(SUKAN) TIGA MALANG BERTURUT-TURUT BUAT PASUKAN VIPER NIZA RACING DI 12 JAM MISANO

Spread the love

Perlumbaan sememangnya sukar dijangka, dan itulah yang berlaku kepada pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia yang kelihatan kompetitif sepanjang minggu menjelang perlumbaan 12 Jam Misano di Itali, sehinggalah malapetaka melanda.

Bermula dari kedudukan ke-10 secara keseluruhan daripada 23 buah kereta, pasukan ini berjaya naik setinggi tempat ke-6 dalam perlumbaan hujung minggu lalu sebelum dihimpit beberapa insiden yang akhirnya membawa kepada persaraan dari perlumbaan.

Dominic Ang yang memulakan perlumbaan untuk Viper Niza Racing memecut ke hadapan dan bersaing rapat dalam kelompok pendahulu kelas GT3 AM. Namun, selepas 90 minit berlumba, pam stereng kuasa kereta Mercedes-AMG GT3 EVO mengalami kerosakan dan memaksa mereka membuat hentian pit tidak berjadual. Pasukan berjaya menggantikan pam tersebut dengan unit baharu dan kembali ke trek, namun ketinggalan 10 pusingan daripada pendahulu perlumbaan.

Pada jam kedua perlumbaan, giliran Ketua Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, pula diuji apabila rim belakang kiri kereta tidak dipasang dengan sempurna semasa hentian pit yang dijadualkan dan pertukaran pemandu, menyebabkan roda bergegar dan sesi pemanduan beliau terganggu.

Tamparan ketiga dan terakhir hadir ketika Melvin Moh memandu selepas 8 jam perlumbaan – dengan hanya 4 jam baki menuju garisan penamat – apabila kereta mula mengalami kebocoran minyak enjin. Masalah itu dikenal pasti berpunca daripada retakan pada takungan minyak enjin dan memerlukan pembaikan besar termasuk kerja-kerja kimpalan. Lantaran itu, pasukan terpaksa akur dan menamatkan perlumbaan lebih awal — persaraan pertama mereka dalam musim yang sebelum ini begitu cemerlang.

“Ia adalah perlumbaan yang penuh bencana buat kami. Kerosakan stereng kuasa, roda belakang kiri tidak dipasang dengan betul dan kemudian takungan minyak pula retak. Ini merupakan persaraan (DNF) pertama kami dalam tahun yang sebelum ini begitu memberangsangkan dengan dua penamat podium,” kata Khoo. Ini juga merupakan kunjungan pertama trio ini ke litar Misano yang lebih dikenali sebagai litar motosikal kerana ia menjadi tuan rumah Grand Prix San Marino dalam MotoGP.

“Ia amat mengecewakan kerana ramai pesaing lain juga gagal menamatkan perlumbaan dan keputusan mungkin boleh jadi sangat berbeza untuk kami. Kami sangat kompetitif dalam sesi latihan dan berada dalam julat untuk satu lagi penamat yang kuat.”

Sehingga ke perlumbaan di Misano, tahun 2025 sangat memberangsangkan buat Viper Niza Racing yang sebelum ini meraih tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam kelas GT3 dan naib juara dalam kelas GT3 AM di Michelin 12 Jam Spa Francorchamps di Belgium; serta kejuaraan dalam kelas GT AM Masters dan tempat kedua dalam kelas GT AM di Motul 12 Jam Sepang.

Viper Niza Racing disokong oleh Motul serta penaja lain termasuk Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Jam Rasmi; dan Hotel Jen Orchard Gateway di Singapura.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *