PHILLIP ISLAND – Pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo mengesahkan gelaran juara dunia kategori MotoGP menjadi miliknya buat kali kedua setelah muncul naib juara Grand Prix (GP) Australia, semalam selepas satu-satunya pesaing, Dani Pedrosa gagal meneruskan perlumbaan akibat terbabas pada pusingan kedua.
Penunggang Honda, Pedrosa mengekori rapat di belakang rakan senegara, Lorenzo dengan 23 mata sebaik memulakan saingan dan berharap dia dapat memberikan tentangan sengit dalam perebutan juara dunia sehingga ke perlumbaan terakhir.
Namun, malang menimpa, apabila cabaran pelumba itu berakhir setelah terbabas di selekoh tajam Litar Phillip Island.
Lorenzo yang berusaha untuk tidak mengikut jejak Pedrosa, menamatkan saingan di belakang hero tuan rumah, Casey Stoner yang akan bersara apabila dia melebarkan rekod kemenangan keenam berturut-turut di tanah airnya.
Selepas Stoner mengangkat tabik hormat kepada penyokong tempatan, Lorenzo melakukan aksi ‘wheelie’ dan menggenggam tangannya ke udara sebaik melintas garisan penamat.
Kegembiraan pelumba berusia 25 tahun itu disambung di hentian pit apabila dia bertindak membakar tayar motosikalnya dan meraikan kejayaan tersebut bersama rakan sepasukan serta pegawai yang melompat-lompat keriangan mengelilingi Lorenzo.
“Saya benar-benar gembira dengan kejuaraan ini kerana kami tahu betapa sukar untuk bersaing dengan pelumba lain seperti Casey, Dani dan kehebatan jentera seperti Honda. Perlumbaan ini amat sukar.
“Anda perlu konsisten, tidak boleh melakukan kesilapan dan selalu cuba menamatkan saingan dalam setiap perlumbaan dan perlu fokus, jadi hari ini (semalam) adalah hari yang istimewa,” kata Lorenzo kepada pemberita yang memenangi gelaran pertama pada 2010.
Sementara itu, dalam saingan Moto2, seorang lagi pelumba Sepanyol, Marc Marquez yang akan bersaing pada perlumbaan MotoGP musim depan, muncul juara dunia kategori Moto2.
Pelumba berusia 19 tahun itu, menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang juara dan rakan senegara, Pol Espargaro, tetapi kejayaan itu sudah memadai buatnya merangkul gelaran tersebut sebelum perlumbaan terakhir di Valencia 11 November ini.
Julai lalu, Marquez diumumkan sebagai pengganti Stoner yang bersara dalam pasukan Repsol Honda pada musim MotoGP 2013. – Reuters
artikel : utusan