Rakyat Malaysia Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh meraih kejayaan podium pada perlumbaan Michelin 12 Hours of Spa Francorchamps hujung minggu lalu (19-20 April) di Belgium. Pasukan Viper Niza Racing menamatkan perlumbaan yang mencabar itu di tempat ke-6 keseluruhan (daripada 37 pelumba antarabangsa), ke-4 dalam kelas GT3, dan naib juara (ke-2) dalam kelas GT3 AM dalam satu perlumbaan ketahanan yang menyaksikan banyak jentera GT3 bergelut dengan insiden di litar serta masalah mekanikal dan elektrik.
Perlumbaan selama 12 jam ini berlangsung dalam cuaca cerah tetapi bermula dengan bendera Code 60 (keseluruhan litar perlu dipandu pada kelajuan maksimum 60km/j) akibat insiden seawal pusingan pertama, dan ironinya, juga berakhir dengan Code 60 hanya lima minit sebelum bendera penamat dikibarkan akibat satu lagi perlanggaran.
Walaupun sesi latihan bebas dijalankan dalam keadaan trek basah, perlumbaan utama berlangsung sepenuhnya dalam keadaan kering dengan semua kereta menggunakan tayar slick ketika mereka mengharungi litar bersejarah dan antara yang terpantas di dunia, Spa Francorchamps, sepanjang 7.004km dan mempunyai 19 selekoh. Pasukan Viper Niza Racing berjaya melengkapkan 261 pusingan sepanjang perlumbaan.
“Spa-Francorchamps membawa tuah buat kami,” kata pemandu utama dan Prinsipal Pasukan Viper Niza Racing, Khoo. “Kami berlumba dengan baik, kekal fokus dan walaupun menghadapi beberapa detik cemas di litar, kami berjaya mengelak daripada sebarang masalah besar. Kredit harus diberikan kepada pasukan yang telah menyediakan jentera yang mantap dan bebas masalah (Mercedes-AMG GT3 Evo).”
Perlumbaan ini menyaksikan penyertaan daripada 10 pengeluar kereta berbeza dan 37 buah kereta daripada lima kelas utama. Dalam kelas mereka, Mercedes-AMG GT3 Evo milik Viper Niza Racing bersaing dengan jentera hebat seperti Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II, Aston Martin Vantage AMR GT3 Evo, Ferrari 296 GT3, dan Ferrari 488 GT3 Evo.
Kejayaan podium di Spa Francorchamps ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut pasukan itu di litar berprestij tersebut dalam hanya dua perlumbaan. Ketiga-tiga pemandu itu juga pernah memenangi kelas PRO/AM dalam perlumbaan sulung TCR SPA500 (500 pusingan) dengan jentera Seat Cupra TCR DSG semasa kunjungan pertama mereka ke Spa Francorchamps pada tahun 2019.
Pencapaian ini juga melengkapkan kemenangan pasukan dalam kelas GT AM Masters dan tempat kedua dalam kelas GT AM di perlumbaan Motul 12 Hours of Sepang pada bulan Mac yang lalu.
Destinasi seterusnya bagi Viper Niza Racing adalah Michelin 12 Hours of Misano di Itali yang akan berlangsung dari 23 hingga 24 Mei 2025.
Pasukan Viper Niza Racing bagi musim 2025 disokong oleh Motul, dengan penaja lain termasuk Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Jenama Jam Tangan Rasmi; serta Hotel Jen Orchard Gateway di Singapura.
