Pasangan pelumba Malaysia, Naquib Azlan dan Amer Harris, memamerkan keputusan yang membanggakan dalam penampilan sulung mereka di Siri ENEOS Super Taikyu 2026, dengan menduduki tempat ke-7 dalam kelas dan ke-11 keseluruhan daripada 30 jentera pada Pusingan 1 di Mobility Resort Motegi.
Memandu jentera Wing Hin Motorsports #338 Toyota GR Supra GT4 EVO2, duo ini — bersama pelumba berpengalaman Super Taikyu Jepun, Shuji Maeshima — menamatkan perlumbaan dua pusingan di belakang juara yang memandu Audi R8 LMS GT4. Meskipun begitu, pasukan menunjukkan rentak yang konsisten dan kompetitif sepanjang perlumbaan 4 jam tersebut, dengan catatan masa hanya satu saat di belakang pendahulu. Mereka sebelum itu melayakkan diri di tempat ke-7 dalam kelas dan bermula di petak ke-14 keseluruhan.
“Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan kerana nasib jelas tidak menyebelahi kami. Kedua-dua Naquib dan saya terkesan oleh tempoh Full Course Yellow yang berlaku pada masa yang tidak tepat, yang akhirnya menyebabkan kami kehilangan kedudukan di litar.
“Dari segi kelajuan (pace), pasti ada ruang untuk penambahbaikan, tetapi ia tidak mustahil. Pasukan dan pemandu sedang bekerja keras, dan kami menuju ke arah yang betul. Ia adalah proses pembelajaran yang mencabar untuk menandingi pendahulu, memandangkan ramai di antara mereka adalah pemandu SUPER GT GT300 dan GT500,” kata Amer Harris yang berusia 22 tahun.
Beliau menambah bahawa ini hanyalah pusingan pertama dan mereka telah menetapkan tanda aras yang baik untuk menghadapi salah satu kejohanan ketahanan paling kompetitif di Jepun.
Pusingan 2 akan menyaksikan Wing Hin Motorsports menuju ke Litar Suzuka untuk perlumbaan 5 jam pada 18–19 April.
“Ia adalah perlumbaan yang sukar kerana kami masih kekurangan kelajuan. Segala-galanya adalah baharu bagi kami, jadi kami membina segalanya dari awal — membangunkan data, memperkemas strategi, serta mendapatkan masa pemanduan dan pengalaman di litar. Ianya satu penghormatan untuk bersaing di Super Taikyu,” kata Naquib Azlan, 24 tahun, yang kini berada di tahun kedua berlumba di Jepun selepas memenangi gelaran Siri Clubman Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup 2025.
Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh, menyifatkan keputusan tersebut sebagai memberangsangkan memandangkan mereka adalah pasukan baharu. Beliau yakin dengan barisan pemandu dan pakej teknikal yang ada, serta percaya kemajuan akan dicapai melalui kerja keras dan pengalaman.
Kempen Wing Hin Motorsports 2026 terus mendapat sokongan daripada rakan pelincir jangka panjang, Moty’s.

