Kuala Lumpur, 8 Nov 2025: Penganjur Warzone World Championship 2025 (WWC 2025) menzahirkan penghargaan kepada semua pihak media dan masyarakat atas perhatian yang diberikan terhadap acara tersebut serta memohon maaf secara terbuka berhubung kekeliruan dan salah faham yang timbul sejak kebelakangan ini.
Kelemahan dalam komunikasi dan promosi awal telah menimbulkan persepsi negatif kepada WWC. Justeru itu, WWC mengambil tanggungjawab penuh dan telah melaksanakan langkah segera bagi memperbetulkan keadaan serta memastikan mesej sebenar acara ini di fahami dengan jelas.
WWC 2025 bukan medan pergaduhan, sebaliknya sebuah platform seni tempur profesional yang menekankan nilai disiplin, kawalan diri dan semangat kesukanan. Semua kategori pertandingan dijalankan secara tersusun mengikut struktur sukan tempur sah, diselia oleh panel juri dan wasit profesional daripada pelbagai disiplin dengan sistem pemarkahan berpandukan piawaian antarabangsa.
Bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan garis panduan sedia ada, pihak penganjur WWC juga telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran. Proses permohonan berjalan lancar dan dijangka akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat. Selain itu, siri perbincangan bersama agensi berkaitan dan pihak keselamatan tempatan turut diadakan bagi memastikan setiap aspek penganjuran berjalan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan. WWC ingin menzahirkan terima kasih atas keprihatinan Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa lain yang terbabit.
Penganjur turut menegaskan bahawa keselamatan peserta dan penonton menjadi keutamaan utama. Langkah-langkah keselamatan termasuk pemeriksaan kesihatan wajib bagi peserta, kehadiran pasukan paramedik di lokasi, kawalan keselamatan di pintu masuk serta pelaksanaan Protokol Sukan Selamat (Safe Sport Protocol) bagi melindungi semua yang terlibat telah disusun rapi. Fokus Warzone adalah untuk membentuk jati diri dan semangat kesukanan, bukan kekerasan.
Warzone World Championship 2025 mengekalkan semangat “Medan Disiplin, Keberanian dan Kesukanan” sebagai asas penganjurannya. Pihak penganjur yakin bahawa dengan bimbingan pihak berkuasa serta sokongan media dan masyarakat, acara ini mampu menjadi platform sukan tempur profesional yang selamat, beretika dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ketika ini, acara WWC 2025 dijadualkan akan tetap berlangsung pada 6-7 Disember 2025 bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan. Jualan tiket juga kekal tersedia untuk peminat sukan tempur.
Sebagai penutup, penganjur sekali lagi memohon maaf kepada masyarakat, peserta dan semua pihak yang mungkin terkesan dengan kekeliruan yang berlaku. Warzone World Championship 2025 komited untuk terus bertindak dengan penuh ketelusan, profesionalisme dan tanggungjawab, serta memastikan acara ini menjadi kebanggaan negara sebagai simbol keberanian, disiplin dan semangat kesukanan sebenar.

