Kuala Lumpur, 2 November 2025 – Pemain Jepun, Miyu Yamashita muncul juara Maybank Championship 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) selepas menewaskan Hannah Green dari Australia dan Hye-Jin Choi dari Korea dalam aksi penentuan dramatik mengimbau kembali pertarungan sembilan lubang yang mendebarkan sewaktu edisi sulung kejohanan pada 2023.
Yamashita, yang menyertai musim sulungnya dalam LPGA Tour, menamatkan pusingan akhir dengan 65 pukulan (-7) tanpa sebarang bogey untuk mengumpul jumlah 270 pukulan (-18), sekali gus menyertai Green (68, -18) dan Choi (73, -18) dalam aksi penentuan juara. Choi, yang memulakan hari dengan kelebihan empat pukulan, terlepas pukulan birdie penting di lubang ke-18 yang sepatutnya mampu mengesahkan kemenangan pertamanya di LPGA. Permainan tertunda dua kali akibat hujan dan petir, menambahkan debaran sebelum Yamashita mengesahkan kemenangan dengan birdie di lubang pertama penentuan, sekali gus merangkul Tiger Trophy, gelaran LPGA Tour keduanya musim ini selepas memenangi AIG Women’s Open awal tahun ini.
“Ini kali pertama saya bermain dalam aksi penentuan di LPGA Tour, jadi saya sangat gementar. Dalam setiap kejohanan, saya sentiasa mensasarkan kemenangan, dan saya amat gembira dapat menjuarai kejohanan buat kali kedua musim ini. Menjelang penghujung tahun, saya benar-benar berterima kasih atas sokongan pengurus, keluarga dan semua penaja saya sokongan mereka amat bermakna,” ujar Miyu Yamashita.
Sepanjang minggu kejohanan, Maybank Championship sekali lagi membuktikan bahawa kemajuan sukan golf digerakkan oleh semangat kerjasama dan aspirasi bersama, menggambarkan hasrat Maybank untuk memanfaatkan kekuatan kolektif demi kemajuan dalam dan luar arena golf.
Pemain No. 1 dunia dari Thailand, Jeeno Thitikul, menamatkan pusingan terakhir dengan 68 pukulan (-4) untuk berkongsi tempat keempat dengan jumlah keseluruhan 271 pukulan (-17) catatan tiga kali berturut-turut menamatkan kejohanan di KLGCC dalam kelompok lima terbaik. Juara bertahan dari China, Ruoning Yin, mempertahankan gelarannya dengan tenang apabila menamatkan permainan dengan 274 pukulan (-14) selepas pusingan akhir 70 pukulan, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling konsisten di LPGA Tour.
Sepanjang minggu, kejohanan menyaksikan aksi golf bertaraf dunia daripada rentetan birdie, pukulan penyelamat yang menakjubkan hingga permainan mencipta rekod. Sorotan termasuk pusingan pembukaan 67 pukulan oleh wakil Malaysia, Mirabel Ting, yang disifatkan oleh LPGA sebagai “pemain untuk diperhatikan”, dengan permainan berani yang mendapat sorakan gemuruh penonton tempatan. Rentak menakjubkan Choi, kebangkitan Green, serangan lewat Thitikul, dan lonjakan Kelly Tan, duta Maybank, pada hari Sabtu menjadikan minggu ini penuh kenangan bagi peminat golf.
Bagi Malaysia, kejohanan ini menjadi detik kebanggaan yang menonjolkan kemampuan pemain wanita tempatan yang semakin menyerlah di persada antarabangsa. Ting mengetuai barisan pemain negara dengan menamatkan saingan di tempat ke-49 bersama (T49) dengan catatan 285 pukulan (-3) (67, 75, 70, 73) satu prestasi matang dan berkeyakinan. Keputusan ini juga melayakkannya menyertai satu acara Epson Tour, inisiatif Maybank yang memberikan laluan terus kepada pemain jemputan serantau terbaik ke arah kelayakan LPGA.
Kelly Tan pula menamatkan saingan di T56 (-2) dengan catatan 68 yang cemerlang pada hari Sabtu, manakala Genevieve Ling turut berkongsi kedudukan sama selepas permainan konsisten sepanjang empat pusingan. Ashley Lau dan Liyana Durisic masing-masing menamatkan permainan dengan +2 dan +4, mempamerkan ketenangan dan fokus di hadapan penyokong sendiri.
Barisan pemain kejohanan kali ini turut disertai lima pemain kelayakan ASEAN, menjadikan platform ini wadah penting dalam menggilap bakat serantau.
Antara pemain ASEAN, Cholcheva Wongras dari Thailand muncul terbaik apabila menamatkan saingan di T64 (288, par), menunjukkan kemantapan permainan sepanjang minggu. Rakan senegara Namo Luangnitikul (a) dan Achiraya Sriwong (a) masing-masing menamatkan saingan di T67 (+1) dan T71 (+3), manakala Kan Bunnabodee serta Kritchanya Kaopattanaskul (a) menutup penyertaan dengan pengalaman berharga bersaing bersama bintang LPGA dunia. Mereka semua mencerminkan tujuan kejohanan ini menghubungkan aspirasi, peluang, dan kemajuan kolektif di seluruh ASEAN.
Dato’ Sri Khairussaleh Ramli, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, berkata:
“Di Maybank, kami percaya pada kekuatan ‘Harnessing Collective Power’, dan Maybank Championship adalah manifestasi kepercayaan itu. Tahun ini, kami berbangga menyaksikan aksi golf bertaraf dunia daripada juara 2025, Miyu Yamashita. Ketangkasan dan fokus anda amat mengagumkan, dan saya ucapkan tahniah atas kemenangan yang sangat layak ini.
Kejohanan ini menyatukan pemain bertaraf dunia, bakat serantau dan rakan kongsi yang komited dalam usaha bersama untuk memartabatkan sukan golf dan rantau ini. Saya amat menghargai dedikasi serta kerjasama yang menjadikan minggu ini begitu berjaya.”
Sepanjang kejohanan, suasana di KLGCC cukup meriah dengan kehadiran penonton yang luar biasa ramai, tertarik oleh mutu permainan dan semangat sukan yang dipamerkan. Tenaga positif yang dikongsi antara pemain, peminat dan rakan kongsi menggambarkan perpaduan yang terus mengukuhkan golf wanita di rantau ini.
Apabila tirai Maybank Championship 2025 dilabuhkan, kejohanan ini kekal sebagai manifestasi hidup kepada matlamatnya di mana persaingan, kolaborasi dan komuniti bergerak seiring untuk memajukan sukan golf dan menyemarakkan aspirasi baharu di seluruh ASEAN.
Untuk maklumat lanjut mengenai Maybank Championship, layari www.maybank.com/golf
Untuk keputusan penuh, layari www.lpga.com/tournaments/maybank-championship/leaderboard
