Generasi BMW X4 yang kedua terserlah dengan dinamik pemanduan, reka bentuk eksterior dan teknologi keterhubungan yang luar biasa.
Kuala Lumpur, 29 Mei 2019 – BMW Malaysia telah mengambil peluang pada hari ini untuk memperkenalkan BMW X4 yang dirangkumkan dalam portfolio jentera ‘Sports Activity Coupe’ (SAC). BMW X4 generasi kedua ini akan dipasang di dalam negara, lantas mengukuhkan komitmen BMW Group Malaysia untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia.
En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “BMW X4 telah memecah tradisi apabila ia diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun 2014 sebagai kenderaan ‘Sports Activity Coupe’. Reka bentuk futuristiknya telah mencabar status quo dengan kekuatan dan keupayaan serba bolehnya di atas pelbagai jenis permukaan jalan. Dengan komposisi yang lebih berkuasa serta aspek kelincahan yang dipertingkatkan, BMW X4 terbaharu terus mencabar batasan dan membawakan keterujaan pemanduan yang dijanjikan oleh BMW.”
Tambah beliau, di peringkat global, BMW Group berjaya menyerahkan lebih daripada 200,000 unit kenderaan BMW X4 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014, dan Malaysia memiliki peluang untuk memasang BMW X4 di Fasiliti-Fasiliti Pemasangan BMW (BMW Assembly Facilities) menerusi Kilang Inokom Corporation yang terletak di Kulim, Kedah.
Sebagai peneraju dalam portfolio SAC, BMW X4 yang terbaharu menonjol dengan bumbung persis jentera coupe, lenggok atletik dan karakter M Sport yang tersendiri. Perumah roda (wheel housing) yang kelihatan gah menyerlahkan karakter kenderaan ini yang mampu menangani segala jenis permukaan dan cabaran. Dengan optik aerodinamik M Sport yang khas, roda ‘M Double-spoke’ bersaiz 20 inci, dan Brek M Sport, jentera SAC ini dapat membuktikan keupayaan lasak dan dinamiknya di mana-mana sahaja.
Keterampilan atletik yang memukau.
Reka bentuk bahagian eksterior BMW X4 terbaharu menunjukkan kedinamikan yang mantap dan aura kehadirannya. Reka bentuk gril ‘kidney’ BMW berbentuk tiga dimensi yang lebih besar pula pasti akan menghambat perhatian. Dilengkapi dengan lampu hadapan LED adaptif dan fungsi bantuan lampu puncak (high beam assistant), BMW X4 terbaharu juga hadir dengan bonet yang memanjang, ketinggian cermin depan yang lebih rendah dengan kaca akustik yang dipasang untuk mengurangkan bunyi hingar udara, serta bumbung bergayakan coupe untuk penampilan yang ‘sporty’ dan dinamik.
BMW X4 terbaharu didatangkan bersama komposisi sport yang lebih mantap, dengan panjangnya ditingkatkan sehingga 4,752mm (+81mm) dan kelebaran setinggi 1,918mm (+37mm). Jarak rodanya pula berukuran 2,864mm (+54mm), tetapi dengan ketinggian bumbung yang lebih rendah, iaitu 1,621mm (-3mm). Keunikan seksyen belakang jentera ini juga dapat dilihat dengan karakter yang ditonjolkan oleh bahagian bahunya yang tampak atletik serta lampu belakang yang langsing melalui penggayaan tiga dimensi. SAC generasi kedua ini turut hadir dengan brek M Sport dan rim beraloi ringan ‘M’ 20” dalam penggayaan 699M dengan tayar bercampur.
Dinamisme menawan, versatiliti yang luar biasa.
BMW X4 dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder berkapasiti 2.0 liter. Enjin ini mampu menjana kuasa tertinggi mencecah 185kW/252kk dengan output puncak tork berjumlah 350Nm. Kelajuan tertingginya pula boleh mencapai 240km/j, serta ia boleh membuat pecutan abad hanya dalam masa 6.3 saat. Kesemuanya dapat dikecapi dengan penggunaan bahan bakar gabungan yang berjumlah 7.8 liter bagi setiap 100km, dan emisi CO2 gabungan berjumlah 178g/km. Enjin tersebut dilengkapkan oleh transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan yang membolehkan penukaran gear dibuat dengan pantas serta didatangkan dengan padel penukar gear pada stereng, bersama fungsi ‘Launch Control’.
Casis yang dinaik taraf kini memberikan daya kelincahan yang lebih tinggi. Peratusan penggunaan komponen aluminium yang ringan serta keluli berkuatan tinggi telah mengurangkan berat kenderaan ini sebanyak 50 kilogram, menawarkan nilai Cd (pekali seret) yang terbaik di dalam kelas kenderaan seumpamanya, ia berjumlah 0.30. Pusat graviti kenderaan ini juga lebih rendah berbanding sebelum ini. Ia dapat memanfaatkan komposisi berat 50/50 hadapan/belakang yang sempurna, BMW X4 mempersembahkan aspek pengendalian yang lebih mantap dan lincah, serta memperkayakan keselesaan pemanduan secara signifikan.
Kelengkapan standard jentera berkenaan meliputi sistem pacuan semua roda xDrive, ‘Adaptive Suspension’, ‘Variable Sport Steering’, pengunci diferensial elektronik, Bantuan Permulaan Curam (Hill-Start Assistant), Kawalan Penurunan Curam (Hill Descent Control) dengan Kawalan Prestasi (Performance Control) yang membahagikan kawalan enjin dan pembrekan pada setiap roda apabila olahan pembelokan dibuat.
Karakter lasak dengan sentuhan moden dan premium.
Di dalam, BMW X4 terbaharu menyerlahkan kemewahannya dengan trim berelektrosadur bagi elemen kawalan dan paparan besar 10.25”, ‘Navigation System Professional’ dengan ‘Touch Sensitive Control Display’, lengkap dengan ‘BMW ConnectedDrive’. SAC terbaharu ini juga dilengkapi dengan paparan kepala (Head-Up Display) berwarna. Ia disinambungkan dengan paparan beresolusi tinggi 12.3”, ‘Multifunctional Instrument Display’ dengan ‘Black-Panel Technology’. Sistem Kawalan Suara (Voice Control) yang canggih turut dikemas kini untuk pematuhan arahan yang dituturkan secara natural oleh pengguna.
BMW X4 kini dilengkapi dengan ciri-ciri yang sebelum ini hanya diperkenalkan untuk jentera sedan mewah sahaja. Ia merangkumi upholsteri berkulit, ‘Vernasca Leather’ dalam warna merah (Tacora Red) serta sistem penyaman udara tiga zon dengan kawalan berasingan di ruang tempat duduk belakang. Antara elemen yang menjadi tumpuan dalam bahagian interior jentera ini ialah Bumbung Kaca Panorama yang besar, ia menjadikan ruang kabin BMW X4 kelihatan lebih bercahaya dan luas bagi membuahkan ambien serba mewah ketika pemanduan. Pemandu juga boleh menikmati muzik dengan Sistem Bunyi Keliling 16 Pembesar Suara yang dibekalkan oleh Harman Kardon.
Ruang kokpit dengan tetapan tempat duduk 4+1 berorientasikan pemandu, kedudukan tempat duduk yang dinaikkan sedikit serta panel instrumen yang terletak di paras yang lebih rendah membantu dalam aspek penglihatan pemandu. Tempat duduk sport yang dirumus semula dengan alas sisi menzahirkan ambien serba sporty di seksyen kokpit hadapan, begitu juga dengan pad lutut yang terletak di bahagian konsol pusat. Dengan jarak roda yang diperluaskan, ruang bagi penumpang di tempat duduk belakang dapat ditingkatkan sebanyak 27mm, keselesaan dapat dijamin dengan keluasan ruang kaki yang lebih tinggi ini. Kapasiti bagasi juga dinaikkan sebanyak 25 liter kepada 525 liter, dan boleh ditetapkan untuk mencapai keluasan setinggi 1,430 liter dengan melipat tempat duduk belakang yang berpecahan 40/20/40 dengan sepenuhnya.
Penawaran warna bagi BMW X4 terbaharu merangkumi warna putih (Alpine White), hitam (Carbon Black), merah (Flamenco Red) dan biru (Phytonic Blue). Upholsteri berkulit, ‘Black Vernasca’ boleh didapati bagi kesemua warna eksterior yang ditawarkan, sementara upholsteri berkulit, ‘Tacora Red Vernasca’ ditawarkan secara eksklusif untuk ‘Alpine White’ dan ‘Carbon Black’. BMW X4 terbaharu boleh didapati di kesemua rangkaian pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara bermula Sabtu, 1 Jun 2019.
Anggaran harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW X4 yang terbaharu ialah:
BMW X4 xDrive30i M Sport Terbaharu RM 380, 000.00
BMW Malaysia Pratayang BMW X5 dan BMW X2 M35i yang Terbaharu. Pengeluar kenderaan premium memperlihatkan dua model baharu daripada famili BMW X: generasi ‘The Boss ‘ yang keempat dan jentera ‘Sports Activity Coupe’ (SAC) yang paling berkuasa didatangkan dengan penalaan M Performance, ia dirungkaikan sewaktu perlangsungan majlis berbuka puasa bersama warga media.
Kuala Lumpur, 29 Mei 2019 – BMW Malaysia pratayang dua penambahan ke dalam portfolio jentera bersirinya, BMW X Series: BMW X5 dan BMW X2 M35i yang terbaharu. Kenderaan ‘Sports Activity Vehicles’ (SAV) dan SAC ini dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa tinggi serta bahasa penggayaan yang tersendiri untuk memperkayakan Kenikmatan Pemanduan Sempurna yang dijanjikan oleh BMW.
En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia mengulas, “Prestasi portfolio BMW X di Malaysia cukup memberangsangkan. Pada tahun lalu, kami berjaya menyerahkan lebih daripada 5,000 unit kenderaan BMW X, yang telah menjurus kepada pertumbuhan dua-digit berkadar 19%. Sepanjang empat bulan yang pertama dalam tahun ini sahaja, penyerahan berjumlah 1,500 unit kenderaan BMW X yang dicatat mendemonstrasikan permintaan pasaran terhadap kenderaan SAV dan SAC kami. Kami bertekad untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dengan BMW X5 dan BMW X2 M35i yang terbaharu, serta sekali lagi, menetapkan tanda aras baru bagi segmen SAV & SAC premium.”
Tambah Hoelzl, “Sebagai perintis famili BMW X, BMW X5 yang merangkumi tiga generasi model berjaya mencatat penyerahan berjumlah 2.2 juta unit kenderaan, lantas membuktikan kedudukan barisan produk tersebut sebagai SAV yang paling laris di persada antarabangsa. Kejayaan peringkat global ini juga mencerminkan kebolehan BMW X5 di Malaysia yang menjadi penyumbang utama kepada pencapaian BMW Group Malaysia saban tahun. Pada masa sama, jentera yang lebih lasak, BMW X2 berjaya melakar penyerahan yang berjumlah hampir 100 unit kenderaan sejak ia diperkenalkan pada bulan April lalu.”
Selepas mencetuskan penubuhan segmen SAV pada tahun 1999, BMW X5 masih kekal sebagai model BMW X yang paling berjaya dan SAV terlaris di dunia. BMW X5 terbaharu mengilhamkan sebuah halaman yang baharu dalam kisah kejayaan ini. Sementara itu, model yang berada di tangga tertinggi sebagai jentera SAC kompak yang paling berkuasa, BMW X2 M35i kini membawakan karakter pengendalian yang lebih dinamik serta elemen reka bentuk yang mengujakan.
BMW X5 terbaharu: Perintis famili BMW X.
BMW X5 terbaharu telah berkembang melalui pelbagai aspek berbanding model yang terdahulu sambil membawakan karakter dan komposisi asalnya yang ikonik. Bahasa penggayaan eksterior jentera ini menonjolkan keupayaan atletiknya dan disinambungkan dengan garisan yang jitu serta permukaan yang diterapkan dengan jelas.
Bonet BMW X5 yang beralun menyerlahkan penampilan lasaknya, serta rungkup hadapan jentera ini juga lebih pendek daripada yang sebelumnya. Gril ‘kidney’ yang besar pada jentera ini pasti akan menghambat perhatian, ia dibingkaikan dengan penuh sofistikasi menggunakan komponen keliling tunggal, memberikan seksyen hadapannya sebuah keterampilan yang mantap. Lampu hadapan LED Adaptif (Adaptive LED) lebih langsing dan melingkungi sayap hadapan jentera tersebut. Dengan pakej M Sport, BMW X5 yang terbaharu juga didatangkan dengan roda beraloi ringan 20” serta brek M Sport dengan angkup berwarna biru gelap, bersama logo BMW M.
Di seksyen belakang, BMW X5 terbaharu menampilkan lampu belakang LED berbentuk tiga dimensi yang terkini. Paip ekzos dalam bentuk segi empat yang besar juga membuahkan imej berkuasa tinggi yang sinonim dengan BMW X Series.
BMW X5 turut hadir dengan pertumbuhan dimensi yang menyeluruh, menyumbang kepada pengendalian cemerlangnya serta keselesaan maksimum. Dimensi kepanjangan BMW X5 telah ditingkatkan sebanyak 36mm kepada 4,922mm, dengan peningkatan kelebaran sebanyak 66mm kepada 2,004mm. Ketinggian bumbungnya juga kini berukuran 1,745mm, peningkatan sebanyak 19mm daripada model yang terdahulu. Jarak rodanya pula dinaikkan sebanyak 42mm, kini berjumlah 2,975mm. Bukan itu sahaja, kompartmen bagasi yang lebih luas juga dapat dinikmati oleh pengguna, ia mampu memuatkan keluasan setinggi 1,870 liter daripada 650 liter.
Enjin petrol enam silinder berkapasiti tiga liter yang lebih berkuasa dan bersifat efisien tenaga merupakan nadi BMW X5 terbaharu. Ia mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 243km/j dengan output maksimum berjumlah 250kW/340kk, dan puncak tork mencecah 450Nm. BMW X5 boleh memecut daripada kelajuan 0-100km/j hanya dalam masa 5.5 saat. Keefisienan penggunaan bahan bakarnya didemonstrasikan oleh kadar penggunaan bahan bakar yang rendah, ia berjumlah 9.2 l/100km dengan emisi karbon sebanyak 211/km.
Enjin luar biasa berkenaan dilengkapkan oleh transmisi Steptronic lapan kelajuan yang terkini dengan dinamik penukaran gear yang diperkayakan. Keempat-empat roda menerima tujahan kuasa yang dijana melalui xDrive. Dilengkapi dengan suspensi selangka hadapan yang berkembar (double-wishbone front suspension), suspensi belakang sambungan berlima (five-link rear suspension) dan ‘Adaptive M Suspension’, casis BMW X5 yang terbaharu boleh dikonfigurasikan untuk memaksimumkan keupayaan dinamik atau keselesaan. Seperti yang kita dapat harapkan daripada BMW, sistem suspensi BMW X5 terbaharu ditala untuk menawarkan Kenikmatan Pemanduan Sempurna dengan kelincahan maksimum yang disumbangkan oleh mod ‘Sports’ serta personalisasi prestasi oleh Kawalan Pengalaman Pemanduan (Driving Experience Control).
Interior BMW X5 menonjolkan DNA M Sport yang dibawakan olehnya. Ia tampil dengan stereng eksklusif berkulit ‘M’ dengan padel penukar gear dan pedal keluli tahan karat ‘M’. Kemasan ambang pintu dengan logo ‘M’ menyerlahkan tarikan lasak dan penampilan elegannya. Lagi satu karakter bahasa penggayaan BMW X5 yang menarik ialah kemasan berelektrosadur yang menambah sentuhan keterujaan serba mewah pada seksyen interior jentera tersebut. Ia juga menggandingkan kelengkapan standard yang komprehensif seperti tempat duduk sport boleh laras secara elektrik dengan upholsteri berkulit (Vernasca Leather) serta pencahayaan ambien yang lengkap dengan Karpet Aluan (Welcome Carpet).
SAV terbaharu ini turut menterjemahkan aspek kemewahan dan keselesaan dengan penyaman udara empat zon, teknologi hiburan di ruang tempat duduk belakang (Rear Seat Entertainment Professional) dan bumbung kaca Panorama untuk menzahirkan suasana interior yang lebih bercahaya. Kejelasan bahagian lut sinar pada bumbung kaca tersebut telah ditingkatkan sebanyak 30%. Pelitup ruang kargo BMW X5 juga boleh diturunkan dengan kuasa elektrik ke lantai kompartmen bagasi, dan dengan ‘Comfort Access’, pintu kedua-dua bahagian bonet belakang juga boleh dibuka dan ditutup secara elektrik dengan hanya menekan butang.
Ciri interior BMW X5 yang turut menjadi perhatian ialah tawaran yang kini disediakan secara standard, ‘BMW Live Cockpit Professional’ dengan ‘Navigation Professional’ yang dikuasakan oleh ‘BMW Operating System 7.0. BMW Live Cockpit Professional’ menggabungkan Paparan Informasi (Information Display) bersaiz 12.3 inci dengan Paparan Kawalan (Control Display) sentral yang sama besarnya, ia turut menampilkan fungsi sesentuh dan antara muka (interface) yang canggih. Paparan Info (Info Display) memaparkan kandungan navigasi, posisi kenderaan dan segala informasi lalu lintas yang relevan. Bersama dengan HUD BMW (BMW Head-up Display) terbaharu, kini dengan ruang paparan 70% lebih besar, semua informasi yang penting boleh dilihat dengan selesa pada paras ketinggian mata pemandu. Integrasi data navigasi yang dibuat dengan pintar ke Paparan Info membolehkan Paparan Kawalan memfokuskan lebih banyak aspek maklumat hibur dan kefungsian kenderaan. BMW Operating System 7.0 sebagai nadi Paparan Kawalan berkenaan juga mengutamakan kawalan sentuh yang intuitif buat julung kalinya.
Sistem bantuan pemandu yang dipertingkatkan turut sedia untuk membawa elemen pemanduan berautomasi ke aras yang baharu dengan SAV terbaharu ini. Ciri ‘BMW Personal CoPilot’ yang terkini juga merangkumi sistem kawalan luncur (cruise control) dengan fungsi pembrekan, Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning) bersertakan intervensi stereng, Amaran Perlanggaran Hadapan (Frontal Collision Warning) dengan intervensi pembrekan yang juga menunjukkan tindak balas terhadap penunggang basikal di atas jalan raya, amaran perentasan trafik di belakang dan pencegahan perlanggaran belakang.
Tambahan lagi, BMW X5 terbaharu hadir dengan Bantuan Parkir (Park Assist) yang mampu membuat olahan masuk atau keluar daripada ruang parkir yang selari dan serenjang. Fungsi Bantuan Mengundur (Reversing Assist) yang terbaharu juga menawarkan jenis bantuan yang tiada tandingannya untuk tujuan olahan keluar daripada ruang parkir atau operasi dalam ruang yang sempit. Sistem tersebut juga menyimpan rekod perjalanan 50 meter yang terdahulu sehingga ke tempat perhentian, dan akan membantu pemandu keluar daripada ruang parkir tersebut dengan mengambil alih kawalan kenderaan alaf baharu ini.
Perkhidmatan ‘BMW ConnectedDrive’ juga dilanjutkan untuk meliputi penawaran kunci digital, BMW Digital Key bagi kesemua jentera BMW X5, ia memudahkan tugas untuk mengakses dan menghidupkan kenderaan tersebut tanpa penggunaan kunci yang konvensional. Fungsi tersebut hanya memerlukan telefon pintar Android dengan teknologi Near Field Communication (NFC), untuk dihalakan berhampiran dengan pemegang pintu agar kenderaan tersebut dapat dibuka dan diakses dengan mudah. Enjin juga boleh dihidupkan dengan meletakkan telefon pintar di ruang pengecasan yang disediakan pada pusat konsol. Sebanyak lima telefon pintar boleh digunakan untuk mengakses BMW Digital Key yang sama, lantas memudahkan lagi proses perkongsian jentera tersebut jika perlu.
Penawaran warna bagi BMW X5 terbaharu merangkumi warna putih (Mineral White), hitam (Black Sapphire), kelabu (Artic Grey) dan biru (Phytonic Blue). Kemasan upholsteri berkulit, ‘Vernasca Leather’ boleh didapati dalam warna hitam klasik dengan ‘Aluminium Tetragon’ bagi pilihan warna ‘Mineral White’ dan ‘Black Sapphire’. Opsyen ‘Vernaca Leather Coffee’ dengan material ‘Fineline Stripe Wood’ juga ditawarkan bagi kedua-dua warna ‘Artic Grey’ dan ‘Phytonic Blue’ yang dinyatakan tadi, sementara ‘Vernasca Leather Cognac’ dengan ‘Fineline Stripe Wood’ ditawarkan secara eksklusif bagi warna ‘Mineral White’ sahaja.
BMW X2 M35i terbaharu: Pendefinisian semula kereta sport.
BMW X2 M35i tampil dengan keupayaan atletik yang ekstrem, prestasi pemanduan dinamik dan keyakinan yang jitu di atas jalan raya. SAC ‘M Performance’ ini tampak lebih mantap dengan reka bentuknya yang rapi, dan komposisi yang kukuh.
Identiti BMW X2 M35i bersifat lasak yang dirumus semula dicerminkan melalui pelbagai elemen ‘M Performance’. Dengan pandangan sekilas, SAV ‘sporty’ ini dapat memukau menerusi gril ‘kidney’ kembar dalam warna kelabu (Cerium Grey). Di samping itu, rongga udara sisi diletakkan di bahagian hadapan demi keefisienan brek dan penyejukan enjin yang maksimum. Cermin sisi juga dinaik taraf dengan pelitup ‘Cerium Grey’ yang istimewa.
Di seksyen belakang, BMW X2 M35i menonjolkan spoiler belakang ‘M’ yang tersendiri, dan ia mendemonstrasikan kehebatannya dengan sistem ekzos M Sport yang disertakan bersama paip ekzos berkembar dalam saiz 100mm diameter. Atas perangkuman sistem peredam bunyi juga, sistem ekzos M Performance dapat mengeluarkan profil bunyi sporty yang tersendiri. Roda M Sport beraloi ringan 20 inci menerusi penggayaan 721M dan dalam dwiwarna ‘Cerium Grey’ turut menuntaskan ciri reka bentuk luaran BMW X2 M35i.
BMW X2 M35i dikuasakan oleh enjin Turbo TwinPower 2.0 liter. Enjin petrol pertama M Performance 4 silinder yang dilengkapi pengecas turbo ini menetapkan tanda aras baharu dengan keupayaannya untuk menjana output setinggi 225kW/306kk dan puncak tork berjumlah 450Nm. Kelajuan tertinggi BMW X2 M35i dapat mencecah 250km/j, dan menggunakan bahan bakar berjumlah 7.4 liter bagi setiap 100km.
Untuk memastikan kuasa tulennya diterjemahkan dengan sebaiknya di atas jalan raya, BMW X2 M35i didatangkan dengan teknologi pacuan empat roda yang pintar, xDrive dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan, termasuk ‘Launch Control’, sebuah fungsi bantuan pemecutan untuk tujuan cengkaman yang optimum ketika pemecutan dibuat setelah kereta mula dipandu. Transmisi automatik ini hadir dengan penalaan spesifik M Performance. Hasilnya, BMW X2 M35i dapat memecut daripada kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 4.9 saat. Di samping itu, kestabilan termal (thermal stability) enjin berkenaan juga dijamin dengan sistem penyejukan yang dikemas kini.
BMW X2 M35i terbaharu turut membawakan sistem suspensi M Sport yang ditala dengan terperinci untuk disesuaikan dengan karakter lasak jentera ini. Buat pertama kali untuk sebuah kenderaan M Performance, Diferensial M Sport (M Sport Differential) dipasang pada gear gandar hadapan yang secara efektifnya mengurangkan kadar kehilangan cengkaman di bahagian roda hadapan ketika olahan pemanduan dinamik yang tinggi dibuat. Sistem pembrekan M Sport yang dinaik taraf dengan angkup dalam warna biru (Dark Blue) metalik serta cakera keluli 18 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang menjamin daya pembrekan jarak pendek yang baik walaupun jentera tersebut membawa muatan yang berat.
Keupayaan pengendalian dan suspensi juga disesuaikan dengan prestasi pacuan sistem BMW X2 M35i. Dengan tetapan khas, pemandu dapat menikmati keupayaan pengendalian yang jitu dengan stereng M Sport. SAV terbaharu ini juga hadir bersama suspensi M Sport dengan tetapan spring dan peredam yang lebih tegar serta penurunan ketinggian yang dapat dilihat pada jentera lasak ini. Penawaran standard berupa Bantuan Parkir (Parking Assistant) dan Kamera Pandang Belakang (Rear View Camera) juga disertakan untuk pemanduan yang lebih selamat dan memudahkan.
Bahagian interior BMW X2 M35i mempamerkan DNA M Sport dengan penampilan atletiknya. SAC ini membawakan stereng berkulit M Sport dengan padel penukar gear, kemasan trim interior ‘Aluminium Hexagon Anthracite’, serta trim pada pintu di bahagian hadapan menampilkan designasi “M35i”. Buat pertama kali, tempat duduk eksklusif M Sport di hadapan ditawarkan demi keselesaan maksimum. Tempat duduk M Sport bersulam material kulit, ‘Dakota Leather’ ini bukan sahaja menawarkan sokongan lateral kepada pemandu dan penumpang ketika membuat olahan pembelokan yang tajam, malah ia turut menawarkan tahap keselesaan dan keselamatan yang tertinggi dengan set penyandar kepala yang diintegrasikan bersama. Di samping itu, pengguna boleh menikmati muzik dengan sistem bunyi 12 pembesar suara oleh Harman Kardon, sementara ‘Navigation Plus’ dengan paparan kawalan sesentuh 8.8 inci menawarkan kandungan navigasi yang lancar.
Penawaran warna bagi BMW X2 M35i meliputi warna putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), emas (Galvanic Gold), biru (Misano Blue) dan oren (Sunset Orange). Di dalam, seleksi yang merangkumi upholsteri berkulit, ‘Black Dakota’ dengan leliang hitam (Black), atau merah (Magma Red) dengan leliang berwarna kelabu (Grey) boleh dipilih oleh pengguna.
Alami BMW X5 dan BMW X2 M35i yang terbaharu pada acara BMW X Crew yang berlangsung di Plaza Arkadia, Desa Park City dari 21 sehingga 23 Jun 2019.
BMW X2 M35i akan ditawarkan melalui kesemua rangkaian pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara pada bulan Jun manakala BMW X5 terbaharu akan ditawarkan pada bulan Ogos.
Anggaran harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW X Series ialah:
BMW X5 xDrive40i M Sport Terbaharu RM 640, 000.00
BMW X2 M35i Terbaharu RM 400, 000.00
-Tamat-