SHAH ALAM, 19 Ogos 2026 – KRU Entertainment memperkenalkan Temasya Aneka, sebuah acara prapelancaran yang mengetengahkan 18 acara, tarikan dan penyewa utama yang bakal menghidupkan Aneka Walk di SA Sentral sehingga penghujung tahun ini.
Penganjuran Temasya Aneka merupakan antara langkah strategik KRU Entertainment dalam memperkukuh kedudukan Aneka Walk sebagai sebuah Destinasi Gaya Hidup dan Hab Kebudayaan, dengan menawarkan pelbagai pengisian yang merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti kekeluargaan dan komuniti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim, berkata pengisian acara yang konsisten dan pelbagai merupakan antara pendekatan utama bagi memastikan Aneka Walk sentiasa memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.
“Hari ini kami bukan sekadar memperkenalkan Aneka Walk, tetapi turut berkongsi apa yang bakal berlangsung di sini dalam beberapa bulan akan datang. Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung 2026, dengan setiap acara menawarkan pengalaman serta sasaran pengunjung yang berbeza.
“Kami mahu Aneka Walk sentiasa mempunyai sesuatu yang menarik untuk dinikmati, sekali gus memberikan sebab kepada pengunjung untuk datang dan kembali semula,” katanya.
Antara tarikan utama yang diperkenalkan menerusi Temasya Aneka ialah Kayangan, sebuah pengalaman budaya dan gastronomi eksklusif yang menggabungkan persembahan seni budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Dato’ Chef Zam.
Persembahan sulung Kayangan menerusi “Hikayat Nusantara” membawa pengunjung menghayati perjalanan sejarah dan budaya Nusantara melalui gabungan elemen penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual serta pengalaman gastronomi.
Kayangan bakal menjadi persembahan mingguan utama di Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula 4 September 2026.
Inisiatif tersebut turut dilihat berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan berasaskan budaya yang mampu menarik bukan sahaja masyarakat setempat, malah pelancong domestik dan antarabangsa untuk merasai pengalaman seni, budaya dan gastronomi dalam satu destinasi.
PERKUKUH PENAWARAN GASTRONOMI
Dalam usaha memperkaya pengalaman pengunjung, Temasya Aneka turut memperkenalkan barisan penyewa terawal yang bakal mengukuhkan lagi penawaran gastronomi di Aneka Walk.
Antaranya ialah Kek Lapis Warisan, yang mengetengahkan kek lapis sebagai antara produk warisan tempatan, serta KRU Café, yang bakal membuka cawangan pertamanya di Aneka Walk.
Kehadiran penyewa daripada pelbagai kategori dijangka melengkapkan ekosistem Aneka Walk sebagai destinasi yang menggabungkan elemen makanan, hiburan, seni, budaya dan aktiviti komuniti dalam satu lokasi.
KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA ASTRO AUDIO
Bagi memperluaskan capaian promosi dan hebahan kepada masyarakat, promosi bagi 18 acara yang bakal berlangsung sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio.
Kerjasama tersebut merangkumi promosi menerusi rangkaian radio serta platform media sosial Astro Audio, di samping penyediaan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer yang terlibat di Aneka Walk.
Dengan pelbagai program yang telah disusun, Temasya Aneka dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menghidupkan Aneka Walk sebagai destinasi baharu yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi gabungan hiburan, seni, budaya, gastronomi dan aktiviti komuniti.
Sebanyak 18 acara yang dirancang sehingga penghujung 2026 akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan setiap acara dirangka untuk memenuhi minat dan segmen pengunjung yang berbeza.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Temasya Aneka, jadual acara dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman rasmi Aneka Walk atau mengikuti platform media sosial rasmi Aneka Walk.
SENARAI ACARA TEMASYA ANEKA 2026
| Bil | Tarikh | Nama Acara | Butiran |
| 1 | 04.09.26
– 27.12.26 |
Kayangan | Persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu |
| 2 | 04.09.26
– 06.09.26 |
AnekaRasa “Warisan” | Festival makanan dan minuman tradisional |
| 3 | 11.09.26
– 13.09.26 |
Rockustik | Festival muzik Rock akustik |
| 4 | 18.09.26
– 20.09.26 |
Super Universe | Festival Cosplay adiwira tempatan dan antarabangsa |
| 5 | 25.09.26
– 27.09.26 |
Art & Bloom Market | Jualan barangan terpakai dan vintaj |
| 6 | 02.10.26
– 04.10.26 |
AnekaRasa “Fast & Delicious” | Festival snek dan makanan segera |
| 7 | 09.10.26
– 11.10.26 |
Freestyle | Festival muzik Hip Hop |
| 8 | 16.10.26
– 18.10.26 |
Game On! | Expo sukan dan e-Sports |
| 9 | 23.10.26
– 25.10.26 |
Explorers | Karnival hobi aktiviti luar |
| 10 | 30.10.26
– 01.11.26 |
Superbikes | Expo motosikal berkuasa tinggi |
| 11 | 06.11.26
– 08.11.26 |
AnekaRasa “Taj Mahal” | Festival makanan halal India |
| 12 | 13.11.26
– 15.11.26 |
Sentral Jazz | Festival muzik Jazz |
| 13 | 20.11.26
– 22.11.26 |
Kids Fest | Pesta kanak-kanak |
| 14 | 27.11.26
– 29.11.26 |
Property+ | Expo hartanah |
| 15 | 04.12.26
– 06.12.26 |
AnekaRasa
“Creamilicious” |
Festival aiskrim, coklat dan pencuci mulut |
| 16 | 11.12.26
– 13.12.26 |
Hallyu Jamm | Festival muzik K-Pop |
| 17 | 18.12.26
– 20.12.26 |
Hingga Ke Jannah | Ekspo perkahwinan Melayu |
| 18 | 25.12.26
– 03.01.27 |
Aneka Mega Sale | Jualan mega penghujung tahun |
