ATLET elit olahraga negara, Muhamad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London, semalam. Muhamad Ziyad, 22, menghadiahkan pingat kedua buat Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter. Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara, pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2, Isnin lalu. Pingat emas dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak milik Jeffrey Ige dari Sweden, 15.50m. Ketiga-tiga atlet melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland, 13.10m dicipta di Paralimpik Sydney 2000. “Saya bersyukur memenuhi sasaran untuk menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Pingat ini untuk ibu bapa dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Muhammad Ziyad yang kali pertama mewakili negara di Sukan Paralimpik. Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada cubaan kedua selepas lontaran pertama menyamai rekod terbaik peribadi, 13.79m. – Bernama
sumber gambar dan artikel : MyMetro