia sesuatu yang mengujakan!