Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia menamatkan musim penuh pertama mereka dalam Michelin 24H SERIES European Series 2025 dengan penuh dramatik pada pusingan akhir di Barcelona hujung minggu lalu, apabila berjaya menduduki tempat ke-4 keseluruhan dalam kedudukan mata kategori GT3-AM.
Barisan pemandu serba-Malaysia yang terdiri daripada Douglas Khoo (Pemandu Utama & Prinsipal Pasukan), Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Yazid dan Aaron Lim memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO sejauh 633 pusingan pada perlumbaan penutup musim 24 Hours of Barcelona di Sepanyol. Pasukan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 GT3 dan ke-22 keseluruhan, walaupun sempat berada setinggi kedudukan ke-7 pada peringkat awal.
Ang memulakan perlumbaan untuk pasukan Malaysia dan berada dalam kelompok hadapan di tempat ke-10 sebelum masuk untuk hentian pit pertama melibatkan pengisian bahan api, pertukaran pemandu dan tayar selepas sejam. Khoo kembali ke trek di tempat ke-12, namun berjaya melonjakkan kedudukan sehingga ke tempat ke-7 sebelum insiden berlaku melibatkan salah sebuah Porsche di litar.
“Insiden itu berlaku pada jam kedua perlumbaan. Pada awalnya kami sangka kerosakan hanyalah kecil di bahagian upright yang patah. Kami menukarnya dengan segera dan teruskan perlumbaan,” kata Khoo. “Malangnya, steering rack juga mengalami kerosakan yang memaksa Moh – yang menggantikan saya untuk stint pemandu ketiga – memberhentikan kereta di atas trek bagi mengelakkan kerosakan lebih serius.
“Keseluruhan proses membawa kereta kembali ke pit dan menukar steering rack mengambil masa hampir tiga jam. Akibatnya, kami kehilangan lebih 90 pusingan daripada pendahulu. Sasaran kami ke Barcelona adalah untuk merebut kejuaraan GT3-AM atau sekurang-kurangnya kedudukan tiga terbaik. Namun begitu, kami tetap berpuas hati menamatkan musim di tempat ke-4 meskipun dilanda drama dan dugaan.”
Continental Racing by Simpson Motorsport muncul juara keseluruhan GT3-AM, manakala Juta Racing dan Hofor Racing masing-masing menamatkan musim di tempat kedua dan ketiga.
“Secara keseluruhan, musim ini adalah campuran detik gemilang dan juga cabaran. Kami terlepas pusingan pembukaan di 12 Hours of Mugello pada Mac, tetapi menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam GT3 dan ke-2 dalam GT3-AM pada 12 Hours of Spa Francorchamps di Belgium pada April. Kemudian, pada pusingan ketiga di 12 Hours of Misano di Itali pada Mei, kami gagal mengutip sebarang mata selepas terpaksa menarik diri akibat keretakan pada oil sump. Di 12 Hours of Paul Ricard di Perancis pada Julai, kami bangkit semula dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan, ke-3 GT3-AM serta meraih anugerah Spirit of the Race, bukan sahaja kerana keputusan yang diperoleh tetapi juga kerana kami melakukannya dengan kereta sewaan selepas kereta asal rosak sewaktu kelayakan.
“Kejayaan yang lebih besar sebenarnya ialah dapat membawa sebuah pasukan yang sepenuhnya rakyat Malaysia – dari pemandu, mekanik hingga jurutera perlumbaan – bukan sahaja untuk berlumba tetapi juga bersaing secara kompetitif dan mengibarkan Jalur Gemilang di podium siri perlumbaan Eropah. Pengalaman yang diraih tahun ini akan menjadi persediaan penting untuk musim-musim akan datang.”
Pasukan Viper Niza Racing disokong oleh Motul, Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Official Watch Brand; dan Jen Orchard Gateway Hotel, Singapore.

