LONDON – Hari ini adalah detik yang terbaik buat pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei untuk membalas dendam kekalahan kepada musuh ketat Lin Dan di Temasya Beijing 2008 selepas kedua-duanya mengulangi pertemuan di pentas akhir acara badminton Sukan Olimpik London 2012 di Arena Wembley.
Menyedari dia tidak keseorangan hari ini, Chong Wei yang semakin hari semakin tinggi keyakinannya tentunya mengharapkan doa daripada 28 juta rakyat Malaysia untuk membantunya mencatat rekod menang pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan negara di Sukan Olimpik.
Menurut Chong Wei, pertemuan penting hari ini bukan bersandarkan balas dendam atau pun mimpi ngeri yang selama ini menghantuinya sejak tewas kepada juara Dunia dan Olimpik itu.
Sebaliknya Lin Dan katanya, bertuah atas beberapa faktor antaranya bermain di gelanggang sendiri dan di depan penyokong sendiri yang memberinya kelebihan untuk bermain lebih baik pada hari perlawanan akhir 2008.
Saya akan cuba bermain yang terbaik dan mencatat sejarah di Wembley. Saya berterima kasih kepada ribuan peminat yang menghantar mesej sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya,” katanya mengulas perlawanan akhir badminton menentang Lin Dan, hari ini.
Di Temasya Beijing empat tahun lalu, Chong Wei tewas 12-21, 8-21 kepada Lin Dan dan kali terakhir kedua-dua ikon badminton itu bertemu adalah pada perlawanan akhir All England yang mana pemain China itu menang 21-19, 2-6 selepas lawannya menarik diri kerana masalah kecederaan bahu.
Kali terakhir Chong Wei menewaskan juara dunia itu adalah pada perlawanan akhir Terbuka Korea awal Januari lalu di mana dia menang dalam permainan rubber set 12-21, 21-18, 21-14.
Meskipun Chong Wei hanya memiliki rekod menang sembilan kali ke atas Lin Dan yang mengatasinya sebanyak 20 kali, itu bukan faktor yang menentukan perlawanan hari ini akan memihak kepada jaguh Tembok Besar itu kerana apa sahaja boleh berlaku apatah lagi pemain perseorangan negara itu telah menunjukkan kebangkitan di luar dugaan sepanjang kempen di Olimpik London ini.
Di awal saingan, beliau berdepan sedikit cabaran ketika menentang pemain pemain Finland, Ville Lang yang memaksanya bermain ke rubber set 21-8, 14-21, 21-11.
Bekas juara All England itu juga menyingkirkan pemain Indonesia, Simon Santoso 21-12, 21-8, pemain India, P. Kashyap 21-14, 15-21, 21-9 di suku akhir sebelum menyingkirkan jaguh muda China, Chen Long 21-13, 21-14 dalam pertarungan separuh akhir.
Dalam pada itu, Chong Wei dapat mengagak Lin Dan turut menyimpan cita-cita besar sepertinya apatah lagi mempertahankan pingat emas Beijing 2008
Dia juga seperti saya mahukan kemenangan. Tetapi saya telah bersedia untuk semua ini walaupun laluan sehingga ke perlawanan akhir memang sukar dalam keadaan saya dalam proses pemulihan kecederaan,” ujarnya.
Chong akan menentang Lin Dan pada pukul 1 petang waktu London (8 malam waktu Malaysia) manakala beregu negara Koo Kien Keat- Tan Boon Heong akan menentang pasangan Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae untuk pingat gangsa. – MINGGUAN
sumber artikel dan gambar : utusan.com.my