(SUKAN) PUSINGAN SUPER GT MALAYSIA DAPAT SAMBUTAN HANGAT DARIPADA PEMINAT

Spread the love

Seramai 75,977 peminat perlumbaan dan penonton membanjiri Litar Antarabangsa Sepang Petronas dari 27 hingga 28 Jun 2025 bagi menyambut kepulangan semula perlumbaan SUPER GT dalam pusingan Malaysia bagi siri AUTOBACS SUPER GT 2025.

Jumlah kehadiran ini hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada unjuran asal oleh HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan penganjur pusingan Malaysia bagi SUPER GT. Perlumbaan GT utama dari Jepun ini kembali ke Malaysia selepas 12 tahun dan disambut meriah oleh peminat tempatan dan antarabangsa.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat Malaysia dan antarabangsa atas sokongan padu terhadap perlumbaan ini. Kami sedang merancang cara-cara untuk menambah baik pengalaman peminat menjelang 2026,” kata Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan. Pusingan SUPER GT Malaysia dijangka akan diteruskan sehingga 2027 dan perbincangan bersama Persatuan GT (GTA) selaku penganjur sedang berlangsung untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perlumbaan luar negara tetap bagi siri ini.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan tertinggi kepada semua rakan kerjasama termasuk GTA, penaja serta agensi kerajaan yang terlibat atas sokongan mereka. Sekiranya bukan kerana pandemik COVID-19, pusingan Malaysia sudah pasti diadakan lebih awal pada tahun 2020. Walaupun tertangguh selama lima tahun, semua pihak tetap komited dan kami amat menghargainya. Terima kasih.”

Selain perlumbaan, Festival SUPER GT Malaysia turut diadakan sebagai karnival untuk peminat, peminat kereta dan seisi keluarga. Antara pengisian acara termasuk festival kebudayaan dan makanan bertemakan Jepun, konsert pasca perlumbaan GT Live, pameran automotif, autoshow serta jualan barangan rasmi.

Pusingan Malaysia juga menyaksikan penganjuran sulung siri GR86 Cup Malaysia dan pusingan kedua Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge.

Dalam satu pengalaman seumur hidup, HARO Sports & Entertainment dengan kerjasama Mastercard selaku Rakan Pembayaran dan Pengalaman Rasmi, turut menghadiahkan sebuah kereta GR Supra manual 3.0 bernilai RM650,000 kepada seorang pemenang bertuah, Cik Au Tzi Hua.

Pemegang tiket yang membeli menggunakan Mastercard dari 1 hingga 28 Jun berpeluang menyertai cabutan bertuah jika membeli salah satu daripada kategori berikut: Grandstand Utama (RM250), GT Suite (RM350), GT Live! Rock Zone (RM500), GT Club Paddock (RM2,000) dan pakej istimewa Experience, Ultimate dan Dream (bermula dari RM5,000). Pemegang tiket Grandstand K1 tidak layak untuk cabutan ini.

HARO Sports & Entertainment turut mengumumkan kejutan lebih besar bagi tahun 2026 apabila berjaya mendapat persetujuan daripada GTA untuk menyertai perlumbaan GT500 sebagai wildcard.

Perlumbaan hujung minggu lalu juga menyaksikan dua penyertaan wildcard Malaysia dalam kategori GT300 menerusi Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, kedua-duanya mewakili pasukan EBM-GIGA Racing Team.

“GT500 adalah kemuncak perlumbaan SUPER GT dan kami amat berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menyertai kategori ini sebagai wildcard,” kata Fahrizal sambil menambah bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pengeluar dan barisan pelumba yang akan mengetuai cabaran Malaysia.

Festival SUPER GT Malaysia 2025 diadakan bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, serta disokong oleh Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Untuk maklumat lanjut mengenai SUPER GT Malaysia, layari www.supergtmalaysia.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *