(HIBURAN) “Konsert Kurnia Slam” Mengembalikan Nostalgia Peminat SLAM

Spread the love

cropslamPerjalanan Slam yang bermula sejak tahun 1992 sehingga kini, bukan satu tempoh yang singkat. Biarpun ada masa tenggelam oleh evolusi muzik dan keluar masuk ahli, riyawat seni mereka teguh dihiasi rantaian berbisa seperti Tak Mungkin Berpaling, Rindiani, Buat Seorang Kekasih, Kembali Merindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Nur Kasih, Kembali Merindu, Syair Si Pari-Pari, Kurnia dan tentunya Gerimis Mengundang.

25728135230_241bf310db_bPengaruh Slam bersama vokal emas Zamani tidak hanya menjalar ke serata tanah air, ia menyeberangi Tambak Johor ke Singapura, merentasi Selat Melaka sehingga ke Indonesia bahkan membelah Laut China Selatan ke Brunei Darulsalam. Atas pengaruh dan jambatan kebal yang terbina, biarpun tidak aktif sejak 2000, Slam sebenarnya telah memahat sejarah kukuh di jiwa peminat mereka.

Bertahun-tahun tidak aktif bersama, Zaman dengan haluan solo, manakala ketuanya Shah mengembangkan karier sebagai pemuzik profesional, Slam sebenarnya masih hidup, mewangi bersama rantaian hit mereka yang malar segar.

Kali terakhir berpentas sebagai sebuah grup di Singapura dengan Konsert Slam Kembali Merindu Live In Singapura yang mendapat sambutan luar biasa sekitar empat tahun lalu, tahun ini Slam mahu meraikan semula detik gemilang yang pernah dicipta mereka pada zaman kemuncak dahulu. Penganjuran konsert ini juga merupakan kemunculan pertama Slam selepas lebih 10 tahun tidak muncul dengan sebuah konsert berskala besar di Kuala Lumpur.

Mengambil sempena judul trek popular Kurnia, salah sebuah lagu dalam album kompilasi Terbaik Slam (1995) yang terjual lebih 200,000 unit, konsert yang diberi nama Konsert Kurnia Slam akan diadakan di StarXpo, Kenanga Mall atau juga dikenali sebagai KWC pada 14 Mei nanti.

Simboliknya juga, Konsert Kurnia Slam merupakan sebuah riwayat survival karier muzik Slam yang penuh bermakna, Segala pencapaian, kemasyhuran serta jatuh bangun mereka itu adalah anugerah, kurniaan Tuhan yang tidak ternilai harganya. Nostalgia, momen dan segala rasa, suka duka itulah yang mahu dibangkitkan semula dan dikongsikan dengan peminat. Itulah kurniaan sebenar.

Konsert Kurnia Slam juga akan mengembalikan semula ingatan peminat tegar Slam sebagaimana yang dirasai dalam Konsert Grand Slam Unplugged di Stadium Negara pada 3 Ogos 1996.

Dibawakan oleh Urban Creative Sinergy (UCS) Sdn. Bhd yang sebelum ini terlibat dengan penganjuran konsert artis antarabangsa seperti Avenged Sevenfold, UB40 Judika dan Konsert Search di Istana Budaya. Konsert Search itu juga menjadi percubaan pertama UCS dalam penganjuran konsert artis tempatan, manakala Slam kelak menjadi konsert artis tempatan kedua terbesar yang akan dijayakan UCS.

Pengarah Persembahan Konsert Kurnia Slam, Shamil Shah meluahkan harapan agar penganjuran konsert berkenaan mendapat sokongan padu daripada khalayak kerana ia sebuah dedikasi Slam buat seluruh peminat yang tidak pernah melupakan mereka selama ini.

Selaku ketua kumpulan, Shah pula menyifatkan konsert yang bakal dijayakan nanti sebagai penanda aras terhadap kematangan dan pengalaman setiap anggota Slam dalam bidang muzik.

“Kami semua sudah matang dan setiap anggota Slam sudah melalui fasa yang berbeza. Konsert Kurnia Slam nanti bukan hanya akan dinikmati oleh peminat lagu-lagu Slam bahkan peminat muzik masa kini. Biarpun Slam dikenali sebagai kumpulan muzik pop, tetapi saya berjanji bahawa Slam akan mencurahkan segala pengalaman dan skil yang telah dikutip sepanjang bergelar pemuzik selama ini.

“Selain ada susunan semula terhadap muzik, kami akan tetap mempertahankan keaslian bunyi Slam sebagaimana yang diketahui semua,” jelas Shah

Melewati diskografi seperti Slam (1993), Kesan Terbukti (1995), Terbaik Slam (1996) Kembali Merindu (1996), Dalam Harapan (1998), Slamanja (2003) dan Menggapai Langit (2007), lagu Gerimis Mengundang (Terbaik Slam) merupakan antara pencapaian yang membawa Slam ke tahap unggul.

Bisa lagu ciptaan Saari Amri berkenaan juga memasuki peringkat akhir Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, selain menjadi antara lagu Melayu paling masyhur dalam sejarah muzik Nusantara. Menerusi album yang Terbaik Slam itu juga, Zamani diiktiraf oleh Anugerah Industri Muzik sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Di Dalam Album (Lelaki)
.
Lagu-lagu daripada album tersebutlah yang akan didendangkan Zamani menjelang konsert kelak. Penerimaan dan penyatuan semula Zamani bersama Slam semestinya sebuah kurniaan yang tidak seharusnya dilepas oleh peminat muzik.

Tiket Konsert Kurnia Slam dibahagikan kepada beberapa kategori harga iaitu RM68 ((General Admission), RM98 (Normal), RM158 (Bronze), RM208 (Silver), RM228 (Gold), RM288 (VIP Diamond) dan RM599 (VVIP Platinum).

Pembeli tiket berharga RM599 akan berpeluang untuk beramah-mesra dengan anggota Slam. Tiket-tiket boleh dibeli secara online menerusi www.ticketpro.com.my, outlet TicketPro atau panggilan telefon ke talian 03-78807999.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *