(SUKAN) Harimau Muda Julang Piala SCTV

Spread the love

KUALA LUMPUR – Jaringan menarik K. Reuben pada minit ke-43 sudah cukup buat pasukan Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee membenam ego skuad bawah 22 Indonesia 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan perebutan Piala SCTV, semalam.

Biarpun bermain di bahagian bek kanan dalam perlawanan tersebut, Reuben yang sekali-sekala naik ke atas membantu serangan berjaya melakukan melepaskan sepakan cantik dari jarak 25 meter yang gagal dijangkau penjaga gol tuan rumah, Aji Saka.

Kemenangan itu meneruskan kesinambungan rekod baik skuad negara ke atas negara jiran itu yang sentiasa menjadi seteru utama dalam mana-mana kejohanan bola sepak sama ada pada Sukan SEA atau Piala Suzuki AFF.

Tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Wan Zack Haikal, Gary Steven Robbat, Mohd. Nazmi Faiz Mansor dan Mohd. Fadhli Shas, Kim Swee memberikan kesempatan kepada pemain-pemain lain seperti Nik Mohd. Shahrul Azim, Nazirul Naim Che Hashim dan D. Saarvindran turun beraksi.

Beraksi dalam keadaan stadium yang lengang yang disaksikan tidak sampai 1,000 penonton, Malaysia bermula agak perlahan dengan membiarkan Indonesia lebih banyak mengusai perlawanan.

Keadaan padang yang terlalu kering juga dilihat banyak mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan sehinggakan tidak banyak aksi menarik dapat dipamerkan pada babak pertama kecuali gol Reuben memberikan pendahuluan bermakna pada skuad negara.

Namun, tempo permainan pada babak kedua sedikit berubah pada separuh masa kedua dengan Indonesia yang ketinggalan mula menyerang melalui gerakan menarik Hendra Bayauw pada minit ke-51, namun dapat dipatahkan oleh barisan pertahanan Malaysia yang diketuai Shahrul Mohd. Saad.

Kemasukan Mohd. Ferris Danial pada babak kedua jelas memberikan impak kepada bahagian serangan skuad negara dan hampir meletakkan Malaysia mendapat kelebihan dua jaringan pada minit ke-55, namun golnya dibatalkan kerana didakwa ofsaid.

Rembatan kaki kiri sekali lagi melalui Bayauw hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah tetapi bola sepakannya tersasar ke sebelah kiri gawang Malaysia.

Ferris mensia-siakan peluang berharga walaupun tidak dicabar oleh mana-mana pertahanan dalam kawasan penalti Indonesia selepas mendapat umpanan menarik daripada A. Thamil Arasu apabila rembatannya melambung tinggi melepasi gol tuan rumah pada minit ke-67.

Seminit kemudian, Garuda Muda sekali lagi memberikan amaran kepada anak-anak buah Kim Swee melalui sepakan jarak jauh Agung Supriyanto tetapi melewati sedikit palang gol Malaysia yang dikawal oleh Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

sumber berita : utusan

sumber gambar : google (kredit kpd pemilik gambar)


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *