(HIBURAN) The Furious: Pertaruhan Maruah Angkat Kisah Kekeluargaan dan Aksi Tinju Penuh Emosi

Spread the love

Kuala Lumpur, 19 Mei 2026 – Industri perfileman tempatan terus merancakkan tahun ini dengan sebuah filem aksi-drama penuh intensiti berjudul The Furious: Pertaruhan Maruah, yang menggabungkan elemen pertarungan tinju, konflik kekeluargaan serta tema maruah, dendam dan pengorbanan dalam sebuah naratif yang sarat emosi.

Filem ini dipersembahkan oleh gabungan penerbit terkemuka iaitu ACT 2 Pictures Sdn. Bhd., Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd., Astro Shaw Sdn. Bhd., dan SunStrong Entertainment, dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), manakala pengedaran rasmi dijalankan oleh GSC Movies.

Filem ini merupakan debut pertama buat pengarah baru Heng Aik Siong, yang selama ini menjadi pembantu pengarah kepada pengarah terkemuka Adrian Teh. Di dalam The Furious: Pertaruhan Maruah, mereka bersama-sama membawakan visi filem aksi tempatan yang menonjolkan pertarungan fizikal di gelanggang, serta  pertarungan emosi di dalam hubungan kekeluargaan yang rapuh.

The Furious: Pertaruhan Maruah menampilkan Zul Ariffin sebagai teraju utama bersama Sky Iskandar, Ikmal Amry, Sandra Lim, Zamarul Hisham & Marisa Yasmin. Filem ini mengangkat kisah dua beradik yang kembali bersatu selepas maruah keluarga mereka tercalar apabila nama arwah bapa mereka dihina secara terbuka, sekaligus mencetuskan perjalanan penuh konflik antara maruah dan dendam.

Malam Gala The Furious: Pertaruhan Maruah telah berlangsung dengan meriah pada 19 Mei 2026 di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, dan disambut dengan kehadiran rakan media, tetamu industri serta barisan pelakon yang memeriahkan acara tayangan perdana tersebut.

Dengan gabungan aksi tinju yang realistik, drama kekeluargaan yang dekat dengan jiwa penonton serta emosi yang kuat, The Furious: Pertaruhan Maruah dijangka menjadi antara filem aksi tempatan yang paling mencuri perhatian tahun ini. Filem ini akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.

BARISAN PELAKON

  • Zul Ariffin sebagai Firdaus
  • Sky Iskandar sebagai Hakim
  • Ikmal Amry sebagai Danial
  • Sandra Lim sebagai Lydia
  • Zamarul Hisham sebagai Emmet
  • Marisa Yasmin sebagai Mastura


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *