(SUKAN) VIPER NIZA RACING TEMPAT KE-4 DALAM KELAS GT3-AM DI MUGELLO

Spread the love

Memulakan perlumbaan di petak ke-14 daripada keseluruhan 28 buah jentera, pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia berjaya menamatkan saingan di tempat ke-4 yang membanggakan dalam Kelas GT3-AM pada pusingan pembukaan Siri Eropah Michelin 24H 2026 di Mugello, Itali.

Trio pemandu yang terdiri daripada Douglas Khoo, Dominic Ang, dan Melvin Moh yang memacu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO hijau bernombor #65, turut menduduki tempat ke-8 dalam kategori GT3 dan ke-10 secara keseluruhan dengan melengkapkan sebanyak 344 pusingan.

Perlumbaan 12 Hours of Mugello ini dibahagikan kepada dua bahagian: Perlumbaan 1 berlangsung selama lima jam setengah pada hari Sabtu sebelum semua jentera diletakkan di bawah pengawasan parc ferme (sekatan), dan Perlumbaan 2 disambung selama enam jam setengah lagi pada hari Ahad.

Viper Niza Racing memulakan Perlumbaan 1 dari petak ke-14 dengan Dominic Ang diberi tanggungjawab sebagai pemandu pertama.

Perlumbaan 1 bermula dengan lancar meskipun terdapat beberapa prosedur Code 60 (prosedur keselamatan yang mengurangkan kelajuan serta-merta dan melarang memotong sebagai alternatif kepada kereta keselamatan). Walau bagaimanapun, pasukan berdepan detik cemas apabila tayar pancit, memaksa jentera masuk ke hentian pit luar jadual. Pasukan berjaya menamatkan sesi pertama di tempat ke-12 keseluruhan dan ke-5 dalam Kelas GT3-AM dengan 156 pusingan sebelum waktu rehat.

Dominic Ang sekali lagi memulakan Perlumbaan 2 yang berlangsung dalam keadaan litar kering dan basah. Pelanggaran dengan pesaing lain sekali lagi mengakibatkan tayar pancit buat kali kedua, memaksa hentian luar jadual yang menyebabkan pasukan kehilangan masa berharga. Ketiga-tiga pemandu mempamerkan pemanduan yang mantap dalam Perlumbaan 2, sebelum Melvin Moh akhirnya membawa Mercedes-AMG GT3 EVO melintasi garisan penamat selepas tamat tempoh 12 jam.

“Kami terlepas peluang menaiki podium disebabkan tayar pancit yang tidak dijangka, namun ini pastinya keputusan yang kukuh untuk memulakan musim 2026. Perjalanan masih jauh dengan baki empat pusingan lagi, dan perkara paling penting adalah untuk terus mengutip mata berharga bagi mengukuhkan kedudukan podium keseluruhan di akhir musim nanti,” kata Prinsipal Pasukan dan pemandu utama, Douglas Khoo.

Beliau menambah bahawa dengan mata yang telah diperoleh, pasukan kini perlu kekal fokus kepada matlamat utama iaitu kejuaraan keseluruhan.

Pasukan yang dianggotai sepenuhnya oleh warga Malaysia ini akan menyertai kesemua lima pusingan Siri Michelin 24H, dengan perlumbaan seterusnya berpindah ke litar mencabar 12 Hours of Spa-Francorchamps di Belgium dari 17-19 April.

Kemenangan keseluruhan perlumbaan tersebut dirangkul oleh jentera Audi R8 LMS GT3 EVO II dari Sainteloc Junior Team, manakala pasukan ARC Bratislava dengan jentera Lamborghini Huracan GT3 EVO memenangi Kelas GT3-AM.

Viper Niza Racing disokong oleh Motul, IWC selaku Jenama Jam Tangan Rasmi, Momentum Autoparts, dan SPARCO Italy.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *