(SEMASA) ROYAL ENFIELD GOAN CLASSIC 350 TIBA BERGAYA DI MALAYSIA

Spread the love

Malaysia, 21 Mei 2026: Mengambil inspirasi daripada budaya moto bohemian Goa yang ikonik pada era 70-an dan 80-an, Royal Enfield, peneraju global dalam segmen motosikal pertengahan (250cc-750cc), melancarkan Goan Classic 350 — sebuah motosikal berinspirasikan bobber yang meraikan gaya hidup bebas dan anti-konvensional.

Goan Classic 350 merupakan penghormatan kepada kepelbagaian ekspresi diri yang membentuk budaya motosikal unik Goa di India. Ia lahir daripada budaya kontra yang berkembang di Goa pada era 70-an dan 80-an — sebuah jentera empat lejang berjiwa hippie yang sentiasa mencari kebebasan dan penemuan diri.

Setiap lekuk dan reka bentuk Goan Classic diinspirasikan daripada motosikal modifikasi “stripped-down” hasil ciptaan pembina motosikal custom di Goa, menggabungkan semangat bobber dan gaya hidup bebas Goa. Fender yang dipotong, hendal tinggi gaya ape-hanger, tempat duduk rendah ergonomik serta rekaan belakang motosikal mengimbau era penunggang meminimumkan motosikal mereka kepada elemen paling asas sebagai lambang personaliti diri.

Setiap deruman enjin membawa semangat “golden groove” Goa, seolah-olah mengajak penunggang menikmati setiap detik perjalanan. Menampilkan DNA bobber sebenar, motosikal ini hadir dengan rekaan tempat duduk tunggal terapung serta tayar whitewall pada rim jejari tubeless yang menghidupkan semula budaya modifikasi bobber klasik.

Mengulas mengenai pelancaran Goan Classic di Malaysia, Ketua Perniagaan Pasaran Asia Pasifik Royal Enfield, Manoj Gajarlawar berkata:

“Goan Classic ialah penghormatan penuh jiwa kepada semangat kebebasan dan individualiti yang diperjuangkan Royal Enfield sejak sekian lama. Motosikal ini melambangkan budaya moto Goa yang santai dan penuh gaya, serta minat Royal Enfield menghasilkan motosikal yang bukan sekadar jentera tetapi medium ekspresi dan penemuan diri.

Daripada siluet rendah, tempat duduk terapung tunggal, reka bentuk ergonomik hinggalah pilihan warna yang memukau, Goan Classic membawa aura bohemian dan gaya bebas dengan pengalaman tunggangan yang santai dan selesa. Kami yakin ia akan menjadi teman sempurna untuk penunggang bebas di Malaysia.”

Pengerusi Didi Group Malaysia, Rewi Hamid Bugo turut berkata:

“Goan Classic 350 bukan sekadar motosikal. Ia mewakili gaya hidup berteraskan kebebasan, individualiti dan ekspresi diri. Kami teruja membawa model ini ke Malaysia dan menjemput penunggang merasainya sendiri.”

Di bahagian nadi, Goan Classic menggunakan enjin 349cc silinder tunggal penyejukan udara-minyak yang terkenal dengan keseimbangan kuasa dan karakter halus. Ia menghasilkan 20.2 bhp pada 6,100 rpm serta tork 27 Nm pada 4,000 rpm, ditala untuk prestasi lancar dan santai sesuai dengan karakter bobber.

Kotak gear 5-kelajuan membolehkan pertukaran gear mudah serta tunggangan relaks sama ada di bandar atau lebuh raya.

Dibina atas rangka twin downtube spine frame, motosikal ini menawarkan kestabilan dan keselesaan di pelbagai jenis jalan. Suspensi hadapan teleskopik 41mm bersama penyerap hentak berkembar di belakang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan.

Rim jejari aluminium 19-inci di depan dan 16-inci di belakang bersama tayar whitewall tubeless memberikan cengkaman baik, manakala sistem ABS dwi-saluran dengan cakera brek 300mm depan dan 270mm belakang menawarkan kuasa membrek lebih meyakinkan.

Posisi tunggangan santai, kawalan kaki di tengah serta hendal ergonomik memastikan perjalanan jauh lebih selesa dan menyeronokkan.

Goan Classic 350 turut hadir dengan tempat duduk pembonceng jenis bolt-on yang mudah dipasang, membolehkan penunggang memilih konfigurasi satu tempat duduk atau dua tempat duduk mengikut keperluan.

Motosikal ini turut menggabungkan teknologi moden bersama rekaan retro melalui paparan meter dengan indikator posisi gear serta pod navigasi Tripper untuk panduan arah belokan demi belokan. Port pengecas USB Type-C juga disediakan bagi kemudahan penunggang kekal berhubung ketika menunggang.

Sistem pencahayaan LED penuh termasuk lampu utama, lampu pilot dan lampu isyarat bukan sahaja meningkatkan penglihatan malah menyerlahkan lagi penampilannya. Kemasan premium seperti suis alumingoanium turut melengkapkan gabungan gaya klasik dan fungsi moden.

Diinspirasikan elemen bohemian Goa, Royal Enfield turut bekerjasama dengan Rafu’D untuk menghasilkan koleksi fesyen khas yang menampilkan semangat bebas era lampau dengan warna-warna terang dan harmoni bersama alam semula jadi. Koleksi ini diinspirasikan budaya hippie 70-an dan 80-an melalui potongan longgar, fabrik semula jadi dan corak psychedelic yang menyerlahkan gaya hidup santai Goa.

Goan Classic hadir dengan pilihan warna unik berikut:

  • Shack Black – RM25,200
  • Purple Haze – RM25,200
  • Trip Teal – RM25,500
  • Rave Red – RM25,500

Semua motosikal didatangkan dengan jaminan perbatuan tanpa had.

GOAN CLASSIC 350 OPEN HOUSE SELURUH NEGARA

Bagi meraikan ketibaan Goan Classic 350 baharu, Royal Enfield Malaysia akan mengadakan sesi Open House di pengedar seluruh negara untuk memberi peluang kepada peminat melihat motosikal ini dengan lebih dekat serta merasai sendiri aura inspirasi Goa.

Tarikh & Lokasi Open House

23 – 24 Mei 2026

  • Petaling Jaya
  • Pulau Pinang
  • Ipoh
  • Johor Bahru

29 – 30 Mei 2026

  • Batu Caves

Pengunjung boleh menikmati:
● Peluang melihat Goan Classic 350 secara dekat
● Penerangan terperinci mengenai ciri-ciri utama dan pilihan warna

Untuk maklumat lanjut, ikuti saluran rasmi Royal Enfield Malaysia atau kunjungi pengedar sah Royal Enfield berhampiran anda.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *