Cabaran VIOS 2025: SHAH ALAM, 11 Ogos 2025 — Dengan hujung minggu perlumbaan yang menawarkan mata berganda, Perlumbaan 2 dalam Pusingan 3 Toyota GAZOO Racing Malaysia VIOS Challenge berlangsung sengit apabila para pesaing kejuaraan dalam tiga kelas perlumbaan memberikan aksi terbaik bagi mendapatkan kelebihan sebelum Musim Ke-8 berehat dan pusingan akhir akan berlangsung pada Januari 2026.
Seperti Perlumbaan 1 pada Sabtu (9 Ogos), aksi door-to-door berterusan dari mula hingga akhir dalam perlumbaan selama sejam di litar penuh 5.543km Petronas Sepang International Circuit.
Hanya 35 daripada 37 pelumba berdaftar memulakan Perlumbaan 2. Tidak beraksi ialah Eddie Lew dari Laser Motor Racing apabila keretanya rosak teruk dalam Perlumbaan 1, serta Justin Toh dari BAE Racing by ES Yang yang dikecualikan daripada perlumbaan.
Dalam Kelas Super Sporting, Mitchell Cheah dari Team Prima Pearl SP Selatan memandu dengan sabar selama sejam walaupun sentiasa diasak rapat, untuk memenangi perlumbaan mengatasi pesaing kejuaraan Freddie Ang (Telagamas Toyota). Tempat ketiga menjadi milik Aman Nagdev dari India yang beraksi cemerlang untuk Axle Sports.
Bermula di petak utama ialah Najiy Ayyad dari Modern Racing Team yang membuat penampilan sulung dalam VIOS Challenge dan mendahului beberapa pusingan sebelum terpaksa masuk pit bagi memeriksa keretanya. Situasi itu membuka peluang kepada Cheah, Ang dan Aman untuk bersaing menentukan pemenang, dengan ketiga-tiga mereka saling memintas.
Dua insiden safety car di penghujung perlumbaan menghapuskan sebarang kelebihan masa, dan sebaik perlumbaan disambung semula, ia menjadi pecutan beberapa ratus meter terakhir ke garisan penamat.
“Terima kasih kepada pasukan yang memberikan saya kereta yang sangat baik walaupun saya membawa beban tambahan 30kg (akibat keputusan perlumbaan sebelum ini). Walaupun sedikit perlahan di laluan lurus, kereta ini sempurna di selekoh. Kami mengekalkan masa pusingan yang konsisten dari mula, bermula dengan baik di tempat kedua di belakang Najiy. Saya hanya cuba kekal tenang dan elak sebarang insiden di trek,” kata Cheah.
“Saya ambil peluang daripada beberapa insiden di trek dan apabila mendahului, saya hanya fokus untuk melebarkan jurang sedikit demi sedikit. Itulah yang memberi kemenangan kepada saya.
“Menuju dua perlumbaan akhir musim, ia akan menjadi sukar. Saya kembali mendahului kejuaraan tetapi jurang dengan Freddie sangat rapat. Saya akan membawa 50kg beban dalam dua perlumbaan akhir, ia mencabar tetapi kita lihat nanti.”
Dalam Kelas Sporting, Adam Mikail dari G-Mart Motorsport muncul juara, mengatasi graduan bekas Kelas Rookie, Sharique Zulqarnain (FIA Boulevard Racing), manakala Dato’ Dr Ken Foo (Kulim Topwheels) di tempat ketiga. Namun Sharique kemudian didiskualifikasi kerana gagal timbang selepas perlumbaan, menaikkan Foo ke tempat kedua dan pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52) ke tempat ketiga.
“Saya alami masalah besar menjelang Perlumbaan 2 apabila tidak dapat menamatkan Perlumbaan 1 dan terpaksa bermula dari belakang grid. Sungguh sukar untuk mengekalkan kelajuan dan masa pusingan, tetapi syukur saya berjaya bawa kereta kembali ke tangga teratas,” kata Adam.
Juara Kelas Rookie 2024 itu bagaimanapun masih belum pasti peluangnya untuk memburu gelaran Kelas Sporting dalam musim pertamanya dengan hanya dua lagi perlumbaan berbaki.
“Saya tak pasti tentang kejuaraan. Mungkin sukar untuk kembali bersaing kerana keputusan sebelum ini, tetapi saya akan cuba sehabis baik.”
Kemenangan Kelas Rookie pula menjadi milik Ian James yang menamatkan perlumbaan di hadapan Justin Rahul Dev dan Harkiesh Geeva.
Harkiesh mendahului pada awal perlumbaan tetapi terlibat dalam insiden dengan pelumba Kelas Sporting pada pusingan pembukaan. Turut terlibat ialah rakan sekelas rookie, Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi yang mengalami tayar pancit. Ketiga-tiga pelumba muda itu bagaimanapun bangkit semula walaupun ketinggalan satu pusingan selepas masuk pit untuk menukar tayar dan membaiki bampar.
“Saya sangat gembira dengan keputusan Perlumbaan 2. Kereta berfungsi sempurna tanpa masalah mekanikal. Pengurusan tayar jadi isu besar terutama dalam cuaca panas, menyebabkan understeer yang teruk. Itu sesuatu yang saya perlu atasi pada masa depan,” kata Ian.
“Malangnya, beberapa rakan rookie terlibat kemalangan. Ia akan lebih seronok jika dapat berlumba rapat dengan mereka. Minggu perlumbaan ini sangat penting untuk mengutip sebanyak mungkin mata bagi kejuaraan keseluruhan Kelas Rookie.”
Walaupun drama awal berlaku, para pelumba muda ini menunjukkan semangat juang, ketabahan dan minat mendalam terhadap perlumbaan, enggan membiarkan cabaran menggugat fokus mereka. Keupayaan mereka bangkit dan terus berlumba ke garisan penamat mencerminkan falsafah Move Your World Toyota – memperkasakan generasi pelumba seterusnya untuk mengatasi cabaran, mengejar impian, dan mara ke hadapan dengan yakin.
Keputusan Pusingan 3, Perlumbaan 2
Kelas Super Sporting
-
Mitchell Cheah – Team Prima Pearl SP Selatan
-
Freddie Ang – Telagamas Toyota
-
Aman Nagdev – Axle Sports
Kelas Sporting
-
Adam Mikail – G-Mart Motorsport
-
Dato’ Dr Ken Foo – Kulim Topwheels
-
Varunchit Wattanathanakun – RUK Team Nexzter PMC 52
Kelas Rookie
-
Ian James
-
Justin Rahul Dev
-
Harkiesh Geeva
