(SUKAN) WING HIN MOTORSPORTS PERTAHAN GELARAN GT4, TURUNKAN EMPAT JENTERA DALAM THAILAND SUPER SERIES

Spread the love

Malaysia’s Wing Hin Motorsports bakal memulakan kempen TSS The Super Series dan Thailand Super Series hujung minggu ini (21-24 Mei) dengan kontinjen pemandu terbesar mereka setakat ini, termasuk kembali selaku juara bertahan kelas GT4 serta menurunkan empat jentera bersama lapan pemandu dalam kelas Super Touring.

Dalam kelas GT4, Wing Hin Motorsports turun selaku juara keseluruhan musim lalu dengan Mitchell Cheah sekali lagi mengetuai cabaran pasukan. Namun kali ini, rakan sepasukannya Naquib Azlan akan memainkan peranan baharu sebagai jurutera pemandu dan jurulatih pasukan.

Cheah akan bergandingan bersama pelumba Hong Kong, Ryan Wong, menggunakan Toyota GR Supra GT4 EVO2 #39 dalam kategori Pro-Am. Wong sebelum ini pernah beraksi bersama Wing Hin Motorsports dalam kelas Super Touring musim lalu dan merupakan antara pelumba di bawah Program Customer Racing pasukan itu yang diwujudkan bagi membuka laluan kepada bakat muda Asia.

Selepas menamatkan musim debut GT4 mereka di tempat keempat pada 2024 — walaupun terlepas empat daripada 10 perlumbaan — Wing Hin Motorsports bangkit merangkul gelaran keseluruhan musim lalu menerusi rekod cemerlang tiga kemenangan perlumbaan, empat naib juara dan dua tempat ketiga. Prestasi itu menjadi sandaran utama mereka menjelang aksi pembukaan di Litar Antarabangsa Chang hujung minggu ini.

“Selepas memenangi kejuaraan dalam musim debut GT4 saya, saya gembira dapat kembali berlumba di Thailand. Kali ini kami beralih daripada gandingan silver/silver kepada silver/bronze. Persiapan berjalan lancar dan sasaran saya semestinya mempertahankan gelaran untuk musim kedua berturut-turut,” kata Cheah.

“Ia bukan tugas mudah kerana saingan sangat kompetitif, tetapi saya akan memberikan yang terbaik. Ini sukan berpasukan dan semua orang bekerja keras di belakang tabir. Saya juga berterima kasih kepada Wing Hin Motorsports atas sokongan penuh yang diberikan.”

Grid GT4 musim ini dijangka menampilkan sekurang-kurangnya lima jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2 selain Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes-AMG GT4 dan Aston Martin Vantage.

Dalam kelas Super Touring Thailand Super Series pula, cabaran Wing Hin Motorsports akan diketuai Toyota Vios #36 dipandu Nabil Azlan bersama pemandu tajaan CIMB, Amer Harris.

Sebuah lagi Toyota Vios #9 yang juga merupakan jentera pelanggan pertama pasukan akan dipandu Nick Teo dan Ian Wong. Jika Teo sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam Thailand Super Series menggunakan Toyota Yaris musim lalu, Ian Wong pula bakal membuat penampilan sulung dalam antara kelas paling kompetitif siri tersebut.

Dua lagi Toyota Yaris #38 dan #39 turut memperkuat cabaran pasukan Malaysia itu. Gandingan sepenuhnya rakyat Malaysia, Dannies Ng — yang memasuki tahun kesembilan bersama Wing Hin Motorsports bersama juara Vios Challenge Sporting Class 2025, Jwan Hii, akan memandu Yaris #38. Ia juga menjadi penampilan sulung Jwan di Thailand.

Sementara itu, Yaris #39 akan dipandu pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun (Monai) bersama pemandu wanita Mekkaradkeeta Kalantananda (Ni-Ne). Varunchit sebelum ini bergandingan dengan Nick Teo pada musim 2025 dan menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan. Kedua-duanya juga kini bersaing dalam Toyota Malaysia 2026 Vios Gold Challenge dan Vios Classic Challenge.

TSS The Super Series dan Thailand Super Series musim ini akan berlangsung dalam lima pusingan bermula hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Chang, Buriram. Pusingan kedua akan berlangsung pada 1-5 Julai di festival perlumbaan jalanan antarabangsa Bangsaen Grand Prix di Chonburi sebelum pusingan ketiga dan keempat beralih ke Petronas Sepang International Circuit pada 21-23 Ogos dan 18-20 September. Saingan musim ini akan melabuhkan tirai kembali di Litar Antarabangsa Chang dari 30 Oktober hingga 1 November nanti.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *