KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER 2024 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menganjurkan larian Railway to See Malaysia Fun Run 2024, di Ibu Pejabat KTMB, Jalan Sultan Hishamudin Kuala Lumpur hari ini. Penganjuran ini adalah bagi memeriahkan agenda pelancongan berkonsepkan “Rail Tourism” di bawah program Railway to See Malaysia Fiesta disamping menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Pelepasan larian telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan dan telah menarik lebih dari 2,000 penyertaan. Ini merupakan rekod capaian tertinggi acara larian yang pernah dianjurkan oleh KTMB dengan mendapat penyertaan menggalakkan dari rakyat tempatan juga luar negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, China, Filipina, Indonesia dan Singapura.
Acara yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori 4 kilometer (km) dan 7 km ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 kepada para peserta. Hadiah ini termasuk nombor penyertaan bertuah, cabutan bertuah, serta pertandingan Best Outfit of the Day (OOTD) yang mengetengahkan tiga kategori menarik iaitu City Vacationer, Beach Traveller dan Backpackers. Ia turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Aizat Amdan, selaku penyanyi rasmi lagu tema Railway to See Malaysia, yang menghiburkan peserta dan pengunjung dengan persembahannya.
KTMB turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan, antaranya adalah Program Celebrate Lokal by Tempatan Fest yang menghimpunkan lebih 50 peniaga tempatan seperti jualan makanan dan minuman, pakaian, dan hasil seni kreatif. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyokong perkembangan usahawan tempatan, tetapi juga memberikan pengalaman yang lebih bermakna dan menyeronokkan kepada para pengunjung. Program ini juga mendapat sokongan dari rakan strategik seperti CRRC Kuala Lumpur Maintenance Sdn Bhd, MyCar (Platform Apps Sdn. Bhd), Santan Restaurant Sdn. Bhd, Check Hup Sdn. Bhd
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, “KTMB berbangga dapat menganjurkan larian ini bagi memeriahkan lagi industri pelancongan dan merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, serta menyokong agenda Agenda Nasional Malaysia Sihat. Kami berharap program ini menjadi platform untuk menyatukan masyarakat sambil memperkenalkan keunikan sistem kereta api negara.”