Majlis pelancaran jersi AFC The Red Warriors (TRW) telah berlangsung di Busana, Menara MARA Kuala Lumpur pada 23 Februari 2014. Perasmian jersi baru TRW yang bakal digunakan sepanjang kempen piala AFC 2014 ini dilakukan bersempena pembukaan butik pameran peralatan sukan The Red Warriors (TRW) dan juga bersempena acara Kelantan Fest yang berlangsung di lokasi yang sama.
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang diiringi oleh Pengerusi MARA yang juga merupakan penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ini dihadiri ribuan peminat dan penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) yang memenuhi ruang legar Busana, Menara MARA KL.
Pasukan Kelantan yang bakal beraksi di Piala AFC untuk tahun ketiga berturut-turut semenjak penampilan sulung pada 2012 bakal tampil dengan jersi baru pasukan berjenama UMBRO yang mendapat suntikan dana penajaan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan yang bakal tertera logo VISIT MALAYSIA. Kelantan yang diundi di dalam kumpulan G bersama Yangon United, South China dan Ninh Binh bakal membuka tirai perlawanan di peringkat kumpulan pada 26 Februari ini menentang Yangon United di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan penajaan ini berbentuk promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Tambah beliau lagi, ia merupakan satu langkah yang positif dalam mempromosikan Malaysia di mata peminat bolasepak dan pelancong khususnya di rantau Asia kerana ia melibatkan perlawanan bolasepak bertaraf antarabangsa. Ia merupakan penajaan kedua oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan ke atas pasukan bolasepak selepas pasukan CARDIFF CITY. Penajaan ini membabitkan dana berjumlah RM 1 juta.
Bercakap kepada media mengenai situasi bolasepak semasa terutamanya mengenai pencalonan untuk jawatan presiden FAM dan calon-calon yang sesuai, Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pula menjelaskan, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk berkhidmat terutamanya barisan presiden persatuan bolasepak yang aktif dan terlibat secara langsung dengan bolasepak dan beliau memberikan beberapa nama yang berkebolehan antaranya presiden persatuan bolasepak N. Sembilan dan Johor. Ditanya mengenai sasaran pasukan Kelantan untuk kempen Piala AFC 2014 beliau menambah, sasaran awal adalah untuk melepasi peringkat kumpulan dahulu sebelum sasaran ke peringkat seterusnya pula. Mengenai tajaan RM 1 juta oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan ke atas pasukan bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa jersi ini bukan sahaja untuk kejohanan Pala AFC malahan untuk kesemua ‘international game’ yang melibatkan pasukan Kelantan.
Jersi KELANTAN AFC CUP DAN INTERNATIONAL ini juga dijangka akan kelihatan di INDONESIA, SINGAPURA, THAILAND, HONGKONG, VIETNAM, BRUNEI, MYANMAR, IRAQ, SAUDI, UAE, QATAR, LONDON, PARIS, LUXEMBURG, BRUSSEL, AMSTERDAM,USA, AUSTRALIA, Lebanon, NIGERIA, LIBERIA, BRAZIL, EGYPT, JEPUN berdasarkan negara yg bakal di kunjungi TRW dan GROUP TOUR FAN CLUB serta acara-acara tertentu yang siap dirancang dalam usaha mempromosikan Kelantan dan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.