(HIBURAN) Naskhah Penuh Energi, Raya Yay Yay Satukan Dafi, Ryan Bakery & Farel Prayoga

Spread the love

SEMPENA kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga muncul dengan lagu raya berjudul Raya Yay Yay, sebuah naskhah penuh energi dan menghiburkan.

Mendengarkan sahaja bait-bait lirik yang terkandung di dalam naskhah ini, pastinya ingatan besar sebahagian daripada kita kembali terkenangkan kemeriahan menyambut lebaran sewaktu zaman kanak-kanak.

Lagu yang merupakan terbitan FYP Media merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves ini sudah dilancarkan secara rasmi sejak 27 Februari yang lalu.

Menariknya, gandingan pertama kali antara Dafi, Ryan dan Farel bukan sahaja dilihat sebagai satu eksperimen yang menjadi, tetapi juga meninggalkan memori yang manis buat semua.

Menurut Dafi, pastinya dia gembira dapat meraikan kehadiran Syawal kali ini dengan sebuah naskhah baharu bersama kedua-dua penyanyi yang lain.

“Sebenarnya rakaman lagu ini dilakukan secara tidak sengaja, Apabila pihak pengurusan FYP Media menawarkan peluang untuk berganding bersama dengan Ryan dan Farel, ini merupakan peluang yang baik untuk saya.

“Saya sendiri belum pernah bergandingan dengan kedua-dua mereka dan banyak perkara baharu yang saya lalui sepanjang proses rakaman berlangsung,” ujar Dafi.

Tambahnya, vibe lagu ini yang penuh dengan energi menuntut dia bersungguh-sungguh ‘masuk’ ke dalam lagu bagi memberikan warna kepada Raya Yay Yay.

Berlainan pula dengan Ryan yang menyifatkan lagu ini sangat kena dengan jiwanya yang sentiasa ceria dan gembira dan dalam masa yang sama mahu menyebarkan semangat positif kepada semua.

“Hari Raya selalu digambarkan dengan kemeriahan dan keseronokan berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai. Kemeriahan itulah yang diterjemah oleh pencipta lagu ini ke dalam karya kali ini.

“Semangat itu jugalah yang kita cuba gambarkan yang ada menerusi muzik video lagu ini. Kalau boleh saya mahu semua orang menyambut lebaran dengan suasana ceria dan gembira.

“Aidilfitri bukan satu pertandingan. Kita semua harus nikmati dengan sejuta keinsafan dan menghargai apa yang sedang dinikmati hari ini,” ungkap Ryan pula.

Bagi Farel pula, peluang untuk merakamkan lagu Raya Yay Yay merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan memandangkan ini merupakan lagu raya pertamanya sepanjang bergelar anak seni.

“Saya belum pernah menghasilkan lagu raya memandangkan di Indonesia fokus lagunya lebih kepada bulan Ramadan. Apabila diberikan peluang, pastinya saya tidak mahu lepaskan.

“Semoga Raya Yay Yay mendapat sambutan baik daripada pendengar sama ada di Malaysia mahupun Indonesia,” kata anak kelahiran Banyuwangi, Indonesia.

Jelasnya, dia menyifatkan lagu ini sebagai sebuah naskhah yang sedikit sukar untuk dilaksanakan sepanjang proses rakaman berlangsung memandangkan penggunaan kosa kata yang begitu asing.

“Ada beberapa perkataan saya tidak faham tetapi lucu. Sebab itu saya gembira dapat sama terlibat dalam projek ini memandangkan banyak perkara baharu yang dipelajari,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Raya Yay Yay sudah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu dan muzik video Raya Yay Yay boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music mulai 6 Mac.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *