PULAU PINANG, 11 Mei 2026 – Penang Autoshow 2026 menutup tirai edisi sulungnya dengan kejayaan membanggakan, sekali gus mencipta sejarah sebagai pengembangan serantau pertama bagi jenama Malaysia Autoshow. Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), pameran selama empat hari itu berjaya menarik seramai 38,815 pengunjung dan menjana kira-kira RM201.96 juta potensi jualan, sekali gus membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap inovasi automotif dan mobiliti generasi baharu di wilayah utara negara.
Sepanjang acara berlangsung, lebih 439 tempahan kenderaan dan lebih 930 sesi pandu uji direkodkan, mencerminkan keyakinan pengguna yang kukuh serta peningkatan minat pasaran terhadap penyelesaian mobiliti moden dan elektrifikasi. Sambutan memberangsangkan ini turut menyerlahkan potensi komersial serta kepentingan strategik penganjuran autoshow serantau dalam merancakkan pertumbuhan industri automotif dan penglibatan pengguna di seluruh Malaysia.
Sebagai platform utama industri, Penang Autoshow 2026 menghimpunkan 15 jenama automotif terkemuka serta lebih 50 pempamer yang menampilkan teknologi automotif terkini, solusi mobiliti masa depan, produk aftermarket dan pengalaman gaya hidup automotif. Acara ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebagai simbol komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu inovasi automotif, mobiliti masa depan dan pembangunan industri serantau di koridor utara.
Selain pameran automotif, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk perhimpunan kelab kereta, persembahan khas Hari Pekerja oleh ikon rock Malaysia, Dato’ Awie, serta pertunjukan lampu Tesla yang memukau, menjadikan suasana lebih meriah untuk peminat automotif dan keluarga.
Antara tarikan utama ialah fokus kepada mobiliti masa depan menerusi enam pratonton dan pelancaran model baharu yang dinanti-nantikan. Antaranya ialah Jetour T1, SUV lasak mesra bandar yang kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM143,800 hingga RM153,800. Turut diperkenalkan ialah GWM Tank 300 HEV, varian petrol-hibrid terbaharu bagi model off-road popular tersebut.
Dalam segmen EV pula, Pro-Net menambah keterujaan pasaran menerusi kemunculan Proton e.MAS 5 dalam warna eksklusif baharu Jade Green.
Segmen prestasi tinggi dan mewah turut mencuri perhatian apabila Hyundai secara rasmi membuka tempahan untuk IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, selain memperlihatkan pratonton eksklusif model mercu IONIQ 9 serta Denza Z9 GT yang tampil elegan.
Melengkapkan kemeriahan acara, Carsome turut berkongsi pandangan mengenai landskap automotif semasa sambil menegaskan komitmen mereka terhadap ketelusan dan kepercayaan dalam pasaran kereta terpakai.
Penang Autoshow 2026 turut menyaksikan kepulangan semula Dunlop ke pasaran Malaysia selepas sedekad, dengan memperkenalkan rangkaian produk baharu termasuk Blue Response TG yang dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik (EV).
Acara ini juga menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Penang Autoshow 2026 sebagai platform strategik dalam menyokong pembangunan dan transformasi ekosistem automotif Malaysia.
Majlis penutupan turut menyaksikan pengumuman pemenang hadiah utama pertandingan khas autoshow tersebut. Seng Siew Lean dinobatkan sebagai pemenang pertandingan “Book a Car, Win a Car” dan membawa pulang sebuah Chery Tiggo 7 PHEV CSH. Sementara itu, hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah JAECOO J5 dimenangi oleh Siti Rahemah binti Alaw Deen.
Inisiatif hadiah istimewa ini terus berjaya menarik penglibatan pengunjung serta menghargai sokongan orang ramai terhadap autoshow serantau bersejarah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata:
“Sambutan memberangsangkan daripada pemain industri, pengguna dan keluarga di wilayah utara membuktikan kepentingan memperluaskan penganjuran autoshow berkualiti ke pasaran serantau. Melalui inisiatif seperti ini, MARii kekal komited dalam memperkukuh ekosistem automotif negara, mempercepat penerimaan teknologi dan meningkatkan penglibatan masyarakat terhadap agenda transformasi mobiliti Malaysia berpandukan Dasar Automotif Nasional (NAP2020).”
Malaysia Autoshow akan kembali tahun hadapan menerusi Malaysia Autoshow 2027 yang dijadual berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

