(SUKAN) SAUCONY MERIAHKAN STESEN KERETAPI KUALA LUMPUR DENGAN THE MAZE – ACARA LARI BERGANTI-GANTI YANG JULUNG KALI DIADAKAN DI MALAYSIA

Spread the love

KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER 2026 – Saucony Malaysia melakar pencapaian penting dalam arena larian tempatan menerusi penganjuran sulung The Maze di Malaysia. Acara lari berganti-ganti global anjurannya ini menghimpunkan kelab-kelab larian untuk bersaing dalam format perlumbaan berkumpulan yang penuh aksi dan mencabar. Untuk satu malam sahaja, acara ini bakal mentransformasikan mercu tanda ikonik Stesen Keretapi Kuala Lumpur menjadi ruang pengalaman unik yang menggabungkan sukan larian, budaya dan komuniti.

Dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang mengurus dan mentadbir aset kereta api, termasuk bangunan warisan seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur, edisi pertama The Maze di Malaysia ini menyaksikan 20 kelab larian bersaing antara satu sama lain di laluan khas sekitar stesen bagi merebut gelaran juara. Kawasan platform dan laluan pejalan kaki stesen menjadi sebahagian daripada pengalaman perlumbaan, sekali gus memberi nafas baharu kepada bangunan warisan ini sebagai hab budaya dan komuniti larian.

Bukan sekadar pertandingan, penganjuran The Maze di Malaysia mencerminkan bagaimana acara larian kini telah berkembang melangkaui trek perlumbaan tradisional. Sama ada di peringkat global mahupun tempatan, komuniti larian kini semakin aktif menggabungkan sukan, gaya hidup, muzik, dan budaya bagi mencipta ruang baharu untuk orang ramai berinteraksi menerusi acara larian.

Berlatarbelakangkan Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang bersejarah, The Maze merealisasikan evolusi ini dengan menjadikan bangunan ikonik tersebut sebagai lokasi pertama yang menganjurkan lari berganti-ganti tersebut. Untuk satu malam, stesen ini menjadi tempat pertemuan para pelari, penyokong dan komuniti keseluruhannya. Di sini, mereka bersama-sama meraikan sejarah Kuala Lumpur yang gemilang dengan semangat budaya larian yang semakin berkembang. Penganjuran ini sekaligus menjadi detik penting bagi edisi sulung The Maze di Malaysia.

“The Maze sentiasa menganjurkan aktiviti larian di luar trek perlumbaan tradisional dengan memperkenalkan pelbagai lokasi acara yang luar biasa. Justeru untuk Kuala Lumpur, kami meneruskan semangat itu. Untuk satu malam sahaja, kami telah mengubah salah satu mercu tanda paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur, iaitu Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, menjadi trek perlumbaan bagi penganjuran sulung The Maze di Malaysia,” jelas Ketua Saucony Malaysia, Regine Wong.

“Bagi para pelari, acara ini adalah satu acara yang sangat istimewa. Selain menjadi larian The Maze yang pertama di Malaysia, kami turut mencipta sejarah kerana ini merupakan kali pertama kami menjadi tuan rumah kepada penganjuran perlumbaan sebenar di dalam Stesen Keretapi Kuala Lumpur,” ujar Ketua Pegawai Komersial RAC Malaysia, Yang Mulia Tengku Nadia Azrina Tengku Amran.

Sebagai salah satu jenama perintis dalam dunia larian global, Saucony sentiasa komited untuk menyokong sukan larian dan komuniti yang menggerakkannya. Memandangkan larian kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup, penganjuran The Maze Kuala Lumpur membuktikan iltizam Saucony dalam menyediakan platform yang mudah disertai oleh semua orang, sama ada sebagai pelari, penyokong, atau sebahagian daripada komuniti. Pendekatan ini selaras dengan kepercayaan Saucony bahawa sukan larian mampu menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, seiring dengan slogan jenama, “Run As One”.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *