CHINA – PROTON muncul juara di Rali Longyou, China, pusingan keenam dan terakhir bagi saingan Kejohanan Rali Asia Pasifik FIA (APRC) yang berlangsung hujung minggu lepas.
Ia adalah kejayaan ketiga berturut-turut yang dicatatkan mereka di APRC di China buat pasukan PROTON R3 Motorsports dengan mencuba dan menguji jentera rali Proton Satria Neo S2000.
Sebanyak 99 buah kereta mengambil bahagian dalam perlumbaan ini.
Selepas mengharungi laluan hutan buluh dan laluan gunung-ganang yang curam di Longyou, Wilayah Zhenjiang, Alister McRae berjaya mengendalikan Proton Satria Neo S200 untuk mencatat kemenangan, diikuti rakan sepasukan, Juha Salo di tempat ketiga.
Kemenangan tersebut menyaksikan PROTON menamatkan aksi musim ini di tempat kedua keseluruhan APRC bagi kategori pengeluar di belakang Skoda yang menduduki tempat pertama manakala Mitsubishi ketiga dan Subaru keempat.
Kekuatan Proton Satria Neo S2000 sekali lagi telah dibuktikan selepas McRae mampu untuk membawa jentera tersebut meraih kejayaan tanpa sebarang masalah utama sejak dari awal hingga tamat saingan musim ini.
Permukaan peringkat perlumbaan yang tidak konsisten seperti batu kelikir kasar, jalan sempit dan laluan lurus bertar dengan suhu yang panas menjadikan perlumbaan lebih mencabar baik buat pelumba mahupun penonton yang menyaksikannya.
Ia sangat sukar dan mencabar buat pasukan tetapi Proton Satria Neo S2000 kekal konsisten membuktikan kemampuan dan kekuatan di beberapa peringkat perlumbaan yang agak sukar.
PROTON juga mendominasi kategori 2WD APRC dengan membolot kemenangan 1-2-3, seterusnya membolehkan Karamjit Singh diberi penghargaan sebagai juara 2WD buat kali kedua berturut-turut.
Tempat kedua diraih rakan sepasukan Akira Bamba, yang juga juara bagi kategori junior buat kali kedua berturut-turut, sementara Kenneth Koh menduduki tempat ketiga kelas 2WD dan kedua bagi kedudukan keseluruhan Junior.
artikel : utusan