(SUKAN) SAMBUTAN HEBAT DI 3 LOKASI PERTAMA KEM BADMINTON ASTRO 2016

Spread the love

JB - Action (1)Kuala Lumpur, 20 April 2016 – Reputasi sukan badminton sebagai sukan kegemaran rakyat Malaysia sudah  tidak asing lagi dan oleh yang demikian, Astro melalui cabang tanggungjawab sosialnya, Astro Kasih sekali lagi meneruskan misi pencarian bakat-bakat baru yang berpotensi digilap menjadi bintang badminton negara menerusi program Kem Badminton Astro. Terbuka kepada kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun, Astro Kasih kali ini menjelajah ke 6 lokasi di seluruh negara bagi mengenal pasti bakat yang boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi, dengan Pulau Pinang, menjadi lokasi keempat Kem Badminton Astro 2016.

JB - Action (5)Kem Badminton Astro merupakan kolaborasi di antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nippon Badminton Association, Jepun, bertujuan untuk memberikan latihan yang betul serta pendedahan terhadap pelbagai teknik yang digunakan dalam permainan badminton dalam usaha meningkatkan kemahiran serta melatih bakat-bakat muda ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Selain itu, Kem Badminton Astro turut memupuk minat kanak-kanak terhadap sukan khususnya badminton seterusnya menjadikan sukan ini sebahagian dari gaya hidup mereka.

Datuk David Yap, Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro berkata, “Melalui penganjuran Kem Badminton Astro tahun ini, kami mahu meneruskan hasrat kami mencari pemain-pemain badminton muda yang diketengahkan potensi mereka. Kem Badminton Astro merupakan medan untuk anak-anak mempelajari ilmu pengetahuan berkaitan kemahiran badminton, serta teknik dan skil yang diperlukan dalam membina impian mereka untuk duduk sama tinggi, berdiri sama megah dengan legasi badminton negara. Kem Badminton Astro mahu menjadi inspirasi buat mereka semua untuk percaya dengan bakat dan kebolehan mereka, seterusnya membina keyakinan diri masing-masing”.

Hampir 1,000 penyertaan telah pun diterima di kesemua 3 lokasi pertama sesi Kem Latihan Astro 2016 yang berlangsung di Johor Bahru, Kuching dan Kota Bharu baru-baru ini. Peserta-peserta Kem Badminton tahun ini juga bertuah kerana sekali lagi mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari nama-nama besar sukan badminton negara yang suatu ketika dahulu pernah mengharumkan negara di bangku pemain. Bekas pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann diberikan tanggungjawab mengemudi skuad jurulatih Kem Badminton Astro 2016 dengan dibantu Lee Wan Wah, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming. Kesemua mereka akan berganding bahu menyempurnakan misi murni Kem Badminton Astro merealisasikan impian kanak-kanak dan remaja Malaysia bergelar pemain badminton profesional.

Sementara itu, salah seorang peserta di Sarawak, Felix Fong Jia Liang tidak pernah mengenal erti putus asa apabila sudah tiga tahun berturut-turut hadir ke sesi Kem Latihan Badminton Astro. Baginya, usaha yang berterusan bakal membuahkan kejayaan dan penyertaannya kali ini membawa harapan yang besar agar bakat dan minatnya terhadap sukan badminton dapat dikembangkan lagi.

Pendapat itu turut disokong oleh Muhammad Hafiz Hakimi Hasrol, 11 tahun, peserta dari Kedah yang sanggup datang ke Kem Latihan di Kota Bahru, semata-mata untuk menimba ilmu permainan  badminton.  Beliau cukup teruja dapat bersama-sama mempelajari pelbagai skil serta teknik baru yang boleh memantapkan permainan badmintonnya.

Menariknya di sesi Kem Latihan di Kuching, pasangan kembar Ryan Ting dan Brian Ting tidak pernah menyangka mereka akan berguru bersama bekas pemain handalan Negara.  Mereka yang sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan sukan ini menghargai kesempatan yang diberikan pihak Astro Kasih dalam menyemai rasa cinta akan sukan badminton dalam kalangan kanak-kanak seawal usia mereka.

“Selama ini kami hanya menyaksikan pemain negara kita beraksi di kaca televisyen. Hari ini, kami sendiri berpeluang melihat dengan lebih dekat permainan menarik yang ditunjukkan para jurulatih dan secara tidak langsung kami mahu menjadi sebaik mereka dan menjulang nama negara satu hari nanti”, ujar mereka yang menjadikan bidalan lama, usaha tangga kejayaan sebagai motivasi paling utuh dalam mengejar cita-cita masing-masing.

60 peserta terbaik yang disaring daripada kesemua 6 lokasi bakal menjalani latihan intensif selama seminggu di Kuala Lumpur, di mana 30 pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang berpeluang merasai sendiri pengalaman latihan peringkat antarabangsa di luar negara di mana mereka akan dibawa ke Jepun, dan mengikuti latihan selama 2 minggu bersama Jurulatih Kebangsaan Jepun di National Training Centre, Tokyo, Jepun.

Berikut merupakan butiran sesi Kem Latihan Badminton Astro 2016:

Tarikh Lokasi Masa
Sabtu,

23 April 2016

Dewan Badminton PBA, Pulau Pinang

 

9 pagi – 2 petang

(pendaftaran “walk-in” antara 7.30pg hingga 1 petang)

Sabtu,

30 April 2016

Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah

 

9 pagi – 2 petang

(pendaftaran “walk-in” antara 7.30pg hingga 1 petang)

Sabtu,

7 Mei 2016

Kompleks Sukan MSN, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kuala Lumpur 9 pagi – 3 petang

 

(pendaftaran “walk-in” antara 7.30pg hingga 2 petang)

 

Kem Badminton Astro terbuka kepada kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun dan mereka yang berminat diminta untuk datang ke lokasi-lokasi Kem Latihan Badminton Astro ataupun mendaftar secara atas talian di www.astrokasih.org/kembadminton. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Kem Badminton Astro, layari www.facebook.com/astrokasihmalaysia

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *