(SUKAN) WING HIN MOTORSPORTS SASAR KEDUDUKAN TERBAIK PADA PUSINGAN AKHIR ENEOS SUPER TAIKYU SERIES 2026

Spread the love

Pasukan Malaysia, Wing Hin Motorsports, bakal menghadapi pusingan ketujuh dan terakhir Eneos Super Taikyu Series 2026 pada Ahad ini dengan misi untuk mencatatkan pencapaian terbaik pasukan selepas melalui musim sulung yang mencabar, namun cukup bermakna.

Pelumba negara, Naquib Azlan dan Amer Harris, bersama pelumba berpengalaman Jepun dalam saingan Super Taikyu, Shuji Maeshima, akan mengetuai cabaran pasukan Malaysia itu dalam perlumbaan akhir selama empat jam di Litar Fuji Speedway.

Ketika ini, mereka berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dalam carta mata kategori ST-Z dengan kutipan 54 mata. Pasukan itu turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya menamatkan empat daripada enam perlumbaan setakat ini dalam kelompok lima terbaik.

“Musim ini sememangnya membuka banyak perspektif baharu kepada kami. Menerusi penyertaan dalam Super Taikyu Series, kami berpeluang merasai tahap persaingan yang lebih tinggi. Kami juga menyedari bahawa masih banyak perkara perlu dipelajari oleh saya dan pasukan, khususnya dalam penggunaan jentera GT4 ketika berdepan pasukan kilang terbaik di Jepun,” kata Naquib.

“Cabaran utama adalah untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun, selain memahami cara memaksimumkan prestasi tayar, talaan kereta serta menyesuaikan gaya pemanduan mengikut tetapan jentera.

“Namun, seluruh pasukan kekal bersatu, terus berusaha dan melakukan penambahbaikan pada setiap perlumbaan. Kami semua menunjukkan kemajuan yang konsisten berbanding ketika mula menyertai kejuaraan ini.

“Bagi perlumbaan akhir selama empat jam di Fuji, sasaran utama kami adalah untuk menamatkan perlumbaan terlebih dahulu. Dalam perlumbaan ketahanan, perkara itu sentiasa menjadi keutamaan. Seterusnya, kami mahu memanfaatkan sepenuhnya keupayaan jentera dan potensi pasukan, yang diharapkan dapat membantu kami meraih satu lagi podium sebagai penutup musim ini.”

Memulakan kempen pada Mac lalu menerusi perlumbaan pembukaan di Litar Mobility Resort Motegi, pasukan yang menggunakan jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2 bernombor 338 itu berjaya menamatkan perlumbaan empat jam pertama di tempat ketujuh kategori ST-Z dan ke-11 keseluruhan daripada 30 buah kereta yang mengambil bahagian.

Pasukan itu kemudian mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila meraih tempat kelima pada pusingan kedua menerusi perlumbaan lima jam di Suzuka, sebelum berdepan cabaran getir dalam perlumbaan 24 jam di Fuji Speedway yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat ke-11 kategori.

Pada pusingan keempat, Wing Hin Motorsports bangkit dengan mencatatkan pencapaian podium pertama mereka menerusi kedudukan kedua kategori di Sportsland Sugo. Keputusan itu disusuli tempat kelima di Autopolis dan tempat keempat di Okayama pada bulan lalu.

Super Taikyu dianggap sebagai siri perlumbaan ketahanan profesional-am terkemuka di Jepun. Kejuaraan ini menggunakan kereta touring berasaskan model produksi dan menguji keupayaan pelumba serta jentera menerusi perlumbaan yang berlangsung antara empat hingga 24 jam.

Penyertaan dalam siri ini merupakan sebahagian daripada usaha Wing Hin Motorsports untuk memperluas penglibatannya dalam sukan permotoran serantau, selain membangunkan bakat pelumba muda Malaysia.

Selain Super Taikyu Series, pasukan itu turut beraksi dalam Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup Clubman Series di Jepun tahun ini, dengan kembali sebagai juara bertahan, selain menyertai Thailand Super Series.

“Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, sasaran kami adalah untuk membawa pulang satu lagi podium atau, jika berpeluang, mencatatkan kemenangan pertama dalam Super Taikyu Series.

“Kami sudah menunjukkan kepantasan yang memberangsangkan sepanjang musim ini, termasuk kejayaan meraih tempat kedua di Sugo. Ini membuktikan bahawa kami mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan pasukan di kelompok hadapan,” kata Amer, 22.

“Persaingan dalam Super Taikyu Series setakat ini amat sengit dan mencabar. Namun, keadaan itu sebenarnya meningkatkan lagi keazaman serta minat kami untuk mencapai kejayaan.

“Secara keseluruhannya, kami masih melalui proses pembelajaran yang cukup mencabar untuk menyamai tahap prestasi pasukan di kelompok hadapan, yang turut dibarisi pelumba daripada kategori SUPER GT GT300 dan GT500.”


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *