(SUKAN) DARIPADA PERMULAAN SUKAR KE PENAMAT PODIUM UNTUK PASUKAN VIPER NIZA RACING DI 12 JAM PAUL RICARD

Spread the love

Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia telah mengubah hujung minggu perlumbaan yang hampir menjadi bencana di 12 Hours of Paul Ricard kepada penamat di podium, dan dalam proses itu telah dianugerahkan Spirit of the Race oleh penganjur kerana menunjukkan semangat juang yang luar biasa — bukan sahaja meneruskan perlumbaan, malah berjaya menamatkannya di atas podium.

Hanya beberapa minit selepas sesi kelayakan kedua bagi Kelas GT3 pada hari Jumaat (4 Julai), pemandu Dominic Ang dan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO milik pasukan telah terhentam kuat ke penghadang konkrit, menyebabkan kerosakan serius pada casis dan hampir-hampir memaksa Viper Niza Racing menarik diri daripada perlumbaan keesokan harinya. Namun, dalam tempoh kurang 24 jam, pasukan itu berjaya mendapatkan kereta sewa gantian dan — walaupun tanpa sebarang masa latihan dengan kereta baharu — turun ke grid permulaan dari kedudukan terakhir untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan dan tempat ke-3 dalam Kelas GT3-AM.

“Pegangan tayar semasa sesi panas tidak begitu baik, tetapi di selekoh itu, selalunya bila kita hilang kawalan, kita masih boleh keluar ke kawasan larian kecemasan. Dalam kes ini, kami masih menyiasat apa yang berlaku, dan kami mengesyaki mungkin ada komponen yang longgar,” kata Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo.

Nasib nyata menyebelahi yang berani apabila Viper Niza Racing berjaya mendapatkan kereta gantian serupa secara kebetulan — kereta tersebut berada di litar kerana digunakan dalam sesi ujian oleh pasukan Red Ant Racing. Jentera Mercedes-AMG GT3 EVO bernombor #93 milik Red Ant Racing juga menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 keseluruhan dalam 12 Hours of Paul Ricard, hanya 3.4 saat di belakang pemenang perlumbaan, Proton Huber Competition yang memandu Porsche 911 GT3R (992).

“Menamatkan perlumbaan sebegitu adalah seperti satu keajaiban. Kami sangat bernasib baik kerana berjaya mendapatkan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, tetapi kami hampir tiada masa langsung untuk biasakan diri dengan kereta itu sebelum perlumbaan bermula. Kami ambil pendekatan berhati-hati pada beberapa jam pertama perlumbaan dan apabila semua pemandu sudah serasi, kami mula tingkatkan kelajuan. Konsistensi juga menjadi kunci kejayaan dan kami amat gembira dengan hasilnya,” ujar Khoo.

Prestasi pasukan, yang turut dibantu oleh pemandu ketiga Melvin Moh, merupakan yang terbaik setakat ini di litar sepanjang 5.842km tersebut, dan mengimbau kembali kunjungan terakhir Viper Niza Racing ke Paul Ricard pada tahun 2018, di mana mereka menamatkan perlumbaan 4 jam dalam Kelas LMP3 di tempat ke-13 daripada 27 jentera menggunakan Ligier JSP3.

Masuk ke Paul Ricard di kedudukan ke-4 keseluruhan dalam pungutan mata GT3-AM, penamat tempat ke-3 ini akan mengukuhkan kedudukan Viper Niza Racing dalam keseluruhan siri 12H Creventic dengan hanya satu perlumbaan berbaki — di Barcelona pada bulan September.

Viper Niza Racing disokong oleh Motul, Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Jenama Jam Rasmi; dan Hotel Jen Orchard Gateway di Singapura.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *