KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Eurotech Wheel, pengimport motosikal KTM, Husqvarna Motorcycles, GASGAS dan ZONTES di Malaysia, hari ini mengumumkan perancangan baru seterusnya dalam perkembangan syarikat menerusi penggunaan nama ETG, singkatan kepada Eurotech Group, yang mencerminkan aspirasi lebih luas selaras dengan perkembangan skala, keupayaan dan capaian perniagaannya dalam industri motosikal Malaysia.
Peralihan kepada ETG mencerminkan skop perniagaan yang kini merangkumi pemasangan dan pengedaran motosikal, perwakilan jenama antarabangsa, sokongan pengedar dan selepas jualan, pembangunan penunggang serta penglibatan bersama komuniti.
Encik Goi Seong Keng, Ketua Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan ETG, berkata, “ETG tidak pernah berhenti berkembang. Dari tahun ke tahun, kami terus memperluaskan keupayaan, memperkukuh portfolio jenama serta membina hubungan yang lebih erat dengan pengedar dan penunggang kami. ETG mencerminkan sejauh mana perniagaan ini telah berkembang dan memberikan kami identiti yang lebih menggambarkan hala tuju yang ingin kami capai seterusnya.”
PENCAPAIAN YANG MEMBINA ASAS
Perkembangan ETG ditandai dengan pelbagai pencapaian penting. Pada tahun 2012, syarikat menubuhkan kilang pemasangan CKD KTM pertama di Asia Tenggara, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam operasi pemasangan tempatan.
Menjelang 2016, operasi pemasangannya diperluaskan merangkumi pengeluaran CKD dan CBU.
Portfolio jenama syarikat turut terus berkembang. Zontes memasuki pasaran Malaysia melalui Eurotech Wheel pada 2019 menerusi siri Zontes 310, diikuti dengan kemunculan Husqvarna Motorcycles di Malaysia pada 2021. GASGAS pula menyertai portfolio tersebut pada 2022, sekali gus memperkukuh kehadiran Eurotech sebagai syarikat yang mewakili pelbagai jenama motosikal.
Peranan syarikat turut berkembang melangkaui aktiviti membawa motosikal ke pasaran. Pelancaran KTM Asian Riders’ Academy Offroad pada 2022, diikuti pelbagai akademi penunggang, perhimpunan dan program komuniti, memperluaskan penglibatan Kumpulan dalam pembangunan penunggang serta aktiviti bersama komuniti.
MENINGKATKAN KAPASITI PENGELUARAN
Fasa perkembangan dan pertumbuhan ETG yang seterusnya akan disokong oleh peningkatan ketara dalam keupayaan pengeluaran.
Pengembangan kilang Kumpulan dijangka meningkatkan produktiviti barisan pengeluaran dan menambah kapasiti pengeluaran dengan ketara. Kapasiti pengeluaran bulanan ketika ini adalah lebih 4,000 unit.
Selepas pengembangan selesai, kapasiti bulanan dijangka meningkat kepada lebih 15,000 unit, sekali gus memberikan ETG kapasiti yang lebih besar untuk menyokong portfolio motosikal serta memenuhi keperluan pasaran pada masa akan datang.
MEMPERKUKUH SOKONGAN PENGEDAR DAN SELEPAS JUALAN
ETG menyasarkan untuk membangunkan rangkaian di seluruh negara yang terdiri daripada 57 pusat servis dan 73 pengedar. Usaha ini akan disokong menerusi latihan kepada lebih 100 pakar teknikal baharu dalam tempoh dua tahun, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan penyelenggaraan dan kepakaran teknikal di seluruh Malaysia.
Kumpulan turut akan memperkenalkan ETG Dealer Management System bagi memperkukuh sokongan selepas jualan antara Kumpulan dengan rangkaian pengedar.
Dengan sasaran masa penyelesaian selama 60 minit bagi alat ganti rosak yang lazim dan 24 jam bagi alat ganti rosak yang tidak lazim, sistem ini direka untuk membantu pengedar bertindak dengan lebih cekap terhadap keperluan servis serta memberikan kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan.
Goi menambah, “Pertumbuhan bukan sekadar meletakkan lebih banyak motosikal di jalan raya. Sokongan yang mengiringi setiap motosikal juga perlu berkembang seiring dengannya. Ini bermakna sokongan pengedar yang lebih kukuh, kepakaran teknikal yang lebih mendalam, akses kepada perkhidmatan yang lebih baik serta hubungan yang lebih rapat dengan penunggang sepanjang tempoh pemilikan.”
MEMPERLUASKAN KEHADIRAN ETG
ETG akan mula memperkenalkan Experience Showroom di seluruh Malaysia, dengan lokasi pertama dirancang di kawasan utara, tengah dan selatan sebagai sebahagian daripada peluasan rangkaian secara menyeluruh di seluruh negara.
Peralihan kepada ETG dibina berasaskan keupayaan yang telah dibangunkan oleh Kumpulan selama ini, di samping mewujudkan platform yang lebih luas untuk pembangunan masa depan merangkumi jenama, operasi, sokongan pengedar serta penglibatan dengan penunggang.
KREDIBILITI DIBINA BERASASKAN KOMITMEN
Ketika ETG memasuki fasa seterusnya, Kumpulan melangkah ke hadapan berlandaskan reputasi yang dibina selama bertahun-tahun menerusi komitmen yang konsisten terhadap jenama, pengedar dan penunggangnya.
Diiktiraf dalam pasaran, dipercayai oleh para pengedar, dihargai oleh rakan kongsi jenama global dan dihormati dalam industri, kredibiliti tersebut menjadi asas kukuh untuk perkembangan seterusnya.
Dengan keupayaan yang lebih besar, rangkaian di seluruh negara yang lebih kukuh serta hubungan yang lebih erat dengan penunggang dan komuniti, ETG berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan reputasi tersebut ke fasa akan datang.
