KEJAYAAN menduduki tempat ketiga podium pada perlumbaan lasak 12 jam Malaysia Merdeka Endurance Race (MMER) tahun lalu, nyata belum memuaskan hati pelumba senior Pasukan Petronas Syntium, Fariqe Hairuman.
Pelumba berusia 29 tahun itu berazam memecahkan kebuntuan tanpa sebarang kemenangan sekaligus memperbaiki rekod peribadinya sejak menyertai kejohanan itu, sedekad lalu. “Saya menyertai MMER sejak 2002 dan tidak pernah menang, jadi kali ini sasaran peribadi saya ialah untuk menjadi juara. “Peluang tahun ini juga nampaknya cerah. Bagaimanapun, harus diingat ini adalah perlumbaan selama 12 jam dengan pelbagai perkara tidak dijangka boleh berlaku,” katanya. Fariqe, yang akan bergandingan dengan pelumba Jepun, Tatsuya Kataoka dan Melvin Moh pelumba tempatan akan bersaing bersama 34 pasukan lain dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu ini. Berbekalkan pengalaman 12 tahun bersama Pasukan Petronas Syntium serta penglibatan dalam Liga Jepun Super Taikyu, Fariqe mengakui lebih bersedia menghadapi cabaran edisi ke-13, kali ini. Satu lagi pasukan Petronas Syntium dibarisi Nobuteru Taniguchi dan Masataka Yanagida dari Jepun serta pelumba negara Domini Ang pula, menggalas tugas berat mempertahan kejuaraan. Meskipun tanpa pesaing terdekat iaitu pasukan Belgian Audi selaku naib johan tahun lepas, kehadiran pasukan Ferrari dari Itali dan pasukan Lamborghini tetap menjanjikan saingan sengit pada perlumbaan kali ini. -Bernama.
sumber gambar : sinar harian/google