5 Disember 2025, Kuala Lumpur – Daripada penerbit box-office BoBoiBoy dan Mechamato, MONSTA dan Astro Shaw mempersembahkan Papa Zola The Movie, di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025, serta di Singapura pada minggu yang sama.
Papa Zola kini tampil sebagai watak utama dalam filem pertamanya sendiri. Buat julung kalinya, kisah asal-usul Papa Zola yang belum pernah didedahkan akan dipaparkan di layar perak melalui penceritaan baharu yang penuh aksi dan kejutan.
Humor ikonik Papa Zola menjadi tunjang utama naskhah ini, menyajikan hiburan untuk seisi keluarga. Jalan ceritanya turut direka agar dapat dinikmati tanpa memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy sebelum ini. Dengan gabungan aksi mendebarkan, drama menyentuh emosi dan elemen komedi tanpa henti, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang mampu memikat penonton dari pelbagai peringkat usia dan generasi.
Selepas tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura, Papa Zola The Movie akan melangkah ke panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia.
Seterusnya, filem ini akan ditayangkan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026- sekaligus mengukuhkan potensi naskhah ini sebagai Filem Animasi Malaysia yang mampu bersaing di persada global.
Berlatarkan Kuala Lumpur, Papa Zola The Movie membawakan dimensi baharu dalam dunia Papa Zola. Hasil sentuhan kreatif MONSTA menampilkan kematangan animasi tempatan melalui visual yang memukau, aksi bertenaga serta reka bentuk dunia yang lebih epik dan berskala besar.
Menurut Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, “Ini merupakan kali pertama MONSTA menampilkan watak dewasa sebagai watak utama. Jalan cerita Papa Zola The Movie bertemakan kehidupan harian dan disulam dengan aksi mendebarkan, drama serta emosi. Filem ini sesuai ditonton oleh semua generasi dan peringkat umur.
“Dari aspek teknikal, kami memperhalusi teknik animasi dengan memperkenalkan teknik crowd, hair, serta simulasi letupan dan simulasi air. Saya percaya penggunaan teknologi animasi ini dapat meningkatkan lagi pengalaman menonton Papa Zola The Movie di layar perak.”
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan:
“Selepas kerjasama erat menerusi BoBoiBoy Movie 2 dan Mechamato Movie, ia membuka ruang untuk kami kembali berganding bahu dengan MONSTA dalam meneroka animasi baharu seperti Papa Zola The Movie. Astro Shaw komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem animasi negara yang kini menunjukkan evolusi ketara.
Papa Zola The Movie bukan sekadar naskhah animasi untuk segmen tertentu, tetapi mempunyai penceritaan dan kualiti produksi yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur. Bagi memastikan naskhah ini dapat menarik pelbagai khalayak, pelbagai usaha dan aktiviti dirangka — antaranya penganjuran larian ‘Kebena-RUN 2025’. Kami mahu ‘fenomena kebenaran’ dirasai oleh semua kerana setiap daripada kita mempunyai versi Papa Zola tersendiri. Kami berharap filem ini mampu mencipta satu lagi kejayaan baharu untuk filem tempatan tahun ini.”
Sinopsis Rasmi: Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini menampilkan dua lagu tema iaitu ‘Demi Kebenaran’ nyanyian Insomniacks dan ‘Kita Usahakan Lagi’ nyanyian Batas Senja.
Tiket mula dijual sejak 22 November dan menerima sambutan memberangsangkan apabila kebanyakan tayangan awal habis dijual. Susulan itu, Astro Shaw, MONSTA dan pawagam membuka tayangan awal tambahan bermula 9 Disember bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyertai fenomena ‘Kebenaran’.
Di luar pawagam, dunia Papa Zola diperluaskan melalui pelbagai barangan rasmi seperti Mask P.A.P.A., Figura Papa Zola, Buku Kisah Teladan dan koleksi kad permainan. MONSTA juga bekerjasama dengan pawagam dan jenama terpilih seluruh Malaysia untuk menawarkan barangan eksklusif yang membawa sentuhan unik Papa Zola kepada peminat.
Temui maskot Papa Zola The Movie dalam siri jelajah filem pada 12–14 Disember di pawagam terpilih sekitar Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur; 19–21 Disember di Lembah Klang dan Utara; serta 26–28 Disember di Lembah Klang. Ikuti akaun media sosial Papa Pipi Zola & Astro Shaw untuk perkembangan terkini dengan #PapaZolaTheMovie.


