(HIBURAN) BARISAN ARTIS WCOPA 2024 MALAYSIA MENGANGKAT NAMA MALAYSIA DI PERSADA DUNIA HIBURAN DI HOLLYWOOD

Spread the love

Tahun ini seramai 15 artis Malaysia telah mewakili negara dalam kejohanan World Championships of Performing Arts ke-27 di Long Beach Convention Center, California, Amerika Syarikat.  Kejohanan yang baharu sahaja tamat, telah menyaksikan lebih 30 negara bertanding bagi merebut kejohanan dunia di Hollywood.  Kejohanan World Championships ini merupakan kejohanan ‘Olimpik’ bagi dunia seni persembahan.  Sebanyak 6 kategori dipertandingkan, iaitu ketegori Vokal, Tarian, Muzik, Peragaan, Lakonan dan Pelbagai Seni bagi peringkat Junior (5 hingga 15 tahun) dan Senior (16 tahun keatas). Kejohanan telah pun berlangsung dari 28hb. Jun dan tamat pada 6hb. Julai, 2024.

Dari awal lagi, Pasukan Malaysia telah menunjukkan kehebatan mereka dan menyerlah di antara negara-negara yang bertanding.  Dalam Majlis Perasmian kejohanan, Pasukan Malaysia telah menggayakan pakaian tradisional berbilang kaum bagi tujuan mempromosikan seni dan kebudayaan Malaysia.

Persembahan joget dalam ‘Parade of Nations’ di majlis tersebut telah menawan hati para penonton dan pengadil-pengadil. Pasukan Malaysia dinobatkan dengan anugerah Best Costume Award.

Dalam kejohanan seterusnya, kesemua ahli Pasukan Malaysia, kecuali seorang, telah berjaya ke peringkat Separuh Akhir.  Pasukan Malaysia telah bertanding dalam kategori Vokal, Tarian, Muzik dan Peragaan.

Seramai 6 peserta pula berjaya meneruskan pertandingan ke peringkat Akhir.  Mereka adalah:

  1. Dion Das Anak Louis – Peragaan
  2. Ryan Zachary Shareef Van Der Horst – Peragaan
  3. Aleysha & Ryan – Vokal Duet
  4. Ummi Umairah Abdullah – Vokal
  5. Vanessa Williams – Tarian Solo
  6. Dance Duo –   Tarian Duet

Dalam kejohanan di peringkat Grand Finals, yang ditayang secara langsung seluruh dunia, Malaysia sekali lagi memperlihatkan kehebatan artis kita di persada dunia.  Adik Ummi Umairah Abdullah telah muncul sebagai Grand Champion dalam kategori Vokal Junior.

Tetapi apa yang lebih menakjubkan ialah keputusan kejohanan keseluruhannya.  Dalam acara penyampaian pingat, Pasukan Malaysia sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dan menaikkan nama Malaysia di arena hiburan antarabangsa.  Dari 70 pertandingan yang disertai oleh Pasukan Malaysia, kita telah berjaya merangkul 37 buah pingat, iaitu pencapaian sebanyak 54%. Persediaan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Pasukan Malaysia telah menghasilkan kemenangan seperti berikut:

  1. Pingat Emas – 13
  2. Pingat Perak – 11
  3. Pingat Gangsa -13
  4. Juara Bahagian (Division Winner) – 11
  5. Biasiswa belajar di New York Film Academy – 1

“Saya merasa amat teruja dan bangga sekali dengan kejayaan Pasukan Malaysia tahun ini. Mereka telah melepasi ekspetasi kejayaan Pasukan dan membanggakan negara”, ujar Romli Bidin sebagai Pengarah Pasukan. “Tambah-tambah lagi kejayaan Ummi Umairah meraih Juara Dunia di peringkat Grand Finals. Kali terakhir kita menjuarai kategori vokal ini ialah pada tahun 2014 oleh Aina Abdul”, tambahnya lagi.

Terbukti sudah Malaysia mempunyai ramai penyanyi dan karyawan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Hanya mereka memerlukan peluang untuk berkembang ke arena antarabangsa.  Tidak kira muda atau tua, Malaysia mempunyai ramai yang berbakat.  Dalam program temubual bersama pengarah, penerbit dan eksekutif syarikat hiburan Hollywood, kesemua peserta Malaysia telah mendapat temu-janji atau ‘call-back’ untuk berjumpa dengan mereka.  Artis-artis kita amat diminati di Hollywood bukan sahaja kerana bakat mereka tetapi mereka dilihat berdisiplin dan komited.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *