Johor Bahru, 21 Ogos 2024 – Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB), melalui Unit Perubatan Transfusi (Tabung Darah), dengan kerjasama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), akan menganjurkan program Fun Walk Blood Seekers dan Majlis Apresiasi Penderma Darah. Program ini diadakan bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia di peringkat Hospital Sultan Ismail Johor Bahru pada 30 November 2024 (Sabtu), jam 7 pagi di Eco World Residence Club Eco Spring (Urban Park), Jalan Ekoflora Utama, Taman Ekoflora, 81100 Johor Bahru.
Matlamat utama acara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendermaan darah, di samping menghargai peranan penting penderma darah dalam sistem penjagaan kesihatan komuniti. Pihak hospital berharap melalui usaha sama ini, lebih ramai individu akan termotivasi untuk menderma darah, seterusnya menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Acara ini juga dirancang dengan konsep riadah yang bertujuan untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti. Pada masa yang sama, ia memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk pesakit yang memerlukan. Dengan usaha kolektif, acara ini juga diharapkan dapat mengukuhkan budaya pendermaan darah sebagai amalan berterusan dalam masyarakat.
Program ini akan dijalankan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk MTPN, Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia, EcoWorld, DoubleTree by Hilton Johor Bahru, Lions Club of Permas Jaya, JCI Iskandar, Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), dan Kelab Media Johor.
Peserta yang ingin menyertai Fun Walk Blood Seekers dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM50. Dengan bayaran ini, para peserta akan menerima baju penyertaan dan medal. Jarak perjalanan untuk acara ini adalah sejauh 3.5 kilometer (km). Pihak penganjur juga menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah dan aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh dengan menghubungi:
1. Mohd Ariff Bin Omar (016-7009099)
Pegawai EXCO Belia & Sukan MTPN
2. Siti Aminah Binti Johari (012-3205490)
Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perubatan Transfusi HSIJB